Demensia atau nyanyuk bukanlah satu penyakit. Ia adalah kemerosotan dalam fungsi kognitif yang menjejaskan ingatan, cara berfikir, berbahasa, tingkah laku dan membuat keputusan. Masalah ini mungkin berlaku disebabkan oleh pelbagai penyakit atau kecederaan. Terdapat dementia yang boleh dirawat dan ada sesetengah pakar mengehadkan demensia sebagai kemerosotan mental yang tidak dapat dipulihkan. Sesetengah demensia adalah progresif, ini bermakna situasi ini akan semakin teruk dari masa ke masa. Ikuti artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut dengan fasa dan tahap demensia.
Apakah tahap demensia?
Peningkatan demensia adalah berbeza bagi setiap individu dan bergantung kepada kawasan otak yang terjejas. Kebanyakan individu mengalami simptom yang mempunyai kaitan seperti penyakit Alzheimer.
Tahap 1 – tiada kemerosotan kognitif
Tiada kerosakan. Pada peringkat ini, tidak ada tanda atau simptom demensia yang jelas dan individu dapat berfungsi secara normal; tiada kehilangan memori dan mental berada pada tahap sihat. Individu tanpa demensia dianggap sebagai berada pada Tahap 1.
Tahap 2 – kemerosotan kognitif sangat kecil
Menggambarkan kelalaian biasa yang berkaitan dengan penuaan seperti melupakan nama-nama dan di mana objek biasa ditinggalkan. Simptom ini sukar untuk kenal pasti oleh ahli keluarga atau doktor. Anda berkemungkinan dapat mengesan perubahan pada tingkah laku, tetapi individu terbabit masih mampu untuk berdikari.
Tahap 3 – kemerosotan kognitif kecil
Akan kerap berlaku kecederaan, berdepan kesulitan untuk menumpukan perhatian, dan menjejaskan prestasi pekerjaan. Individu yang berada pada tahap ini akan berdepan kesukaran mencari perkataan yang betul.
Ahli keluarga akan mula menyedari kemerosotan kognitif yang dihadapi, dari aspek cara berfikir, berdepan masalah untuk membuat perancangan, kerap mengulangi banyak perkara dan sukar untuk mengingati sesuatu peristiwa walaupun ia baru berlaku.
Simptom umum demensia pada tahap ini, adalah seperti:
- Kerap terlupa dan kehilangan memori
- Kerap mengulangi sesuatu perkara
- Kehilangan objek tanpa mampu menjejakinya kembali
- Alami sedikit kesukaran untuk menguruskan kewangan
- Kekeliruan ketika memandu
- Kesukaran menguruskan ubatan
- Hilang tumpuan
Namun, ia tidak menjejaskan rutin harian seperti bangun, berjalan ke bilik air, berpakaian dan sebagainya tanpa sebarang masalah.
Tahap 4 – kemerosotan kognitif sederhana
Individu pada tahap ini akan mempunyai masalah untuk membuat perancangan, mengingati peristiwa yang baru terjadi, tidak mampu menumpukan perhatian atau sukar untuk pergi sendirian ke lokasi baru.
Mereka juga mengalami kesukaran untuk menyelesaikan tugasan secara efisyen atau tepat dan berkemungkinan besar, mereka akan menafikan simptom yang dihadapi. Mereka akan mula mengasingkan diri daripada keluarga atau rakan kerana merasakan kesukaran untuk bersosial.
Simptom umum demensia pada tahap ini, adalah seperti:
- Masalah menahan air kencing (incontinence)
- Peningkatan dalam kehilangan memori dan kelalaian
- Ketidakupayaan untuk mengguna atau mencari perkataan dan frasa yang tepat
- Kesukaran untuk melakukan latihan matematik yang mencabar
- Semakin mengasingkan diri dari keluarga, rakan dan komuniti
Pada peringkat ini, doktor mungkin dapat mengesan masalah kognitif yang jelas semasa temu duga dan pemeriksaan ke atas pesakit. Pesakit mungkin alami masalah untuk melakukan tugasan rutin seperti yang sering dilakukan seperti memasak, mencuci pakaian, menggunakan telefon.
Tahap 5 – kemerosotan kognitif berat
Pada tahap ini, memori berkaitan perkara penting semakin berkurangan dan memerlukan bantuan untuk menyelesaikan aktiviti rutin harian seperti berpakaian, mandi, menyediakan makanan dan lain-lain.
Masalah ingatan yang semakin merosot ini juga semakin menonjol apabila individu terbabit tidak dapat mengingati alamat atau nombor telefon mereka, tidak tahu hari atau di mana mereka berada.
Simptom umum demensia pada tahap ini, adalah seperti:
- Peningkatan masalah ingatan, tidak dapat mengingati alamat rumah, nombor telefon, atau butiran peribadi
- Kekeliruan mengenai lokasi atau rantaian peristiwa
- Perlukan bantuan dalam melakukan tugasan harian, seperti memilih pakaian yang hendak dipakai
Tahap 6 – kemerosotan kognitif teruk (demensia pertengahan)
Pada tahap 6, individu terbabit memerlukan bantuan bagi setiap tugasan harian. Mereka mula melupakan nama ahli keluarga rapat, pasangan, dan hanya mempunyai ingatan yang sedikit tentang peristiwa yang baru berlaku. Kebanyakan pesakit hanya mengingati sedikit tentang kehidupan masa lalu.
Menghadapi kesukaran untuk mengira dan menyelesaikan tugasan, keupayaan bertutur semakin menurun, perubahan personaliti dan emosi seperti gemar berkhayal; mula mempercayai sesuatu yang tidak benar.
Simptom umum demensia pada tahap ini, adalah seperti:
- Masalah menahan air kencing yang kronik (incontinence)
- Suka berjalan dan mudah hilang jika tidak diawasi
- Tidak dapat mengingati nama tetapi mungkin masih dapat mengenali muka yang biasa dilihat
- Gangguan tidur
- Perubahan tingkah laku; kerap berhalusinasi
Tahap 7 – kemerosotan kognitif sangat teruk (demensia terakhir)
Ia merupakan tahap akhir penyakit ini. Individu yang berada pada tahap ini pada asasnya tidak mempunyai keupayaan untuk bercakap atau berkomunkasi. Mereka memerlukan bantuan untuk melakukan kebanyakan aktiviti atau tugasan harian seperti menggunakan tandas, makan. Mereka juga kehilangan kemahiran psikomotorik seperti keupayaan untuk berjalan. Kebanyakan masa mereka hanya akan terbaring di katil.
Simptom umum demensia pada tahap ini, adalah seperti:
- Kehilangan kemahiran berbahasa, bercakap
- Kehilangan kesedaran tentang persekitaran
- Memerlukan bantuan untuk tugasan harian, seperti makan
- Tiada kawalan untuk kencing
- Hilang otot kawalan untuk tersenyum, menelan atau bahkan berjalan atau duduk tanpa sokongan
Kekerapan untuk mendapat demensia?
Sekitar 5% hingga 8% individu dewasa berusia di atas 65 tahun mempunyai beberapa simptom demensia. Peratusan ini akan berganda setiap 5 tahun selepas 65 tahun. Sebanyak separuh daripada individu yang berusia 80 tahun ke atas mengalami demensia.
Individu yang mengalami demensia akan mengalami proses perkembangan pada peringkat yang berbeza dengan simptom yang berbeza. Jika anda mengesyaki anda mungkin mengalami simptom awal demensia, berjumpa dan berbincang dengan doktor anda.
Walaupun tiada ubatan yang boleh merawat Alzheimer dan demensia, tetapi diagnosis awal dapat membantu keluarga dan individu di sekeliling anda untuk membuat perancangan masa depan.
[embed-health-tool-bmi]