backup og meta

Maskara atau Sambungan Bulu Mata?

Maskara atau Sambungan Bulu Mata?

Maskara merupakan antara alat solekan yang boleh dikatakan wajib ada bagi setiap individu wanita selain bedak kompak dan gincu. Penggunaan maskara ini dapat membantu menjadikan bulu mata tampak lebih lentik dan panjang. Namun, adakah pemakaian maskara pada masa kini masih relevan atau kewujudan maskara sudah diganti dengan kaedah sambungan bulu mata?

Apa itu Maskara

Ramai individu wanita memilih untuk memakai maskara untuk menjadikan bahagian bulu mata mereka lebih tebal, panjang dan lentik. Situasi ini telah dilakukan sejak abad ke-19, dan sehingga kini maskara masih menjadi pilihan untuk mendapatkan mata yang memikat. 

Tetapi, adakah anda mengetahui apa yang terkandung di dalam tiub maskara anda?

Bahan-bahan yang terkandung dalam maskara kegunaan anda adalah termasuk pigmen karbon hitam atau besi oksida (iron oxide) untuk menghitamkan bulu mata, polimer yang menyaluti bulu mata, bahan pengawet, lilin penebal (thickening waxes) atau minyak seperti lanolin, minyak mineral, parafin, petrolatum, minyak kastor, lilin carnauba (carnauba wax) dan lilin candelilla (candelilla wax).

Terdapat dua pilihan asas maskara, sama ada formula tanpa air atau emulsi air (emulsions of water) dan minyak. Rumusan maskara tanpa air kurang berisiko untuk comot atau menjadi serpihan (flake). Tetapi ia sukar untuk ditanggalkan berbanding maskara yang dihasilkan dengan emulsi air, ia lebih mesra kepada bulu mata tetapi berisiko untuk menyebabkan mudah comot dan menjadi serpihan.

Pada sekitar tahun 1930-an, maskara hitam mengandungi bahan-bahan yang berbahaya seperti turpentine, kohl yang mengandungi plumbum, aniline, bahan pewarna rambut yang ke semuanya berisiko menyebabkan individu wanita yang memakainya menjadi buta. 

Namun, kini terdapat peraturan ketat terhadap penggunaan bahan-bahan dalam maskara. Ia perlu dipastikan selamat untuk digunakan pada sekitar mata. Tetapi anda perlu melihat jika terdapat kandungan bahan thimerosal, iaitu merupakan bahan pengawet yang boleh menyebabkan konjungtivitis dan dermatitis pada kelopak mata (kerengsaan dan ruam). Terdapat beberapa maskara yang masih mengandungi bahan ini. Jadi berhati-hati!

Maskara kalis air

Untuk mengetahui sama ada maskara kalis air anda boleh menyebabkan comot atau menjadi serpihan, anda boleh melihat jumlah kandungan air di dalamnya. Semakin sedikit jumlah air yang terkandung di dalamnya, semakin kurang kecenderungannya untuk menjadi comot. 

Tetapi baguskah maskara kalis air ini?

Sesetengah pakar mencadangkan untuk mengehadkan penggunaan produk kalis air ini. Ini kerana sesetengahnya hanya mengandungi sedikit kandungan air atau langsung tidak mempunyai air. 

Jadi, jika anda menggunakannya, anda perlu menggunakan lebih usaha untuk menanggalkannya daripada bulu mata anda atau dalam erti kata lain, anda mungkin akan menggosok bulu mata anda dengan lebih kuat. Ini akan meningkatkan risiko untuk merosakkan bulu mata anda, yang akhirnya boleh menyebabkan ia gugur atau putus. 

Maskara atau Sambungan Bulu Mata - maskara

Benarkah Merosakkan Bulu Mata?

Antara perkara yang sering menjadi tanda tanya berkaitan dengan maskara adalah adakah dengan memakainya boleh menjejaskan tahap kesihatan bulu mata? Mungkinkah ia boleh menyebabkan keguguran bulu mata?

Jawapan mudah, tidak. Namun ia tidak bermaksud masalah itu, merujuk kepada keguguran bulu mata, tidak akan berlaku langsung.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Miami Skin Institute, Dr S. Manjula Jegasothy, walaupun mungkin terdapat bahan-bahan yang terkandung dalam maskara itu tidak diketahui boleh menyebabkan keguguran bulu mata atau menipiskannya. Tetapi terdapat kemungkinan masalah keguguran atau penipisan ini untuk berlaku disebabkan oleh cara dan kaedah pemakaian ataupun penanggalan maskara yang mungkin merengsakan bulu mata, dan sekali gus meningkatkan potensi untuk mengakibatkan ia untuk menipis dan akhirnya gugur. Terdapat sesetengah formula yang diketahui berisiko menyebabkan bulu mata menjadi kering dan akhirnya menyebabkan masalah lain yang lebih serius. 

Jika anda menyedari bulu mata anda semakin menipis, mudah gugur atau putus, mungkin anda perlu menilai kembali beberapa perkara yang menyebabkan ia untuk berlaku. Antaranya:

1. Kaedah penanggalan produk yang tidak betul

Ini merupakan antara situasi di mana individu yang gemar memakai maskara mendapati wujudnya masalah itu. Umumnya, kawasan sekitar bahagian mata adalah amat sensitif dan anak bulu mata yang baru tumbuh memerlukan cara pengendalian yang lebih lembut. 

Jika anda mendapati bulu mata anda gugur, ini bermakna anda terlalu agresif ketika berusaha menanggalnya. Jika anda menggunakan produk penanggal alat solekan dan menggosoknya pada bahagian bulu mata, anda pasti akan dapat melihat bulu mata yang gugur atau jatuh. 

Sebaiknya, sapu atau gosok secara perlahan bulu mata anda yang disaluti maskara menggunakan pad kapas, atau bola kapas. Ini dapat membantu menjadikan proses penanggalannya lebih mudah. 

2. Menarik bulu mata

Ini merupakan antara kaedah menanggalkan maskara pada bulu mata paling tidak tepat. Satu-satunya cara yang boleh menyebabkan maskara menjadi satu perkara yang tidak baik kepada bulu mata adalah apabila anda memilih untuk mengeluarkan ia dengan menariknya dan tidak menggunakan sebarang produk penanggal alat solekan untuk membuangnya dengan betul. Kaedah menarik ini sudah tentu akan menyebabkan bulu mata anda terkeluar. 

Mungkin anda dengan yakin menyatakan bahawa anda tidak pernah menanggalkan ia dengan menariknya. Tetapi pastinya anda pernah mencuba untuk menarik keluar maskara sekali atau dua kali ataupun mungkin berkali-kali apabila ia menjadi berketul atau bulu mata yang disaluti maskara melekat antara satu sama lain. Pernah bukan? 

Maskara atau Sambungan Bulu Mata - tarik bulu mata

Maskara yang berketul pada siang hari adalah antara tanda bahawa ia menjadi kering dan tidak elok. Gantikan maskara anda! Ia juga sebenarnya petanda bahawa rumusan yang digunakan dalamnya adalah tidak baik.

3. Menjadi keras

Sememangnya terdapat sesetengah maskara boleh menyebabkan bulu mata menjadi keras. Ini adalah bergantung kepada kandungan bahan yang digunakan dan akhirnya menyebabkan ia sukar untuk ditanggalkan. 

Walaupun terdapat kemungkinan bulu mata menjadi keras kerana formula di dalam produk yang anda pakai, tetapi ia juga boleh berlaku disebabkan pemakaiannya untuk tempoh yang terlalu lama atau dalam erti kata mudah, anda memakai maskara semalam, sepanjang waktu tidur malam anda.

Kesan daripada perbuatan sambil lewa anda yang tidak peduli untuk menanggalkan alat solekan, khususnya maskara boleh mengakibatkan ia menjadi terlalu kering dan amat sukar untuk ditanggalkan. Terutama apabila anda telah memakainya semalaman. Dalam sesetengah situasi, keadaan ini boleh menyebabkan maskara masuk ke dalam mata dan menyebabkan kerengsaan yang serius. 

Maskara kalis air telah diformulakan untuk melawan sebarang kelembapan, menjadikan ia lebih keras dan kering, yang akhirnya menjurus kepada kerosakan bulu mata kerana kesukaran untuk menanggalkannya dan menyebabkan kebanyakan pemakainya menjadi lebih agresif ketika proses membuang maskara. 

Dalam satu penyelidikan yang dijalankan pada tahun 2013 melaporkan, terdapat hubung kait antara penggunaan maskara kalis air dan keguguran bulu mata. Jadi, mungkin secara asasnya, anda boleh memberikan diri anda rehat daripada menggunakan maskara kalis air setiap hari. Dan walau apa pun yang anda lakukan, pastikan anda menanggalkan maskara sama ada kalis air ataupun tidak dan sebarang solekan sebelum tidur.

4. Penggunaan tidak betul

Walaupun penggunaan maskara boleh menjadikan bulu mata anda lebih lentik, tetapi cara penggunaan yang salah boleh mengakibatkan bulu mata anda tertanggal dan gugur. Keadaan ini boleh berlaku apabila anda telah menggunakan maskara dan kemudian menggunakan alat pelentik bulu mata (curler) ke atas bulu mata yang disaluti maskara sebelum sekali lagi menyapu maskara anda buat kali yang kedua. 

Anda mungkin merasakan apa yang anda lakukan membuatkan bulu mata anda lebih menarik, tetapi ia sebenarnya tidak baik untuk bulu mata anda. Cara yang terbaik untuk menggunakan pelentik bulu mata adalah menggunakannya sebelum mengaplikasikan sebarang produk maskara untuk menghindari daripada menarik bulu mata anda. Pastikan anda menggunakan pelentik bulu mata dengan lembut!

Bagaimana pula dengan kaedah sambungan bulu mata? Pernah anda mendengar mengenainya? Ikut penjelasan seterusnya.

Sambungan Bulu Mata Memudaratkan?

Mendapatkan bulu mata yang panjang dan lentik sudah pasti menjadi keinginan setiap wanita. Jika dahulu, maskara menjadi salah satu aksesori penting dalam beg solek bagi memastikan bulu mata kekal rapi, namun berbeza kebelakangan ini apabila wujudnya alternatif baru iaitu teknik sambungan bulu mata (eyelash extensions).

Apa itu Sambungan Bulu Mata?

Maskara atau Sambungan Bulu Mata - proses menyambung bulu mata

Terdapat pelbagai cara untuk memastikan penampilan bulu mata kekal lama. Penggunaan maskara adalah yang paling mudah dan tidak melibatkan kos yang tinggi. Kaedah lain termasuk penggunaan bulu mata palsu, pemindahan bulu mata (eyelash transplants), solekan kekal atau farmaseutikal yang menggalakkan pertumbuhan bulu mata. Secara teknikal, sambungan bulu mata adalah berbeza dengan kategori ini.

Sambungan bulu mata adalah serat tunggal dan bukannya jaluran bulu mata, yang dilekatkan satu persatu atau dalam kumpulan kecil ke bulu mata semula jadi anda untuk meningkatkan penampilannya yang panjang dan penuh.

Berbeza dengan bulu mata palsu, sambungan bulu mata ini adalah bulu mata tunggal, yang diletakkan pada bulu mata sendiri, satu demi satu oleh ahli kosmetik profesional atau ahli estetik.

Kebanyakan bulu mata diperbuat daripada serat sintetik seperti nilon yang diikat menggunakan pelbagai jenis gam profesional. Manakala sutera atau mink atau daripada serat sintetik seperti plastik adalah bahan lain yang digunakan untuk sambungan bulu mata. Malah, ada juga bulu mata yang diperbuat daripada bulu haiwan.

Biasanya sambungan bulu mata menggunakan penyepit kecil dan gam separuh kekal yang dirumus khas. Prosedur ini boleh mengambil masa selama dua jam, dan mata anda kekal tertutup selama tempoh prosedurnya. Hasilnya biasanya kekal tiga hingga empat minggu dan kemudiannya kembali sebagai bulu mata semula jadi.

Risiko terhadap Mata

Kesan sambungan bulu mata biasanya tidak disebabkan oleh penyepit kecil (tweezers). Sebaliknya adalah disebabkan oleh gam yang digunakan untuk mengikat sambungan sintetik di tempatnya. Ini kerana ia sering mengandungi formaldehyde atau bahan kimia lain yang boleh menyebabkan kerengsaan dan reaksi alergi.

Artikel yang diterbitkan dalam Consumer Reports membincangkan mengenai beberapa kes yang mana pesakit mengalami jangkitan dan tindak balas alergi terhadap pelekat berasaskan formaldehyde yang digunakan untuk sambungan bulu mata. Akademi Oftalmologi Amerika (AAO) juga bertindak balas terhadap laporan yang memberi amaran kepada pengguna mengenai bahaya sambungan bulu mata.

AAO menyatakan sambungan bulu mata mengakibatkan:

  • Jangkitan kornea
  • Jangkitan kelopak mata
  • Kelopak mata bengkak
  • Kehilangan bulu mata sementara atau kekal

Selain itu, menggosok, sentakan atau menarik boleh mematahkan bulu mata semula jadi anda, dan juga menyebabkan kerosakan kekal pada folikel bulu mata. Walaupun jarang berlaku, sambungan bulu mata juga boleh membawa kepada serat yang terperangkap di bawah tisu mata, yang mungkin memerlukan pembedahan untuk membuangnya.

Kesan kepada Kulit dan Mata

Pelekat yang digunakan untuk menyambung bulu mata palsu ke bulu mata anda mengandungi bahan kimia dan kandungan bahan lain yang mungkin mendatangkan kerengsaan dan mudarat kepada anda. Jika anda mempunyai reaksi tindak balas terhadap bahan kimia yang digunakan semasa proses sambungan itu, anda mungkin mengalami kesan sampingan dalam masa 2-3 hari.

Antara kesan sampingan yang mungkin berlaku:

  • Mata merah
  • Mata kering
  • Terasa terbakar
  • Gatal-gatal
  • Kesakitan
  • Ruam
  • Kemerahan atau keradangan pada mata atau kelopak mata
  • Bengkak, yang boleh menjadi serius

Kandungan Bahan Sambungan Bulu Mata

Antara kandungan bahan yang terkandung dalam pelekat bulu mata, adalah:

  • Formaldehyde
  • Lateks
  • Gula selulosa
  • Cyanoacrylates
  • Asid benzoik

Antara kandungan bahan dalam penanggal sambungan bulu mata, termasuk:

  • Formaldehyde
  • Propylene glycol
  • Geraniol

Melihat Kesesuaian

Maskara atau Sambungan Bulu Mata - sebelum selepas menyambung bulu mata

Sebelum membuat pertimbangan untuk membuat penyambungan bulu mata, sebaiknya anda membuat penilaian sama ada anda sesuai untuk melakukannya atau tidak. Elakkan jika anda:

  • Mempunyai masalah kerengsaan kulit atau masalah kulit pada bahagian kelopak mata
  • Mempunyai sejarah reaksi alahan pada mata atau kulit untuk produk kosmetik seperti alat solekan, ubat titisan mata atau ubat mata
  • Alahan kepada lateks atau bahan yang terkandung dalam gam atau produk penanggal
  • Sedang menjalani kemoterapi atau radiasi
  • Menghidapi trichotillomania
  • Menghidapi alopecia areata

Rawatan

Jika anda berasa tidak selesa atau kerengsaan selepas penyambungan bulu mata, terdapat beberapa perkara yang boleh anda lakukan di rumah untuk mengurangkan rasa tidak selesa ini, seperti:

  • Memberikan tekanan sejuk
  • Krim hyrocortisone topikal
  • Ubat titisan alahan mata
  • Produk antihistamin oral

Setiap individu mempunyai reaksi sensitiviti yang berbeza terhadap bahan kimia, walau bagaimanapun, Board of Barbering and Cosmetology menyarankan untuk tidak menggunakan pelekat yang mengandungi formaldehyde, kerana ia berpotensi menyebabkan kerengsaan toksik.

Jika anda risau berkemungkinan terdapat bahan yang boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit atau menyebabkan reaksi alahan, tetapi anda berminat untuk melakukan penyambungan bulu mata, anda boleh meminta untuk melakukan ujian untuk melihat reaksi tindak balas kulit anda.

Penjagaan yang Betul

Tidak kira sama ada anda memilih untuk memakai maskara atau ingin menggunakan kaedah sambungan bulu mata, ia adalah pilihan anda dan tidak ada sesiapa boleh menghalang anda daripada meneruskan niat anda. Tetapi terdapat beberapa perkara yang perlu anda utamakan.

Jika anda ingin memakai maskara, pastikan anda memberi perhatian terhadap aspek penjagaannya. Jangan pernah terlupa untuk mencuci dan membuang maskara anda sebelum anda tidur dan jangan pernah merasakan ia adalah okay untuk anda tidur dengan mata yang masih memakai maskara.

Manakala, jika anda ingin mencuba kaedah sambungan bulu mata, anda perlu menitik beratkan aspek kesesuaian kulit anda dengan proses penyambungan itu, sama ada dari aspek kesihatan mahupun kandungan bahan dalam bulu mata dan pelekat sambungan bulu mata tersebut. 

Tidak salah untuk cantik, kerana kecantikan itu adalah hak hakiki setiap individu. Namun aspek penjagaan kesihatan dan keselamatan, jangan diabaikan!

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca:

 

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Does Mascara Make Your Eyelashes Fall Out? Dermatologists Give the Final Word

https://verilymag.com/2017/12/eyelashes-falling-out-losing-eyelashes-do-eyelashes-grow-back-mascara-eyelash-fallout-is-mascara-bad-sparse-eyelashes / Accessed on Aug 14, 2019

 

Adakah Bulu Mata Sambungan Berbahaya?

https://hellodoktor.com/ms/gaya-hidup-sihat/adakah-bulu-mata-sambungan-berbahaya/ / Accessed on Aug 14, 2019

 

What’s in Mascara?

https://www.webmd.com/beauty/features/makeup-decoding-mascara / Accessed on Aug 14, 2019

 

Eyelash Extension: Trend Cantik Berisiko Memudaratkan

https://hellodoktor.com/ms/gaya-hidup-sihat/eyelash-extension-trend-cantik-berisiko-memudaratkan/  / Accessed on Aug 14, 2019

 

Versi Terbaru

01/07/2020

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Ayu Idris


Artikel Berkaitan

Kalau Tak Nak Mata Anak Cepat Rosak, Ibu Ayah Sila Ikut Tips Penjagaan Mata Ini!

Berapa Kerap Individu Perlu Periksa Mata? Klu: Ia Akan Berbeza Bergantung Usia!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 01/07/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan