Mengapa Rambut Botak lebih Kerap Berlaku dalam Kalangan Lelaki?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Lelaki dan wanita masing-masing mungkin mengalami masalah rambut botak, tetapi masalah ini lebih sinonim dikaitkan dengan kaum lelaki. Selain kepakaran wanita dalam menyembunyikan masalah rambut botak mereka,, terdapat beberapa faktor lain mengapa lelaki lebih kerap mengalami rambut botak.

Alopesia androgenik lebih biasa berlaku pada lelaki

Keguguran rambut kekal menjejaskan 70% lelaki dan 40% wanita dalam jangka hayat mereka. Terdapat beberapa sebab akibat perbezaan besar ini.

Pada asasnya lelaki lebih terdedah kepada keadaan yang dikenali sebagai alopesia androgenik. Ini adalah keadaan genetik yang diwarisi, yang meningkatkan aktiviti reseptor androgen di folikel rambut. Reseptor-reseptor ini bertindak balas terhadap androgen seperti dihydrotestosterone (DHT), hasil sampingan dari testosteron yang mengecutkan folikel rambut dan menjadikannya sukar bagi mereka untuk hidup. Kerana testosteron dalam lelaki sentiasa membuat DHT, ia menjadikan mereka lebih cenderung mengalami keguguran rambut daripada wanita.

Kehilangan rambut pada lelaki muda

Sesetengah lelaki mengalami keguguran rambut pada remaja dan awal dua puluhan, yang sekali lagi biasanya disebabkan oleh hormon. Oleh sebab hormon-hormon yang meningkat semasa akil baligh, ia menjadikan sesetengah lelaki pada usia remaja dan awal dua puluhan lebih berisiko kehilangan rambut mereka.

Menurut American Hair Loss Association, pada usia tiga puluh lima, kira-kira dua pertiga lelaki akan kehilangan rambut sedikit. Pada umur lima puluh tahun, 85% akan mengalami penipisan rambut atau kehilangan sejumlah besar rambut.

Walaupun sesetengah wanita mengalami keguguran rambut pada usia muda, ia lebih biasa berlaku selepas menopaus, bukan kerana peningkatan testosteron tetapi kerana mereka mengalami penurunan dalam tahap hormon yang lain.

Kehilangan rambut pada lelaki lebih ketara

Apabila lelaki kehilangan rambut mereka, mereka cenderung kehilangan lebih banyak rambut dalam tempoh yang singkat berbanding wanita. Corak keguguran rambut juga lebih jelas pada lelaki, kerana berlaku pada bahagian tertentu pada rambut sedangkan wanita mengalami penipisan rambut yang menyeluruh. Dalam wanita, bahagian belakang rambut jarang terkesan. Penipisan menyeluruh berlaku dan paling ketara di bahagian tengah.

Corak rambut botak dalam kalangan lelaki

Ciri khas botak lelaki ialah kehilangan rambut berkembang dengan corak tersendiri. Terdapat tiga bahagian utama kulit kepala yang kehilangan rambut dan menghasilkan corak yang selalu dikenalpasi dalam kalangan lelaki, iaitu:

1. Kehilangan rambut bermula pada garis hadapan ke belakang.

Masalah rambut botak yang berbentuk M ini berlaku dalam beberapa tahap kepada semua lelaki sewaktu beralih dari zaman remaja ke kedewasaan. Kurang daripada 5% lelaki dewasa mengekalkan garis rambut depan lurus yang mereka miliki sewaktu kanak-kanak. Umumnya kehilangan rambut di kawasan ini adalah ringan. Sesetengah lelaki mengalami kebotakan hadapan yang ketara dan ini mungkin mendahului masalah botak yang akan berkembang dalam masa bertahun-tahun.

2. Kehilangan rambut bermula di sekitar pusaran (di belakang kepala)

botak

Masalah botak ini bermula di pusaran dan menyebar keluar ke semua arah untuk menghasilkan kebotakan bulat. Dalam sesetengah lelaki, tompokan botak kedua yang lebih kecil boleh berlaku di bawah tompokan botak di pusaran.

3. Penipisan menyeluruh di bahagian pertengahan atas kulit kepala

Corak ini paling menonjol dalam kalangan lelaki Asia. Ia juga menjadi ciri utama keguguran rambut perempuan – masalah rambut botak yang menjejaskan lebih daripada 75% wanita dengan penuaan.

Mengapa tidak semua lelaki mengalami keguguran rambut yang cepat?

Anda mungkin bertanya-tanya mengapa semua lelaki tidak mengalami keguguran rambut jika mereka semua menghasilkan produk sampingan testosteron yang sama. Masalah rambut botak dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuklah genetik. Lebih ramai saudara terdekat anda yang mengalami masalah rambut botak, lebih besar kemungkinan ia berlaku kepada anda.

Elemen genetik yang anda warisi berkaitan dengan masalah rambut botak ialah usia permulaan, kadar dan corak rambut botak yang anda mungkin alami. Faktor genetik ini mempengaruhi penghasilan hormon dan reseptor testosteron. Seorang lelaki mungkin menghasilkan banyak hormon dan masih tidak mengalami kehilangan rambut yang ketara jika dia hanya mempunyai beberapa reseptor dalam folikel rambutnya.

Disebabkan itu, dalam kembar serupa, rambut botak akan muncul pada usia yang sama, kadar dan dalam corak yang sama tanpa mengira persekitaran, diet atau gaya hidup. Namun dalam adik-beradik yang tidak serupa, kesan genetik yang mereka warisi agak berbeza.

Mencegah keguguran rambut

Walaupun sesetengah lelaki cenderung kehilangan lebih banyak rambut daripada yang lain, ada beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk melambatkannya. Salah satu cara adalah untuk mengelakkan keradangan folikel rambut. Ini bermakna tidak mewarnakan rambut dan mengenakan haba berlebihan.

Anda juga boleh membantu pertumbuhan rambut yang baik dengan memakan makanan yang sihat dan seimbang. Pastikan anda mendapat banyak zat besi, zink, Vitamin D, protein dan omega-3 asid lemak daripada makanan anda.

Jika anda telah pun mengalami masalah rambut botak, kini terdapat pilihan rawatan seperti ubat preskripsi dan pembedahan rambut. Rujuk pakar kesihatan anda untuk maklumat lanjut.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut