Perkembangan Janin Terganggu, Punca Kelahiran Bayi Pramatang

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Bayi pramatang didefinisikan sebagai bayi yang dilahirkan sebelum mencapai minggu ke-37 kehamilan. Ia boleh dibahagikan kepada tiga subkategori berdasarkan usia kehamilan iaitu, pramatang melampau (lahir kurang atau pada minggu ke-25), sangat pramatang (lahir kurang daripada 32 minggu kehamilan), pramatang sederhana (lahir antara minggu 32 dan 34 kehamilan) dan pramatang lewat (lahir antara minggu 34 dan 36 kehamilan). Namun, bagaimana berlakunya bayi pramatang? Adakah ia berpunca daripada gangguan perkembangan janin? Ikuti artikel ini untuk penjelasan lanjut.

Apakah risiko kelahiran bayi pramatang?

Risiko kelahiran tidak cukup bulan berbeza bergantung kepada keadaan. Terdapat pelbagai faktor yang boleh meningkatkan risiko anda untuk bersalin pramatang, seperti:

  • Merokok
  • Berat badan berlebihan atau kurang berat badan sebelum hamil
  • Penjagaan pranatal yang tidak baik
  • Mengambil alkohol semasa hamil
  • Mengalami keadaan kesihatan, seperti tekanan darah tinggi, preeklampsia, diabetes, gangguan pembekuan darah, atau jangkitan
  • Mengandungkan bayi yang mempunyai kecacatan kelahiran tertentu
  • Hamil dari hasil persenyawaan in vitro (IVF)
  • Mengandung kembar dua atau lebih
  • Mempunyai sejarah keluarga yang bersalin pramatang
  • Mengandung terlalu awal selepas kelahiran terdahulu

Tumbesaran tertangguh pada perkembangan janin

Satu kajian yang diterbitkan dalam Scientific Reports menyatakan, bayi yang mengalami pramatang melampau melalui proses tumbesaran tertangguh. Ia berkaitan dengan mikrobiotik, atau komuniti bakteria dan mikroorganisma lain yang tinggal di dalam usus.

Berdasarkan analisis metabolisma yang dilakukan kepada bayi pramatang ini menunjukkan bahawa badan mereka bertindak balas seolah-olah mereka sedang berpuasa. Penemuan ini juga menunjukkan perkembangan mikrobiotik unik dalam bayi pramatang dengan masalah tumbesaran, berkemungkinan menyumbang kepada ketidakupayaan mereka untuk memetabolisma nutrien dengan betul.

Menurut Ketua Pegawai Bersekutu Penyelidikan Sains Asas di Stanley Manne Children’s Research Institute di Ann & Robert H. Lurie Children’s Hospital of Chicago, yang juga merupakan Profesor Penyelidikan Pediatrik, Mikrobiologi dan Imunologi di Northwestern University Feinberg School of Medicine, Dr Patrick Seed berkata, melalui penyelidikan yang dilakukan, mereka dapat mengenal pasti ciri-ciri dalam mikrobiotik dan metabolisma yang mempunyai hubung kait dengan kegagalan pertumbuhan yang mungkin dapat memberikan cara serta kaedah baru untuk meramal, mencegah dan merawat masalah yang berlaku dalam kalangan bayi pramatang.

Tambah beliau lagi, walaupun pada masa kini saintis tidak mempunyai cara untuk mengenal pasti bayi dengan risiko kegagalan tumbesaran, tetapi kewujudan mikrobiotik mungkin dapat membantu memberikan bimbingan intervensi individu dan mengukur tindak balas terhadap terapi.

Perbezaan komposisi mikrobiotik

Mikrobiotik bagi seorang individu dianggarkan terdiri daripada satu trilion bakteria, dengan 10 kali jumlah sel microbial bagi setiap manusia. Kajian membuktikan bahawa ciri-ciri mikrobiologi tertentu memainkan peranan dalam menjadi faktor penentu berkaitan obesiti, alahan, asma, diabetes, penyakit autoimun, kemurungan dan pelbagai jenis kanser. 

Kajian juga menunjukkan perbezaan yang amat ketara antara bayi yang lahir cukup bulan dengan bayi lahir secara pramatang. 

Dr Seed yang juga merupakan Ketua Bahagian Penyakit Berjangkit di Lurie Children’s memberitahu bahawa dalam penyelidikan tersebut mereka turut mengkaji hubungan antara mikrobiotik usus, metabolisma dan pertumbuhan pada bayi pramatang. Hasil keputusan yang diperolehi adalah masih memerlukan lebih banyak kajian untuk dilakukan. Penyelidik masih lagi dalam usaha mengkaji sama ada kematangan mikrobiotik dan metabolisma tertentu adalah mempunyai hubung kait dengan bayi yang mempunyai masalah tumbesaran atau tidak.

Gangguan kognitif dan motor

Kegagalan tumbesaran perkembangan janin yang baik kepada bayi pramatang dipercayai menjadi faktor risiko kepada masalah gangguan kognitif dan motor, serta cenderung menyebabkan bayi ini membesar dengan risiko menghidap obesiti, diabetes dan penyakit jantung. 

Dalam kajian yang dijalankan ke atas 58 bayi yang lahir sebelum atau pada minggu ke-27 kehamilan, dengan purata berat 0.9 kilogram, mendapati 36 bayi mengalami kegagalan tumbesaran, manakala bakinya membesar dengan kadar pertumbuhan yang sesuai. Kumpulan 36 bayi ini mempunyai perbezaan konsistensi dalam mikrobiotik dan metabolisma tanpa mengambil kira komplikasi pramatang seperti sepsis (jangkitan darah), necrotizing enterocolitis (keradangan usus) atau intestinal perforation (penembusan usus).

Bayi dengan masalah tumbesaran dan perkembangan janin akan mengalami gangguan kematangan mikrobiotik usus, yang dicirikan dengan tahap kepelbagaian bakteria yang rendah, dominasi bakteria penyebab penyakit tertentu seperti Staphylococcus dan Enterobacteriaceae, serta perkadaran bakteria tidak berbahaya yang rendah seperti Veillonella. Mereka juga menampakkan perkembangan metabolik yang lambat dengan ciri-ciri yang menunjukkan kekurangan metabolisma glukosa dan bahan non-lipid (lemak), yang membuatkan kebergantungan yang lebih tinggi kepada asid lemak. Bayi yang mengalami masalah kegagalan tumbesaran dan perkembangan janin akan berterusan berada dalam keadaan fisiologi seakan berpuasa. 

Tambah Dr Seed lagi, melalui analisis yang diperolehi mungkin boleh dianggap sebagai penjelasan kepada penyebab peningkatan bekalan kalori kepada bayi yang mengalami kegagalan pertumbuhan sering kali tidak mendatangkan hasil. 

Beliau turut mengatakan untuk menghasilkan rawatan yang berkesan, saintis dan penyelidik perlu untuk lebih memahami mengenai masalah tumbesaran dan perkembangan janin serta ketidakupayaan bayi pramatang untuk menggunakan nutrien.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut