backup og meta

Kesan Penuaan Populasi Asia

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 29/11/2019

    Kesan Penuaan Populasi Asia

    Asia dijangkakan akan memiliki lebih dari 60% dari jumlah penduduk berumur 65 tahun ke atas di seluruh dunia pada tahun 2030, menurut laporan Deloitte’s Global Economists Network. Menjelang 2042 – akan ada lebih ramai penduduk berusia lebih 65 tahun di Asia berbanding populasi Europah dan Amerika Utara digabungkan.

    Apabila bercakap tentang perubahan demografi di Asia, tiada polisi universal yang boleh diikuti, sebaliknya memerlukan penggubalan polisi yang bersesuaian mengikut negara. Dalam negara seperti Jepun, berlaku penuaan populasi yang pesat sehingga tenaga buruh kian berkurangan. Sementara negara seperti Filipina menyaksikan lambakan golongan muda mencari peluang pekerjaan.

    Negara-negara Asia dan Dividen Demografik

    Dividen demografik adalah kejadian di negara yang menikmati pertumbuhan ekonomi pesat yang berpunca dari penurunan kadar kesuburan dan kematian. Di negara-negara membangun, walaupun terdapat penurunan kadar kematian, kadar kelahiran masih tinggi. Oleh itu, negara-negara ini jarang menikmati manfaat ekonomi yang dikenali sebagai dividen demografik.

    Negara yang mengalami kadar kelahiran yang rendah di samping kadar kematian rendah menerima dividen ekonomi atau manfaat daripada peningkatan produktiviti penduduk yang bekerja. Semakin sedikit kelahiran didaftarkan, bilangan tanggungan lebih kecil berbanding penduduk yang bekerja. Dengan sedikit tanggungan dan lebih ramai orang dalam tenaga buruh, sumber ekonomi dapat dilaburkan pada perkara lain untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi negara dan kemakmuran masa depan penduduknya.

    Asia yang merupakan kuasa besar ekonomi dunia dengan produktiviti tenaga kerja yang memberangsangkan. Tetapi kini, statistik menunjukkan dividen demografik yang dinikmati negara-negara Asia bakal berakhir kerana perubahan demografik.

    Perubahan Demografik Asia dan Kesannya

    Penuaan populasi memberi kesan kepada KDNK negara. Contohnya bagi Jepun, nilai KDNK akan berkurang sebanyak 1% sepanjang 3 dekad yang mendatang. Sementara di India dan Filipina yang memiliki populasi termuda di rantau Asia, peningkatan tenaga buruh boleh meningkatkan KDNK dengan kadar yang sama. Malaysia masih berada di zon selamat dengan menyaksikan kadar golongan muda yang masih ramai.

    Imej: IMF

    Carta ini juga menunjukkan dimensi cabaran yang bakal dihadapi negara-negara Asia. Dividen demografik kerana tenaga kerja muda (berumur 15-64) yang selama ini membantu memacu pertumbuhan pesat rantau ini dalam beberapa dekad kebelakangan ini, akan berakhir.

    Kini, banyak negara, terutamanya di Asia Timur, akan menjadi masyarakat yang mengalami penuaan paling pesat di dunia dalam beberapa dekad akan datang. Pertumbuhan penduduk di rantau ini, yang sudah negatif di Jepun, semakin perlahan dan dijangka jatuh ke sifar pada 2050. Lebih dari satu pertiga penduduk di Singapura dan Korea Selatan berusia sekurang-kurangnya 50 tahun; dan hampir separuh penduduk Jepun.

    Apabila penduduk semakin menua, pekerja akan semakin sedikit. Tenaga kerja Asia dijangka menyusut seramai ratusan juta orang. Sebagai contoh, China berpotensi melihat penurunan sebanyak 170 juta orang dalam populasi usia pekerja dalam tempoh tiga dekad akan datang. Dari masa ke masa, tenaga kerja yang semakin berkurangan dan populasi yang semakin tua boleh bermakna kenaikan kos penjagaan kesihatan dan perbelanjaan pencen. Ini memberi tekanan kepada belanjawan kerajaan, dan menyebabkan pertumbuhan negara yang lebih rendah, melainkan negara tersebut mempunyai dasar yang menyokong produktiviti dan pekerjaan yang berkualiti tinggi.

    Demografik Malaysia

    Sebaliknya, negara Asia yang lain seperti India dan Indonesia masih mendapat manfaat daripada dividen demografik, dengan bilangan penduduk dalam usia kerja yang semakin meningkat dan kadar kesuburan yang lebih tinggi.

    Imej: Jabatan Perangkaan Negara

    Walaupun Malaysia masih mempunyai tenaga kerja golongan muda yang ramai tetapi penuaan akan menjadi masalah yang bakal kita hadapi di masa akan datang. Menjelang tahun 2050 contohnya, 15% daripada populasi Malaysia dijangkakan berusia 65 tahun dan ke atas. Peratusan yang tiga kali ganda lebih tinggi berbanding 2010.

    Hala tuju Asia

    Disebabkan trend demografi ini membentuk masa depan ekonomi negara, peranan dasar negara akan menjadi sangat penting. Pembaharuan dalam tenaga kerja boleh menjadi kunci menghadapi penuaan populasi.

    Penghijrahan pekerja asing dapat mengurangkan impak buruk penuaan populasi dengan mengelakkan penurunan tenaga kerja domestik. Meningkatkan penyertaan tenaga buruh wanita juga, sebagai contohnya dengan memperluaskan kemudahan penjagaan anak di negara seperti Jepun, dan mempromosikan pekerjaan yang fleksibel juga boleh membantu.

    Malaysia sebagai antara negara Asia dengan populasi belia yang sihat mungkin belum lagi menghadapi keruncingan kekurangan tenaga kerja, sebaliknya lambakan graduan dengan 1 daripada 5 graduan universiti menganggur. Meskipun dasar kerajaan sekarang perlu digubal untuk membantu menyerap golongan muda Malaysia ke dalam tenaga kerja, dalam jangka masa panjang, golongan ini jugalah yang akan membentuk populasi tua yang ramai. Lantas Malaysia memerlukan pendekatan jangka masa panjang yang turut mengambil kira faktor penuaan populasi sepertimana negara-negara Asia lain.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 29/11/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan