backup og meta

Ageism atau Diskriminasi Umur Menjejaskan Tahap Kesihatan Warga Emas

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 15/11/2019

    Ageism atau Diskriminasi Umur Menjejaskan Tahap Kesihatan Warga Emas

    Kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati bahawa pandangan dan tingkah laku negatif terhadap warga emas berlaku dengan meluas di seluruh dunia. Lebih malang lagi, budaya ini boleh menjejaskan kesihatan golongan berumur ini.

    Menurut kajian tersebut yang melibatkan 83,000 responden di 57 buah negara, 60% responden melaporkan bahawa golongan warga emas masih tidak dihormati dan paling banyak berlaku dalam kalangan negara berpendapatan tinggi.

    Laporan ini dalam erti kata lain memberikan gambaran bahawa ageism atau diskriminasi terhadap warga emas bukanlah satu perkara yang jarang berlaku tetapi mungkin ramai tidak menyedarinya. Seperti diskriminasi kaum (racism) dan jantina (sexism), mengubah satu norma dalam masyarakat adalah tidak mustahil dan ia perlu dilakukan ke atas ageism agar masyarakat yang lebih sihat dan saling menghormati dapat diwujudkan.

    Ageism menjejaskan kesihatan

    Sama ada kesihatan fizikal atau mental, kedua-dua boleh terjejas kerana diskriminasi umur. Golongan warga emas yang merasakan dirinya sebagai beban dalam keluarga dan masyarakat melihat hidupnya sebagai sesuatu yang kurang berharga. Keadaan ini meletakkan dirinya ke dalam risiko depresi dan rasa terpinggir atau isolasi.

    Hakikat yang perlu ditelan ialah populasi dunia sedang mengalami penuaan, Malaysia juga tidak terkecuali. Warga emas berumur 65 tahun ke atas merangkumi sekitar 6% dari keseluruhan rakyat Malaysia dan angka ini semakin membesar kerana jangkauan umur semakin bertambah, dalam masa yang sama kadar kelahiran berkurang.

    Oleh itu, kebajikan golongan ini perlu diberikan perhatian.

    Diskriminasi umur boleh berlaku dalam banyak bentuk termasuk menggambarkan warga emas sebagai lemah dan bergantung kepada orang lain dalam media atau melalui amalan diskriminasi seperti mengehadkan khidmat kesihatan mengikut umur dan menolak pelanggan dari menyewa rumah hanya berdasarkan umur tanpa sebarang masalah kesihatan.

    Warga emas sebaliknya harus diberikan peluang untuk bersama-sama menyumbang dalam masyarakat. Pengalaman dan hikmah yang dimiliki oleh mereka boleh dimanfaatkan oleh generasi muda. Penyediaan pekerjaan sebagai sumber pendapatan juga adalah penting dalam membantu mereka menjalani kehidupan terutamanya bagi mereka yang kurang berkemampuan.

    Menjelang tahun 2025, bilangan warga emas berumur 60 tahun ke atas akan bertambah 2 kali ganda dan mencecah sehingga 2 bilion menjelang tahun 2050. Jika diskriminasi terus berlaku, lebih ramai yang akan terjejas.

    Mulakan hari ini. Ubah cara anda melihat warga emas!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 15/11/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan