Tip Moreh Yang Sihat

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Moreh telah menjadi amalan masyarakat Islam di Malaysia sejak sekian lama. Selepas solat, jemaah masjid akan beramai-ramai menikmati hidangan yang disediakan sambil bersembang.

Amalan ini sudah tentu banyak manfaatnya. Antaranya adalah merapatkan hubungan sesama jemaah masjid, menyediakan ruang untuk bersedekah dan memberikan motivasi kepada kanak-kanak untuk datang ke masjid.

Namun, jika ia tidak dikawal dan diselia dengan cermat, makan moreh di lewat malam mungkin boleh menyebabkan beberapa keadaan kesihatan, antaranya:

  • Menaikkan berat badan.
  • Menganggu kitaran tidur.
  • Kerap ke tandas di tengah malam.
  • Ketidakhadaman dan pedih ulu hati.

Jadi, saya tak boleh langsung makan moreh? Jangan risau, anda masih boleh makan moreh. Ikuti tip di bawah.

1. Kurangkan makanan bergula

Kita tidak selalunya mampu memilih makanan moreh. Apa yang tersedia, itulah yang dimakan. Sebolehnya, kurangkan makanan bergula seperti lepat pisang, onde-onde, akok atau donat. Walaupun semua kuih-muih mengandungi gula, cuba utamakan yang kurang kandungan gulanya seperti bahulu dan kuih sepit. Tapi malangnya jarang kuih ini ditemui semasa moreh.

Gula yang berlebihan tidak sihat untuk badan. Ikuti sebab anda perlu kurangkan gula di sini.

2. Elakkan makanan berat

Kadangkala, moreh bukan sahaja dihidangkan dengan kuih-muih, tetapi juga makanan berat seperti mi, mihun, nasi lemak atau keuy teow. Ini adalah waktu yang kurang sesuai untuk menikmati makanan berat seperti ini.

Namun, jika makanan sudah terhidang dan anda ingin merasainya, ambil dalam kuantiti yang kecil. Satu senduk penuh atau kurang sudah mencukupi. Jangan sampai menambah satu atau dua pinggan pula.

3. Teh O vs teh tarik

Jika ada dua pilihan air ini, pilihan yang lebih baik adalah teh O. Susu pekat manis yang digunakan di dalam teh tarik mengandungi lebih banyak gula berbanding teh O. Jika inginkan pilihan yang sihat, pastinya anda lebih tahu.

Satu atau dua kali seminggu tidak mengapa, tapi jangan sampai setiap hari selama sebulan anda mengambil teh tarik!

Banyak lagi air teh panas yang sedap boleh dijadikan sebagai alternatif seperti teh Sabah, teh strawberi atau teh kayu manis. Semuanya tidak kurang sedapnya.

4. Lebihkan waktu bersosial berbanding makan

Waktu moreh bukan sahaja patut dihabiskan dengan makan, tapi gunakan peluang ini untuk bersosial dan bertanya khabar. Mungkin ada kenalan yang sudah lama tidak bertentang mata atau jiran-jiran yang tak pernah ditemui sebelum ini.

Moreh adalah waktu yang baik untuk merapatkan hubungan. Jangan hanya sibuk menambah makanan sahaja, tambah juga kenalan.

5. Uruskan makanan lebih

Jika ada lebihan makanan ketika moreh, pastinya anda tidak mahu membazir. Tetapi tidak semestinya ia mesti dimakan pada waktu itu. Anda boleh bungkus dan simpan untuk dibawa ke waktu sahur. Kemudian, maklumkan kepada pihak surau atau masjid supaya mengurangkan kuantiti makanan untuk mengelakkan pembaziran.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Mei 23, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Disember 4, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut