Awas! Kunyit Ancam Kesihatan – Kajian

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Siapa yang tak kenal kunyit? Kunyit tau, bukan mengunyit. Ia merupakan antara bahan utama dalam masakan. Tapi tahu tak kunyit ni boleh mengancam kesihatan? Ha…tak percaya? Baca perkongsian artikel ini. 

Punca ancaman

Dalam satu kajian yang diterbitkan di Environmental Research, sekumpulan penyelidik dari Stanford University menyatakan kunyit mungkin menyebabkan peningkatan neurotoksin dalam darah sekali gus meningkatkan ancaman kepada kesihatan secara keseluruhan. 

Kajian yang dilakukan sejak 2014, para penyelidik berusaha mencari punca yang menyebabkan peningkatan neurotoksin dalam darah pada kebanyakan penduduk Bangladesh, khususnya dalam kalangan individu wanita dan kanak-kanak luar bandar. 

Melalui analisis sampel tanah dan temu ramah yang dilakukan penyelidik dengan petani dan pembuat rempah-rempah, telah memberikan jawapan kepada persoalan yang timbul selama ini. 

Menurut salah seorang penyelidik, Jenna Forsyth, “Pada mulanya kami beranggapan punca keracunan plumbum adalah daripada alam sekitar, mungkin tanah atau air. Dan mungkin ia berpunca daripada saluran paip utama.”

“Walau bagaimanapun, hasil penyelidikan membawa kami kepada satu jawapan dan penjelasan yang mengejutkan. Ia adalah mengenai bahan yang ditambah ke dalam makanan yang dimakan. Itulah puncanya,” jelas Jenna. 

Kunyit bahan utama

Sebelum ini terdapat kajian mengaitkan tentang kunyit yang mungkin menyebabkan keracunan. Selepas lima tahun kajian berterusan dilakukan, hasil kajian mencadangkan bahawa kunyit sememangnya mempunyai kaitan langsung dengan tahap neurotoksin dalam darah. 

Keputusan ini dicapai setelah pasukan penyelidikan dari Stanford ini membuat lawatan ke atas sembilan daerah utama pengeluaran kunyit di Bangladesh bersama dua daerah yang menghasilkan sedikit rempah. 

Di setiap lokasi kajian, penyelidik akan melakukan 154 wawancara ke atas individu yang menghasilkan dan menggunakan kunyit. Kajian turut mengumpul sampel kunyit, pigmen, habuk dan tanah dari pasar borong dan kedai runcit. 

Hasilnya, sampel dan pigmen kunyit tujuh daripada sembilan daerah didapati tercemar dengan plumbum. Bukti pencemaran terbaik adalah daripada analisis isotop, di mana penyelidik menemui cap jari kimia. Isotop yang diperolehi adalah sama dengan apa yang ditemui dalam darah pekerja industri penghasilan rempah kunyit di sana. 

Tingkatkan kebersihan

“Daripada hasil kajian ini, kami mengesyorkan campur tangan segera daripada pengeluar dan pengguna kunyit untuk menangani krisis yang melibatkan kesihatan awam. Ini adalah penting untuk memastikan kunyit bebas daripada plumbum,” ujar salah seorang penyelidik kajian ini.  

Seperti di kebanyakan negara Asia lain, Bangladesh turut tidak terkecuali menjadikan kunyit sebagai antara rempah utama. Malahan berdasarkan kajian yang dilakukan, ia adalah bahan yang dimasukkan ke dalam makanan setiap hari. 

Tanpa mengira jumlah, kandungan plumbum boleh menjadi toksik kepada otak dan badan. Ia boleh menurunkan IQ dan mengganggu perkembangan normal badan, terutama kepada golongan kanak-kanak. 

Dalam kajian yang pernah diterbitkan pada tahun 2018, pasukan penyelidikan Stanford yang sama pernah mendedahkan lebih 30 peratus daripada 430 individu wanita hamil di pendalaman Bangladesh yang terdedah dengan toksin plumbum di dalam darah mereka.  

Penjagaan kesihatan

Walaupun tidak terdapat bukti mengatakan rempah kunyit yang dihasilkan di Bangladesh dieksport ke luar dari negara itu tapi itu bukan bermaksud anda boleh mengabaikan isu ini. Sebaiknya, hadkan pengambilan kunyit dalam penghasilkan makanan seharian anda. 

 Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut