Lebih 1 Daripada 4 Rakyat Malaysia Mengalami Penyakit Mental

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Penyakit mental kini merupakan antara beban utama di seluruh dunia. Di Malaysia, hampir 30% rakyatnya mengalami keadaan mental, menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2015 (NHMS).

Umur 16-19 tahun paling banyak terkesan

Mengikut data daripada laporan yang sama, golongan dewasa muda berumur antara 16 hingga 19 tahun menunjukkan peratusan paling tinggi. Ini adalah waktu yang sangat kritikal dalam pembesaran seseorang. Ia adalah tempoh transisi antara remaja dan dewasa.

Terdapat banyak faktor yang mungkin menyumbang kepada keadaan ini. Peperiksaan besar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tekanan daripada keluarga, ketidakstabilan hormon dan transisi daripada alam persekolahan kepada pendidikan tinggi adalah antara sebab yang ada.

Tahap pendidikan adalah faktor yang penting

Jika dilihat dari sudut tahap pendidikan, mereka yang mempunyai tahap pendidikan tertinggi sekolah menengah paling banyak terjejas. Ini mungkin disebabkan kurang peluang kerjaya dan gaji yang lebih rendah berbanding mereka yang mempunyai kelulusan lebih tinggi.

Namun, apa yang sedikit menghairankan adalah peratusan paling rendah bagi penyakit mental adalah dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai pendidikan formal, jauh lebih rendah daripada tahap pendidikan tinggi (tertiari).

Gaji rendah meningkatkan risiko penyakit mental

Laporan menunjukkan bahawa peningkatan gaji seseorang adalah berkadar songsang (inversely propotional) dengan kelaziman penyakit mental sehingga gaji RM9,000 dan ke atas di mana risiko bertambah semula.

Data ini jelas menunjukkan kaitan rapat antara ekonomi dan kesihatan mental masyarakat. Beban dan tekanan daripada masalah ekonomi dan pendapatan negara ternyata menjejaskan kesihatan orang awam.

Kajian dan fokus terhadap penyakit ini harus diberikan

Lebih banyak kajian dan usaha harus diambil dalam membendung masalah ini. Peningkatan kes dalam kalangan dewasa muda dan kanak-kanak adalah satu petanda yang membimbangkan memandangkan mereka adalah golongan yang bakal menerajui negara pada masa akan datang. Jika sudah mengalami masalah kesihatan serius di umur yang muda, negara akan ketandusan sumber manusia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah menyeru semua negara agar langkah yang bersepadu dan serius perlu diberikan dalam menangani penyakit mental serta penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD). Akses kepada rawatan dan penjagaan perlu diperluas kerana banyak pesakit yang tidak tahu atau malu mendapatkan bantuan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut