Langkah Serius Perlu Diambil ke Atas Penyakit Tidak Berjangkit – WHO

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkenaan Penyakit Tidak Berjangkit atau Noncommunicable Diseases (NCD) mendesak agar langkah drastik diambil dalam menangani penyakit-penyakit kronik dan gangguan kesihatan mental. Ia memerlukan komitmen daripada pihak berkuasa atasan untuk segera mengawal wabak NCD yang menjadi punca utama kematian di dunia pada hari ini.

Kanser, diabetes, penyakit jantung dan paru-paru bertanggungjawab ke atas 41 juta kematian setiap tahun. Ia merangkumi 71% daripada seluruh kematian di peringkat global, dengan 15 juta daripadanya melibatkan umur antara 30 dan 70 tahun.

Penyakit tidak berjangkit adalah cabaran besar

Kemajuan teknologi dan sains perubatan pada hari ini telah banyak mengawal dan menghapuskan penyakit berjangkit. Penyakit seperti tuberkulosis dan polio yang dahulunya menjadi beban besar kepada dunia kini berjaya dikawal dengan baik.

Walau bagaimanapun, penyakit tidak berjangkit pula semakin meningkat. Seperti yang disebutkan melalui laporan WHO di atas, 71% daripada kematian adalah disebabkan oleh NCD. Negara-negara yang maju dalam sains dan teknologi seperti Amerika Syarikat serta negara-negara Eropah juga tidak terlepas daripada masalah ini.

WHO melalui suruhanjayanya menyarankan 6 perkara di dalam laporannya:

  1. Ketua negara dan kerajaan harus mengambil tanggungjawab dalam membawa agenda melawan NCD, berbanding menyerahkan tugas tersebut kepada Kementerian Kesihatan semata-mata kerana ia memerlukan kerjasama antara banyak sektor.
  2. Kerajaan harus mengenal pasti dan melaksanakan prioriti yang khusus daripada agenda NCD dan kesihatan mental mengikut keperluan awam.
  3. Kerajaan hendaklah merangka semula sistem kesihatan dengan memasukkan pencegahan dan kawalan NCD serta khidmat kesihatan mental di dalam perancangan dan polisi kesihatan sejagat.
  4. Kerajaan perlu meningkatkan kawalan efektif serta kerjasama dengan sektor swasta, ahli akademik, masyarakat sivil dan madani.
  5. Komuniti antarabangsa dan kerajaan harus merangka satu paradigma ekonomi baru untuk membiayai usaha menangani NCD dan kesihatan mental.
  6. Kerjaan hendaklah memperkasakan akauntabiliti atau ketanggungjawaban rakyatnya ke atas NCD dan meringkaskan mekanisme akauntabiliti antarabangsa yang telah sedia ada.

Ruang vakum antara punca dan masalah

Ruang antara punca dan masalah perlu diisi dengan solusi. Terlalu banyak kajian telah mengutarakan kaitan yang jelas antara punca dan penyakit-penyakit tidak berjangkit yang sedang melanda dunia pada hari ini. Tinggal lagi bagaimana ia mampu diselesaikan dengan kaedah yang paling sesuai dan berhikmah.

Ia bukan sekadar masalah kesihatan, tetapi juga berkait dengan pendidikan, sosial serta tabiat hidup. Sains dan teknologi semata-mata tidak akan mampu melahirkan masyarakat yang bertamadun dan sihat. Ia memerlukan lebih daripada sekadar itu.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut