Eh, Wanita Pun Boleh Alami Mimpi Basah?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Zaman sekolah dulu, kawan-kawan lelaki penulis sangat gemar berkongsi pengalaman mereka saat pertama kali mencapai akil baligh. Kelihatan kawan-kawan perempuan penulis tersipu malu apabila terdengar perbualan kami. Kemudian, penulis pun terfikir. Adakah wanita juga boleh alami mimpi basah ketika tidur? Kalau nak tahu, jom ikuti artikel ini!

Adakah mimpi basah itu normal?

Bagi lelaki, ia adalah perkara yang sangat normal. Mimpi basah (noctural orgasms), akan berlaku kepada remaja lelaki sebagai tanda sudah mencapai akil baligh. Punca ia berlaku adalah peningkatan hormon testosteron dalam tubuh badan.  

Ada sebab mengapa ia dipanggil mimpi basah. Ini kerana di saat lelaki itu sedang tidur, dia mungkin akan mengalami mimpi yang merangsang syahwatnya. Tanpa disedari, air mani akan terkeluar semasa tidur lalu membasahkan seluar dan tempat tidur anda. 

Sebenarnya, ia bukan sahaja akan berlaku sekali seumur hidup. Malahan, ada lelaki yang akan mengalaminya beberapa kali selepas akil baligh. Bagi lelaki, ia mungkin normal. Tetapi bagaimana pula dengan wanita?

Boleh atau tidak wanita alami mimpi basah?

Ya, wanita juga boleh alami mimpi basah, namun ia adalah sesuatu yang sangat jarang berlaku. Jika ia tidak pernah berlaku kepada anda, usah khuatir. Ia tidak bermakna kesihatan seksual anda berada pada tahap yang buruk, ya?

Menurut kajian yang diterbitkan oleh The Journal of Sex Research, 37% daripada wanita yang diselidik pernah mengalami mimpi basah. Kajian ini juga menyatakan bahawa aktiviti seksual yang sihat bersama pasangan mungkin menjadi punca ia berlaku.

Menurut kajian itu lagi, wanita yang mempunyai kehidupan seks yang sihat dan sejahtera bersama pasangan lebih berpotensi mengalami mimpi basah. Jadi, ia bukan merupakan satu petanda yang buruk jika anda kerap mengalaminya.

wanita mimpi basah

Sebab wanita alami mimpi basah

Sekarang anda sudah tahu bahawa ia normal berlaku kepada wanita. Namun begitu, apakah sebabnya?

#1. Rangsangan seksual sebelum tidur

Ia mungkin berlaku apabila wanita mengalami rangsangan seksual sebelum tidur. Ia mungkin berlaku ketika peringkat tidur REM (rapid eye movement). Ketika ini, aliran darah akan meningkat pada bahagian pelvik dan otak yang sekali gus menyebabkan tubuh badan terangsang secara seksual ketika sedang tidur.  

#2. Ketidakstabilan emosi

Selain itu, ia juga mungkin berlaku apabila wanita itu terlalu gembira atau terlalu stres. Aneh bukan? Akan tetapi, itulah hakikatnya. Namun, kajian lanjutan masih perlu dijalankan untuk mengetahui sejauh mana kesahihannya. 

Konklusi

Kesimpulannya, mimpi basah boleh berlaku kepada lelaki dan juga wanita. Pun begitu, anda perlu tahu bahawa setiap individu adalah berbeza. Jadi, jika anda tidak pernah mengalaminya atau terlalu kerap kali mengalaminya, jangan bimbang. Ia adalah sesuatu yang normal. Untuk lebih kepastian, sila dapatkan khidmat nasihat dan rawatan doktor.

Jadi, terjawab sudah persoalan penulis yang sekian lama bermain di fikiran. Cuma penulis nak pesan, jangan terlalu terbuka bercerita mengenai perkara ini kepada kawan-kawan tak kira lelaki atau perempuan ya? Takut nanti ada yang tidak selesa pula dengan anda.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut