backup og meta

Hubungan Antara Tekanan Darah Tinggi dan Serangan Jantung

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 04/07/2022

    Hubungan Antara Tekanan Darah Tinggi dan Serangan Jantung

    Tekanan darah tinggi adalah faktor risiko utama bagi banyak penyakit kardiovaskular. Kematian akibat komplikasi kardiovaskular seperti kegagalan jantung, strok dan serangan jantung dilaporkan lebih tinggi dalam kalangan pesakit yang memiliki tekanan darah tinggi.

    Dari segi serangan jantung, kedua-dua hipertensi sistolik dan diastolik meningkatkan risikonya. Semakin tinggi tekanan, semakin besar risiko. Walaupun faktor risiko utama lain seperti kencing manis, merokok dan kolestrol tinggi tiada dalam individu tersebut, peningkatan risiko akibat tekanan darah tinggi masih wujud. Ini menunjukkan bahawa tekanan darah tinggi sahaja boleh menjadi faktor penyumbang utama kepada serangan jantung.

    Bagaimana serangan jantung berlaku?

    Serangan jantung, juga dikenali sebagai myocardial infarction adalah keadaan yang boleh mengancam nyawa yang berlaku apabila aliran darah ke jantung tersekat. Ini biasanya disebabkan oleh pembentukan lemak, kolestrol dan bahan-bahan lain yang membentuk plak di arteri yang menyalurkan darah kepada jantung (arteri koronari). Aliran darah yang terganggu boleh menjejaskan atau merosakkan sebahagian daripada otot jantung.

    Serangan jantung boleh dikenal pasti melalui pelbagai simptom, yang paling biasa ialah tekanan, sesak, sakit, atau merasakan sakit di dada atau lengan anda. Tetapi tidak semua orang yang mengalami serangan jantung mempunyai simptom yang sama.

    Tekanan darah tinggi dan serangan jantung

    Tekanan darah tinggi menyebabkan ketegangan berlebihan terhadap dinding arteri koronari. Dari masa ke masa, tekanan tambahan ini boleh merosakkan lapisan arteri, menjadikan ia lebih cenderung untuk membina plak dan menyempitkan arteri. Proses ini dikenali sebagai aterosklerosis.

    Darah beku akan terbentuk sekiranya arteri dipenuhi dengan plak. Apabila arteri koronari tersekat akibat pengumpulan plak atau bekuan darah, aliran darah ke otot jantung terganggu, mengganggu bekalan oksigen dan nutrien. Hasilnya, kerosakan atau kematian bahagian otot jantung yang berlaku itulah dipanggil serangan jantung (myocardial infarction).

    Selain berasa sakit atau tidak selesa di bahagian dada atau lengan, serangan jantung mungkin juga hadir dengan rasa sakit atau ketidakselesaan di bahagian belakang, leher atau rahang. Begitu juga dengan loya, sesak nafas, sakit perut atau berasa seperti hendak pengsan. Sesetengah serangan jantung menyerang secara tiba-tiba, tetapi kebanyakan individu mempunyai simptom dan tanda-tanda amaran beberapa jam, hari atau minggu terlebih dahulu. Tanda amaran terawal mungkin terjadi apabila sakit di bahagian dada berulang yang diburukkan oleh pekerjaan berat dan diredakan dengan berehat. Jika anda mengalami satu atau lebih tanda-tanda amaran ini, dapatkan bantuan segera, walaupun anda tidak pasti sama ada ianya serangan jantung atau tidak.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 04/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan