Sexting Is Real! Ini Perkara Yang Patut Anda Beritahu Anak Anda

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Ada sesetengah individu seperti penulis hanya mula menggunakan telefon bimbit selepas tamat persekolahan, iaitu pada umur 18 tahun. Ada juga yang mula menggunakan telefon bimbit sejak berumur seawal 13 tahun. Kini, pelajar sekolah rendah juga telah mula memiliki telefon bimbit, dan kadangkala penulis terfikir, apakah keperluan untuk pelajar sekolah rendah memiliki alat telekomunikasi tersebut.

Mungkin ramai ibu bapa yang masih tidak menyedari betapa besarnya bahaya atau bahana yang mungkin anak anda hadapi akibat daripada penggunaan telefon bimbit. Sifat ingin tahu yang membuak-buak dalam diri kanak-kanak atau remaja sentiasa mendorong mereka untuk mencuba perkara baharu melalui telefon tersebut. Jangan terkejut sekiranya anak anda mula terlibat dengan sexting, iaitu mesej berunsur seks melalui penggunaan telefon. 

Panduan untuk anda menyatakan bahaya sexting kepada anak anda

Jangan tunggu sehingga ia mula merosakkan kehidupan dan sosial anak anda. Sekiranya anda masih mengambil berat dan prihatin mengenai isu sexting ini, baca panduan di bawah mengenai apa yang boleh anda lakukan bagi menyatakan bahaya sexting kepada anak anda.

#1. Berterus terang dengan anak anda

Bercakap mengenai seks atau dating sememangnya bukanlah satu perkara yang menyenangkan, apatah lagi antara ibu bapa dan anak-anak. Tetapi ia adalah langkah yang terbaik sebelum sesuatu yang buruk berlaku. Jangan tunggu sehingga berlakunya sesuatu yang tidak diingini untuk bercakap mengenai hal ini. 

#2. Ingatkan mengenai gambar

Nyatakan kepada anak anda bahawa setiap gambar yang telah dihantar, ia tidak lagi boleh ditarik balik. Mereka juga tidak lagi mempunyai kawalan sekiranya gambar tersebut mula tersebar ke platform-platform lain. Tanya anak anda, apakah perasaan mereka sekiranya rakan sekelas atau guru melihat gambar tersebut.

#3. Nyatakan mengenai tekanan yang dialami untuk menghantar gambar

Satu kajian yang dijalankan oleh Michigan State University menyatakan, remaja sering diganggu secara seksual oleh rakan mereka melalui platform online. Nyatakan bahawa sebesar mana tekanan yang akan dialami akibat daripada gangguan orang lain, potensi penghinaan sosial yang akan dialami sekiranya gambar tersebut tersebar adalah berkali-kali ganda lebih besar.

#4. Tindakan bermula daripada anak anda

Beritahu anak anda bahawa mereka perlu bertindak dengan menghentikan segala sebaran yang berlaku. Sekiranya terdapat mana-mana individu yang menghantar gambar yang bersifat seksual, anak anda perlu bertindak dengan memadamnya dan tidak menyebarkannya lagi.

#5. Simpan telefon mereka

Ini mungkin adalah cara yang paling berkesan. Anda hanya perlu menyimpan telefon bimbit mereka dan serahkan kembali apabila sudah tiba masanya. Cara ini lebih berkesan kerana anda tidak perlu pening kepala memikirkan bagaimana untuk mengawal penggunaan telefon anak anda.  

Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2009 mendapati, sekurang-kurangnya seorang daripada 4 orang remaja menerima email atau mesej berbentuk seksual. Manakala seorang daripada 7 orang remaja menghantar mesej atau gambar berunsur seksual. Kajian tersebut nyata menunjukkan bahawa sexting ini benar-benar berlaku tanpa disedari oleh kebanyakan ibu bapa. Ibu bapa tidak boleh sekadar mengharapkan bahawa anak mereka akan menggunakan telefon bimbit dengan baik kerana unsur-unsur kurang elok daripada luar akan tetap cuba menyinggahi hidup anak anda. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: November 12, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 3, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut