Cara Menghilangkan Bekas Jerawat yang Boleh Anda Ikuti

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Masalah jerawat sering berlaku kepada anda? Anda terfikir apakah cara menghilangkan bekas jerawat? Kesemua masalah yang berlaku pasti ada kaedah penyelesaiannya. Begitu juga dengan masalah parut jerawat yang boleh berlaku dalam kalangan individu daripada pelbagai peringkat usia. Ia bukanlah satu masalah yang besar sehingga menjadikan anda berasa stres dengan kulit wajah anda. Sebelum anda mengetahui apakah cara menghilangkan bekas jerawat, anda perlu memahami apakah perkara-perkara yang berkaitan dengan kemunculan jerawat.

Apakah itu akne?

Anda pasti kerap mendengar istilah jerawat tetapi kurang mengambil tahu mengenai akne. Akne adalah keadaan kulit yang berlaku apabila folikel rambut anda tersumbat dengan minyak dan sel-sel kulit mati. Ia sering menyebabkan whiteheads, blackheads atau jerawat, dan biasanya muncul di bahagian muka, dahi, dada, belakang badan dan bahu. Akne adalah satu perkara yang paling biasa berlaku dalam kalangan remaja, walaupun ia sebenarnya boleh berlaku terhadap individu daripada semua peringkat umur. Ia biasanya berlaku semasa baligh apabila kelenjar sebum diaktifkan. Ia tidak berbahaya, tetapi ia boleh meninggalkan parut pada kulit. Kelenjar menghasilkan minyak dan dirangsang oleh hormon lelaki yang dihasilkan oleh kelenjar adrenal yang terdapat pada kedua-dua lelaki dan wanita. Secara umumnya, akne adalah sejenis keadaan atau masalah kulit manakala jerawat pula adalah salah satu simptom bagi pembentukan akne.

Simptom-simptom terjadinya akne

cara menghilangkan bekas jerawat

Tanda-tanda dan simptom akne berbeza-beza bergantung kepada keterukan keadaan anda:

  • Whiteheads (liang pori yang tertutup)
  • Blackheads (liang pori yang terbuka)
  • Benjolan kecil berwarna merah yang lembut (papules)
  • Jerawat (pustules), yang merupakan papules dengan nanah pada bahagian hujungnya
  • Gumpalan besar, berketul dan menyakitkan di bawah permukaan kulit (nodules)
  • Benjolan yang menyakitkan dan penuh dengan nanah di bawah permukaan kulit (cystic lesions)

Penyebab kepada terjadinya akne

Terdapat empat faktor utama yang boleh menyebabkan terjadinya akne:

  • Pengeluaran minyak yang berlebihan
  • Folikel rambut tersumbat oleh minyak dan sel-sel kulit mati
  • Bakteria
  • Aktiviti sejenis hormon yang berlebihan (androgen)

Akne pada kebiasaannya muncul di bahagian muka, dahi, dada, belakang dan bahu anda kerana kawasan kulit di bahagian ini mempunyai kelenjar minyak (sebaceous) yang paling banyak. Folikel rambut atau bulu bersambung dengan kelenjar minyak.

Dinding folikel boleh membonjol atau menjadi besar dan menghasilkan whiteheads. Liang pori kulit juga boleh terbuka di bahagian permukaan kulit dan menjadi gelap, menyebabkan terjadinya blackheads. Blackheads mungkin kelihatan seperti kotoran yang tersekat pada liang-liang. Walau bagaimanapun, liang-liang tersebut sebenarnya dipenuhi dengan bakteria dan minyak, yang bertukar warna menjadi coklat apabila ia terdedah kepada udara.

Jerawat pula adalah sejenis bintik merah dengan warna putih di bahagian tengahnya yang terjadi apabila folikel rambut yang tersekat menjadi meradang atau dijangkiti bakteria. Penyumbatan dan keradangan yang membesar di dalam folikel rambut menghasilkan benjolan seperti cyst di bawah permukaan kulit anda. Liang-liang lain dalam kulit anda, yang merupakan bukaan bagi kelenjar peluh, pada kebiasaannya tidak menyebabkan akne.

Faktor-faktor yang boleh memburukkan keadaan akne

Faktor-faktor yang disenaraikan seperti berikut boleh mencetuskan atau memburukkan lagi akne:

  • Hormon. Androgen adalah hormon yang meningkat dalam kalangan kanak-kanak lelaki dan perempuan semasa akil baligh lalu menyebabkan kelenjar sebum membesar dan menghasilkan lebih banyak sebum. Perubahan hormon berkaitan dengan kehamilan dan penggunaan kontraseptif oral juga boleh memberi kesan terhadap pengeluaran sebum. Jumlah kandungan androgen yang rendah yang beredar dalam darah wanita boleh memburukkan keadaan akne.
  • Ubat-ubatan tertentu. Contohnya termasuklah ubat-ubatan yang mengandungi kortikosteroid, testosteron atau litium.
  • Diet. Kajian menunjukkan bahawa faktor pemakanan tertentu, termasuklah susu skim dan makanan yang kaya dengan kandungan karbohidrat seperti roti, nasi dan kerepek, boleh memburukkan keadaan akne. Coklat telah lama disyaki menjadikan akne lebih teruk. Kajian kecil yang dijalankan terhadap 14 orang lelaki yang mempunyai akne telah menunjukkan bahawa memakan coklat dikaitkan dengan memburukkan simptom akne. Kajian lanjut diperlukan untuk meneliti mengapa ini berlaku dan sama ada individu yang mempunyai akne akan mendapat manfaat daripada sekatan diet yang tertentu.
  • Stres. Stres boleh menyebabkan akne menjadi lebih teruk.

Mitos-mitos berkaitan akne

Faktor-faktor berikut hanya mempunyai sedikit kesan sahaja pada akne dan tidak terlalu banyak seperti yang diperbesarkan oleh sesetengah pihak:

  • Makanan berminyak. Makan makanan berminyak tidak mempunyai kesan terhadap akne. Walau bagaimanapun, bekerja di kawasan yang berminyak seperti dapur boleh menyebabkan akne terjadi kerana minyak yang terdapat di persekitaran boleh melekat pada permukaan kulit dan menyumbatkan folikel rambut. Hal ini boleh menjejaskan kulit atau menggalakkan akne.
  • Kebersihan. Akne tidak disebabkan oleh kulit yang kotor. Menggosok kulit dengan terlalu kasar atau dibersihkan dengan menggunakan sabun yang bersifat kasar atau bahan kimia yang merengsa kulit, boleh menyebabkan akne menjadi lebih buruk.
  • Kosmetik. Kosmetik tidak semestinya memburukkan keadaan akne, terutamanya jika anda menggunakan solekan bebas minyak yang tidak menyumbat liang-liang (noncomedogenic) dan menyingkirkan solekan secara kerap dan teratur. Produk kosmetik yang tidak berminyak tidak mengganggu keberkesanan ubat akne.

Faktor risiko terjadinya akne

cara menghilangkan bekas jerawat

Faktor risiko terjadinya akne termasuklah:

  • Umur. Individu daripada semua peringkat umur boleh mendapat akne, tetapi ia kerap berlaku dalam kalangan remaja.
  • Perubahan hormon. Perubahan hormon biasa berlaku dalam kalangan remaja, wanita, kanak-kanak perempuan, dan individu yang menggunakan ubat-ubatan tertentu, termasuk yang mengandungi kortikosteroid, androgen atau litium.
  • Sejarah keluarga. Genetik juga memainkan peranan dalam pembentukan akne. Sekiranya kedua-dua ibu dan bapa mempunyai akne, anda juga berkemungkinan akan mempunyai akne. 
  • Bahan berminyak atau bergris. Anda boleh mengalami akne di mana kulit anda bersentuhan dengan losyen dan krim berminyak atau dengan gris di kawasan anda bekerja, seperti dapur yang mempunyai tong minyak untuk tujuan penggorengan.
  • Geseran atau tekanan pada kulit anda. Ini boleh disebabkan oleh barangan seperti telefon, telefon bimbit, topi keledar, kolar pakaian yang ketat dan beg galas.
  • Stres. Stres tidak menyebabkan pembentukan akne, tetapi jika anda sudah memiliki akne, ia akan menjadikannya lebih teruk.

Bagaimana untuk mengelakkan terjadinya akne pada kulit saya?

Terdapat beberapa tip untuk anda mengelakkan pembentukan akne atau menguruskan akne yang telah terjadi.

  • Cuci muka anda tidak lebih daripada dua kali setiap hari dengan menggunakan air suam dan sabun yang bersifat ringan yang dibuat khas untuk merawat akne.
  • Jangan menggosok kulit atau memecahkan jerawat, kerana ini boleh menyebabkan jangkitan menjadi lebih merebak lalu menyebabkan lebih banyak penyekatan, pembengkakan, dan kemerahan.
  • Elakkan daripada memecahkan jerawat, kerana ini akan menimbulkan parut pada kulit di kemudian hari.
  • Pakar kulit boleh merawat jerawat yang memerlukan penyingkiran cepat untuk sebab-sebab kosmetik.
  • Berhenti daripada menyentuh muka.
  • Pegang telefon jauh daripada muka apabila bercakap, kerana ia mungkin mengandungi sebum dan sisa sel kulit mati.
  • Cuci tangan dengan kerap, terutamanya sebelum menggunakan losyen, krim, atau solekan.
  • Bersihkan cermin mata dengan kerap memandangkan sebum dan sisa kulit mudah terkumpul pada cermin mata.
  • Sekiranya akne berada di bahagian belakang badan, bahu, atau dada, cuba pakai pakaian yang longgar untuk membiarkan kulit bernafas. Elakkan daripada memakai pakaian yang ketat seperti headbands, topi, dan skarf, atau basuhnya dengan kerap jika ia sering digunakan.
  • Pilih solekan untuk kulit sensitif dan elakkan daripada menggunakan produk yang berasaskan minyak. Tanggalkan solekan sebelum anda tidur.
  • Gunakan pencukur elektrik atau pisau cukur keselamatan yang tajam semasa bercukur. Lembapkan kulit dan janggut dengan air sabun yang hangat sebelum menggunakan krim pencukur.
  • Pastikan rambut anda sentiasa bersih, kerana sebum dan sisa kulit mati boleh terkumpul di rambut anda. Elakkan produk rambut yang berminyak, seperti produk yang mengandungi mentega koko (cocoa butter).
  • Elakkan pendedahan terhadap cahaya matahari secara berlebihan, kerana ia boleh menyebabkan kulit menghasilkan lebih banyak sebum. 
  • Elakkan keresahan dan stres, kerana ia dapat meningkatkan pengeluaran kortisol dan adrenalin, yang boleh menjadikan akne menjadi lebih buruk.
  • Cuba untuk kekal sejuk dan kering di dalam iklim yang panas dan lembap, untuk mengelakkan anda berpeluh.

Akne dan jerawat adalah satu masalah yang biasa. Ia mungkin boleh menyebabkan seseorang individu berasa malu, tetapi banyak rawatan yang telah tersedia untuk anda dan kebanyakannya berkesan merawat masalah akne dan jerawat.

Apakah cara menghilangkan bekas jerawat?

Kemunculan jerawat sememangnya meresahkan setiap individu tetapi parut kesan jerawat adalah lebih merisaukan. Parut jerawat terbentuk apabila breakout yang terjadi menembusi kulit secara mendalam dan merosakkan tisu-tisu di bawahnya. Sebelum anda cuba merawat bekas parut anda, penting untuk anda mengetahui jenis parut tersebut terlebih dahulu. Setiap jenis parut yang terbentuk akan bertindak balas terhadap rawatan secara berbeza. Terdapat beberapa kaedah untuk menghilangkan bekas jerawat yang boleh anda gunakan. Walau bagaimanapun, anda perlulah merawat akne dan jerawat anda terlebih dahulu sebelum merawat parut jerawat. 

Cara menghilangkan bekas jerawat 1: Asid hidroksi alpha

Asid hidroksi alpha (AHAs) sering dijumpai dalam produk yang dihasilkan untuk merawat jerawat kerana ia membantu menyingkirkan kulit mati dan mencegah liang daripada tersumbat. AHA juga boleh membantu menjadikan parut jerawat kelihatan kurang ketara. Asid ringan mengelupaskan lapisan luar kulit untuk membantu menghilangkan perubahan warna dan kulit kasar. Kaedah ini sesuai untuk semua jenis parut jerawat. Anda perlu mencari produk yang mengandungi kandungan asid hidroksi alpha.

Cara menghilangkan bekas jerawat 2: Asid laktik

Kajian kecil yang dilaksanakan pada tahun 2010 mendapati bahawa rawatan kulit yang menggunakan asid laktik sekali dalam setiap dua minggu selama tiga bulan telah meningkatkan tekstur, penampilan, dan pigmentasi kulit selain mengurangkan parut jerawat. Terdapat pelbagai produk seperti serum dan salap yang mengandungi asid laktik yang boleh anda gunakan. Anda juga boleh menggunakan cuka cider epal sebagai toner memandangkan cuka ini mengandungi kandungan asid laktik semula jadi. Penggunaan asid laktik juga sesuai untuk semua jenis parut jerawat.

Cara menghilangkan bekas jerawat 3: Retinoid

Retinoid topikal adalah jenis rawatan jerawat yang lain dengan faedah yang memberikan kelegaan pada parut. Selain mempercepat pertumbuhan semula sel anda dan meningkatkan tekstur kulit anda, retinoid juga dapat membantu mengurangkan perubahan warna dan menjadikan parut kurang ketara berdasarkan kajian terbaharu. Walau bagaimanapun, retinoid juga boleh membuatkan kulit anda amat sensitif terhadap cahaya matahari. Sentiasalah memakai pelindung matahari (sunscreen) setiap hari apabila menggunakan sebarang produk yang mengandungi retinoid. Anda juga boleh mencari krim dan serum dengan kandungan retinoid di farmasi, walau bagaimanapun doktor anda juga boleh menetapkan kepekatan yang lebih tinggi. Cari produk yang menyenaraikan retinol sebagai salah satu bahan aktif. Kaedah ini terbaik untuk parut mendalam atau atropik. 

Cara menghilangkan bekas jerawat 4: Asid salisilik (salicylic acid)

Asid salisilik membersihkan liang-liang, mengurangkan pembengkakan dan kemerahan, selain mengelupaskan kulit apabila digunakan secara topikal. Ia dianggap sebagai salah satu rawatan terbaik untuk parut jerawat. Anda boleh menambahkan produk dengan kandungan asid salisilik ke dalam rutin harian anda. Ia mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk melihat perbezaan apabila menggunakan asid salisilik. Asid salisilik juga boleh menyebabkan kekeringan atau kerengsaan, oleh itu anda mungkin perlu mengurangkan penggunaan produk yang mengandungi asid salisilik. Asid salisilik juga merupakan antara penyelesaian terbaik untuk semua parut jerawat.

Sekiranya rawatan di rumah tidak berkesan terhadap kulit anda, anda boleh mencuba dengan mendapatkan rawatan daripada pakar penjagaan kulit. Terdapat beberapa jenis kaedah yang boleh anda dapatkan daripada pakar penjagaan kulit dan antaranya adalah seperti berikut:

Cara menghilangkan bekas jerawat 5: Dermabrasion

Dermabrasion adalah salah satu rawatan paling berkesan dan biasa untuk bekas parut muka. Walaupun ia menggunakan prinsip umum yang sama seperti kit microdermabrasion yang boleh anda lakukan di rumah, pakar penjagaan kulit menggunakan berus dawai atau roda untuk mengelupaskan lapisan atas kulit dengan lebih mendalam. Kaedah ini merupakan kaedah terbaik untuk parut yang berada berhampiran dengan permukaan kulit. Walau bagaimanapun, kaedah ini juga berkesan terhadap parut yang lebih dalam.

Cara menghilangkan bekas jerawat 6: Laser 

Sama sepertimana kaedah dermabrasion, kaedah laser resurfacing membuang lapisan atas kulit. Rawatan ini biasanya mempunyai masa penyembuhan yang lebih cepat berbanding daripada rawatan resurfacing yang lain. Walau bagaimanapun, anda perlu membalut kawasan yang terlibat dengan menggunakan pembalut sehingga ia sembuh sepenuhnya. Rawatan ini juga bukanlah pilihan yang baik untuk sesiapa sahaja yang masih mengalami jerawat, dan ia tidak berkesan terhadap tona kulit yang lebih gelap. Kaedah ini berkesan untuk semua parut jerawat dan tona kulit yang lebih cerah.

Cara menghilangkan bekas jerawat 7: Pengisi (filler)

Pakar penjagaan kulit menggunakan filler untuk mengisi parut jerawat dan membantu meratakan kulit. Filler boleh dihasilkan dengan kolagen, lemak, atau filler komersial. Ia disuntik di bawah permukaan kulit untuk membantu menganjalkan dan melicinkan parut yang wujud. Kebanyakan filler bertahan antara 6 dan 18 bulan sebelum ia perlu dilakukan semula. Walau bagaimanapun, terdapat juga filler yang bersifat kekal. Kaedah filler ini berkesan terhadap seseorang yang mempunyai sejumlah kecil bekas atau parut jerawat.

Cara menghilangkan bekas jerawat 8: Microneedling

Rawatan yang terbaharu ini menggunakan roller bersaiz kecil dengan jarum kecil yang boleh digenggam. Jarum tersebut membuat tusukan pada kulit yang kebas. Apabila kulit sedang mengalami proses penyembuhan, ia menghasilkan kolagen. Berdasarkan American Academy of Dermatology, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa microneedling membantu mengurangkan kedalaman parut jerawat, tetapi rawatan ini boleh mengambil masa sehingga 9 bulan untuk melihat perubahan yang dilakukannya. Ia adalah sejenis rawatan yang selamat yang berfungsi untuk semua warna kulit. Kaedah ini sesuai untuk jenis parut jerawat yang lebih dalam.

Cara menghilangkan bekas jerawat 9: Suntikan

Terdapat beberapa jenis ubat yang boleh disuntik ke dalam parut yang terbentuk untuk membantu melembutkan dan meratakannya, termasuklah kortikosteroid dan ubat-ubatan kemoterapi fluorouracil (5-FU) dan interferon. Suntikan biasanya dilakukan dalam bentuk siri dengan satu suntikan untuk setiap beberapa minggu.

Cara menghilangkan bekas jerawat 10: Chemical peels

Chemical peel adalah sejenis asid kuat yang digunakan untuk menanggalkan lapisan kulit paling atas untuk mengurangkan parut yang lebih dalam. Sesetengah chemical peel bersifat sederhana yang boleh digunakan di rumah, tetapi pakar penjagaan kulit boleh menyediakan chemical peel yang lebih kuat untuk mendapatkan hasil yang lebih berkesan. Terdapat pelbagai jenis chemical peel yang ada di pasaran, oleh itu, dapatkan nasihat daripada pakar kulit yang berkelayakan berkenaan chemical peel yang paling sesuai dengan keadaan kulit anda. 

Sebarang jenis rawatan atau cara menghilangkan bekas jerawat atau akne yang ingin anda ambil perlulah mengikut kesesuaian kulit anda. Jika anda tidak pasti mengenai keadaan atau jenis kulit anda, dapatkan nasihat dan pendapat daripada pakar penjagaan kulit atau ahli dermatologi yang berkelayakan untuk memastikan setiap langkah yang anda ambil tersebut memberikan kesan yang maksimum.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut