Lelaki Zaman Sekarang Kurang Subur Berbanding Wanita?

Sudah menjadi impian setiap pasangan suami isteri yang sudah berkahwin untuk menimang cahaya mata. Pun begitu, tidak semua mereka bernasib baik. Ada pasangan yang akan mempunyai masalah dalam aspek kesuburan mereka, baik pasangan lelaki atau wanita.

Kira-kira satu daripada tujuh (1:7) nisbah pasangan suami isteri cenderung mempunyai masalah ketidaksuburan. Lebih mengejutkan, secara tradisinya 15% daripada jumlah ini sebenarnya adalah berpunca daripada pasangan lelaki!

Jadi, apakah sebenarnya punca masalah ini berlaku? Adakah faktor pemakanan, pekerjaan atau gaya hidup memainkan peranan yang besar? Untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut, sila ikuti artikel ini.

Kesuburan lelaki kian merosot

Menurut Dr. Helena Lim yang merupakan pakar kesuburan dari KL Fertility & Gynaecology Centre, masalah kesuburan sudah pasti tidak tertumpu kepada wanita sahaja. Sejak 5 hingga 10 tahun kebelakangan ini, masalah ketidaksuburan dalam kalangan lelaki telah meningkat dan kini, 40% hingga 50% dari masalah ketidaksuburan adalah berpunca daripada pasangan lelaki.

Persoalannya, apakah punca sebenar yang menyebabkan lelaki menjadi kurang subur? Berikut merupakan faktor-faktornya:

  • Masalah penghasilan sperma
  • Masalah penghantaran sperma
  • Masalah hubungan seksual
  • Masalah hormon

Azoospermia

Selain itu, terdapat satu lagi masalah kesuburan lelaki yang mungkin kebanyakan kita masih belum tahu tentangnya iaitu azoospermia. Ia adalah kondisi di mana tiada sperma ditemui di dalam air mani. Kondisi ini mungkin boleh berlaku disebabkan oleh 2 perkara berikut:

#1. Masalah produksi sperma

Kondisi ini berlaku ekoran buah zakar tidak dapat menghasilkan sperma atau jika berjaya dihasilkan sekalipun, jumlahnya terlalu sedikit.

#2. Masalah obstruksi sperma

Kondisi ini berlaku ekoran sperma yang berjaya dihasilkan oleh buah zakar tidak tersekat dek kerana terdapat halangan pada laluan sperma semasa ejakulasi.

Jika anda khuathir bahawa anda merupakan salah seorang individu yang mungkin mengalaminya, anda boleh melakukan ujian fizikal dan ujian hormon untuk memastikan buah zakar anda adalah sihat dan tahap hormon testosteron, FSH dan LH anda berada pada tahap yang normal atau tidak.

Di sebalik masalah azoospermia dan pelbagai lagi masalah lain yang dinyatakan ini, akan timbul persoalan yang akan bermain di minda kita iaitu adakah terdapat sebarang aspek lain yang mempengaruhi peningkatan kadar ketidaksuburan lelaki pada masa kini? Sebenarnya, ia masih menjadi tanda tanya dan pelbagai lagi kajian lanjutan perlu dijalankan. 

Hakikatnya, ia mungkin berkait rapat dengan aspek pemakanan, pekerjaan atau gaya hidup zaman sekarang secara keseluruhannya. Mungkin, ada sesuatu yang perlu kita semua ubah. Jadi, adalah lebih penting untuk anda memastikan anda sentiasa menjalani hidup yang lebih sihat demi kesuburan dan kesihatan anda dan pasangan.

Jadi, apakah yang anda boleh lakukan?

Menurut Dr. Helena lagi, anda sebenarnya tidak perlu tunggu sehingga anda sudah lama mencuba tetapi belum berjaya mendapat anak. Sebaiknya, ujian kesuburan perlu dilakukan dengan kadar segera terutamanya jika anda sudah mencecah usia 35 tahun ke atas. Ini bertujuan untuk doktor dan anda sendiri tahu apa punca sebenar anda dan pasangan masih belum berjaya bergelar ibu atau bapa.

Dalam pada itu, kesuburan ini sebenarnya bermula dari dalam diri kita sendiri. Perhatikan hidup anda dan pasangan, dan kemudian cuba analisis di mana silapnya. Anda mungkin akan mendapat jawapannya dengan mudah iaitu, gaya hidup anda. Oleh itu, apakah yang anda boleh lakukan untuk mengubahnya demi kesuburan anda?

Ubah gaya hidup anda dengan kadar segera!

Seperti mana yang kebanyakan kita sudah tahu, gaya hidup sangat mempengaruhi kesuburan anda. Perbuatan seperti menghisap rokok atau meminum alkohol adalah tentu sekali tidak bagus untuk kesuburan anda serta kesihatan anda secara keseluruhannya. Jadi, untuk apa anda masih mahu meneruskan tabiat yang sia-sia ini?

Selain itu, jaga pemakanan anda. Pastikan anda dan pasangan mengamalkan diet yang seimbang agar tubuh badan anda sentiasa dipenuhi dengan nutrisi. Dalam pada itu juga, sentiasa kekal positif dalam pekerjaan ataupun ketika menjalani kehidupan secara amnya. Dalam erti kata yang lain, cuba sebaik mungkin untuk mengelakkan tekanan!

Untuk lebih kepastian, segera dapatkan khidmat nasihat atau rawatan lanjutan daripada doktor pakar kesuburan. Jika perlu, pelbagai lagi ikhtiar berteraskan teknologi masa kini seperti induksi ovulasi, IUI (Intra-Uterine Insemination), ICSI (Intracytoplasmic Sperm Injection) atau IVF (In-Vitro Fertilisation) boleh anda cuba. 

Oleh itu, segera berhubung dengan pakar kesuburan anda dalam kadar yang segera untuk memastikan anda dan pasangan berada pada laluan yang betul dalam usaha mendapatkan cahaya mata.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

enEnglish

Dr Helena Lim Yun Hsuen Kesuburan- Obstetrik dan Ginekologi

Dr Helena Lim Yun Hsuen merupakan pakar kesuburan di KL Fertility Centere. Beliau menerima ijazah kedoktoran dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1999, dan menjadi Perunding dalam bidang Obstetrik & Ginekologi semenjak tahun 2006.  Pada tahun 2018, Dr Helena telah menerima anugerah Fellowship dari Royal College of Obstetricians & Gynecologists, UK (FRCOG). Beliau seseorang yang sangat meminati bidang kesuburan dan kesihatan wanita khususnya berkaitan kesan pemakanan, tekanan dan psikologi mengenai kesuburan.

Lihat Lebih Lagi
Artikel Terkini