Jadi Buta Disebabkan Pemakanan?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dengan mata, anda boleh melihat pelbagai ciptaan Tuhan yang cantik dan menarik. Tetapi dengan mata juga menjadi punca anda membawang? Haa..tak percaya? Kalau anda nampak perkara yang anda tidak suka, sudah tentu anda akan menjadikan ia topik bualan anda dengan rakan, bukan? Kira membawanglah tu.  

Tetapi adakah anda tahu pemakanan boleh menyebabkan anda buta? Menurut laporan yang diterbitkan dalam Annals of Internal Medicine menyatakan individu yang terlalu memilih makanan (picky eater) boleh mengakibatkan kebutaan dalam kalangan individu remaja. 

Diet pemakanan tidak sihat

Para penyelidik dari University of Bristol mencadangkan pihak perubatan untuk mempertimbangkan aspek neuropati optik pemakanan (NON) tanpa mengira BMI, sebagai antara punca masalah penglihatan. Keadaan ini adalah terutamanya kepada individu yang berdepan dengan masalah penglihatan tanpa sebab kukuh dengan diet pemakanan yang tidak sihat.

NON adalah disfungsi saraf optik yang penting untuk penglihatan. Keadaan ini boleh dicegah, sekiranya dirawat dengan segera. Namun, tanpa rawatan, ia boleh mengakibatkan kerosakan kekal kepada saraf optik dan sekali gus risiko menjadi buta.

Di negara maju seperti United Kingdom, punca NON yang paling kerap berlaku adalah berkaitan masalah usus atau pengambilan ubatan yang mengganggu penyerapan nutrien penting dalam perut. Namun, bagi negara lain yang berdepan isu kemiskinan, peperangan serta kemarau, masalah ini adalah sangat tinggi dan ia berkait rapat dengan kekurangan zat pemakanan.

Punca buta kekal

Terdapat satu kajian kes mengenai seorang pesakit iaitu individu remaja berusia 14 tahun, yang dikaji di Bristol Medical School and the Bristol Eye Hospital. Pesakit itu telah berjumpa dengan pakar perubatan dan mengadu keletihan. Ketika itu kaitan antara pemakanan dan penglihatannya tidak dianggap sebagai antara punca sehinggalah pesakit itu mengalami kebutaan kekal.

Walaupun pesakit tersebut merupakan picky eater tetapi mempunyai BMI dan ketinggian normal. Malahan tiada tanda-tanda kekurangan zat pemakanan dan tidak mengambil sebarang ubatan. 

Ujian awal hanya menunjukkan masalah macrocytic anemia dan kekurangan vitamin B12, dan hanya diberikan suntikan vitamin B12 bersama nasihat pemakanan. Setahun kemudian, pesakit ini mula kehilangan pendengaran dan simptom masalah penglihatan mula berkembang. Walau bagaimanapun, pakar perubatan masih tidak menjumpai puncanya. Akhirnya pada usia 17 tahun, penglihatan pesakit ini semakin merosot hinggalah dia mengalami titik buta. 

Setelah penyiasatan terperinci dijalankan, mendapati bahawa pesakit ini bukan sahaja kekurangan vitamin B12, tetapi dia juga mempunyai tahap mineral tembaga dan selenium rendah, kandungan zink tinggi, kemerosotan vitamin D serta ketumpatan mineral tulang yang ketara. Keadaan ini berlaku disebabkan tabiat pemakanan yang tidak sihat seperti hanya mengambil kerepek kentang, kentang goreng, roti putih serta daging yang diproses hampir setiap hari. 

Penyelidik memutuskan bahawa sejarah pemakanan perlu dijadikan sebahagian daripada rutin pemeriksaan klinikal dan tidak hanya melihat kepada pengambilan kalori serta status indikator BMI semata-mata. 

Apa yang boleh disimpulkan di sini adalah tabiat memakan makanan ringan (yang kerap), pengambilan vitamin dan mineral terhad menjadi faktor kepada isu NON. Isu ini boleh dicegah pada masa hadapan jika masyarakat mendapat kesedaran mengenai keburukan makanan ringan dan lebih mengamalkan pemakanan yang seimbang dan sihat. 

Jadi jaga aspek pemakanan anda, supaya anda boleh terus melihat keindahan alam serta makhluk ciptaan Tuhan yang cantik dan tampan. Siapa yang tidak suka melihat individu yang cantik dan tampan, bukan?

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Oktober 1, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 3, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut