backup og meta

Setiap Hari Perangai Pelik Ini Muncul, Perhatikan 10 Tanda OCD Yang Mungkin Anda Alami

Setiap Hari Perangai Pelik Ini Muncul, Perhatikan 10 Tanda OCD Yang Mungkin Anda Alami

Adakah anda mempunyai kebiasaan atau rutin melampau yang menjengkelkan orang lain?Terlalu kerap menggunakan pensanitasi tangan, almari terlebih kemas? Mungkin semua ini adalah sebahagian daripada personaliti dan tabiat anda, tetapi mungkin juga ini menunjukkan masalah yang lebih serius. Pernahkah anda bertanya jika anda mempunyai Kecelaruan Obsesif Kompulsif atau OCD (Obsessive Compulsive Disorder).

Agar sukar untuk membezakan antara OCD dan kecenderungan personaliti, tetapi terdapat 10 corak tabiat yang sangat sinonim dengan OCD.

1. Basuh tangan

Tabiat membasuh tangan atau menggunakan pensanitasi tangan secara melampau adalah sangat lazim dalam kalangan pesakit OCD sehingga diklasifikasikan sebagai satu kategori pesakit OCD. Kecenderungan ini biasanya didorong oleh ketakutan pada kuman (obsesi yang paling biasa ditemui dalam OCD), tetapi ia juga boleh berpunca daripada ketakutan untuk membuat orang lain sakit atau tidak mahu terasa tidak suci atau tidak bermoral.

Bila patut dapatkan bantuan: Jika anda berfikir tentang kuman walaupun selepas mencuci tangan, bimbang tidak menyental secukupnya, atau mempunyai ketakutan yang tidak rasional tentang penyakit (seperti mendapat HIV daripada troli beli-belah), ini mungkin menjadi tanda bahawa tabiat basuh tangan anda adalah kompulsif. Rutin mencuci tangan yang melampau seperti perlu mencuci lima kali dan perlu memastikan sabun melalui di bawah setiap kuku juga merupakan satu lagi tanda.

2. Tabiat Membersih Melampau

bersih

Mereka yang mempunyai tabiat OCD membasuh tangan juga cenderung membersih secara melampau. Sama seperti membasuh tangan, pembersihan rumah merupakan cara untuk mereka meredakan germafobia (fobia kepada kuman) atau rasa tidak suci. Walaupun membersih dapat membantu mengatasi fikiran-fikiran yang obsesif, keredaannya tidak lama, dan keinginan untuk membersih sering kali lebih kuat pada waktu berikutnya.

Bila patut dapatkan bantuan: Jika anda menghabiskan masa berjam-jam sehari untuk membersih, ini berkemungkinan berkaitan dengan OCD, tetapi agak sukar untuk menentukan jika membersih sejam sehari merupakan tanda OCD. Semuanya bergantung kepada kesan jika anda berhenti. Jika anda berasa sangat cemas dan takut jika berhenti, demikian adalah tanda OCD.

3. Kerap memeriksa

Apa yang dipanggil tingkah laku memeriksa- kembali sebanyak tiga, empat, mahupun 20 kali untuk memastikan ketuhar telah dimatikan atau pintu depan dikunci – adalah tingkah laku kompulsif yang paling kerap dikaitkan dengan OCD, yang menjejaskan hampir 30% orang yang mengalami gangguan tersebut. Seperti tingkah laku kompulsif lain, tabiat memeriksa ini boleh didorong oleh pelbagai obsesi, mulai dari ketakutan untuk tercedera kepada rasa tidak bertanggungjawab yang mendalam.

Bila patut dapatkan bantuan: Adalah perkara biasa untuk memeriksa semula sesuatu sekali-sekala. Tetapi jika tabiat memeriksa ini mengganggu dengan kehidupan harian anda (contohnya, membuat anda terlambat untuk bekerja), atau menjadi ritual yang tidak boleh anda tinggalkan, ia mungkin menjadi tanda OCD. Anda mungkin juga mempunyai tabiat memeriksa pada bilangan tertentu, contohnya, perlu memeriksa pintu tepat sebanyak 3 kali setiap kali mengunci.

4. Mengira

Sesetengah orang dengan OCD melakukan tugas mengikut corak angka tertentu atau menghitung kepada diri sendiri seperti yang mereka lakukan setiap hari (seperti menaiki tangga atau memberihkan). Tingkah laku ini boleh didorong oleh fikiran tahyul. Sebagai contoh, kepercayaan bahawa nombor tujuh adalah nombor baik sehingga berasa mereka akan menyakiti diri mereka atau orang lain jika mereka tidak mengambil tujuh langkah pada satu masa.

Bila patut dapatkan bantuan: Semuanya bergantung sama ada tingkah laku tersebut masuk akal atau tidak dalam hidup anda. Mengira boleh menjadi rutin yang baik ketika anda berjalan ke kereta atau naik tangga ke pejabat anda. Jika tidak mengganggu diri anda atau orang lain, tiada masalah. Tetapi jika anda tidak dapat mengeluarkan nombor daripada fikiran anda, anda memerlukan pemerhatian lanjut doktor.

5. Penyusunan

Orang dengan OCD boleh melakukan penyusunan ke tahap kesempurnaan. Ia perlu kelihatan tepat, simetrikal, dengan bilangan benda yang tepat. Kesanggupan ini sering didorong oleh obsesi mengenai keteraturan dan simetri.

Bila patut dapatkan bantuan: OCD dinilai apabila kekemasan dan keteraturan tersebut bukan lagi sesuatu yang anda sukakan, tetapi satu ‘keperluan’. Mereka yang gemar mengemas dan menyusun barang berbeza berbanding pesakit OCD yang mungkin tidak mahu mengemas tetapi merasakannya sebagai satu keperluan untuk meredakan rasa cemas mereka.

6. Takut ditimpa musibah

takut

Semua orang sekali-sekala mempunyai pemikiran tentang kemungkinan ditimpa kemalangan  atau keganasan. Kajian menunjukkan semakin anda cuba untuk mengelakkan pemikiran seperti ini, semakin ia memasuki fikiran anda, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai OCD. Mereka mungkin berusaha keras menekan pemikiran ini, atau mereka mungkin bertindak balas dengan berlebihan kepada perasaan ini kerana merasakannya tidak wajar.

Bila patut dapatkan bantuan: Adalah penting untuk mengetahui bahawa kita semua mempunyai pemikiran sebegini sekali-sekala. Tetapi ia boleh menjadi tanda OCD jika memikirkan anda mungkin dirompak menyebabkan anda mengelakkan kawasan yang sebenarnya selamat, atau jika kebimbangan terhadap keselamatan ibu anda mendorong anda untuk menelefonnya beberapa kali sehari.

7. Pemikiran seksual yang tidak dikehendaki

Seperti pemikiran tentang keganasan, pemikiran yang tidak diingini tentang tingkah laku seksual yang tidak patut atau diluar tabii sering berlaku dalam OCD. Pesakit mungkin bayangkan seketika bahawa mereka akan meraba rakan sekerja mereka atau mencabul anak kecil, atau tertanya-tanya jika mereka mempunyai kecenderungan kepada sesama jantina atau jantina berlawanan.

Bila patut dapatkan bantuan: Kebanyakan orang mampu menghentikan fikiran sebegini dengan meyakinkan diri mereka bahawa mereka tidak pernah berniat berbuat sedemikian dan fikiran tersebut bukanlah menggambarkan keperibadian sebenar mereka. Tetapi seseorang yang mengalami OCD akan berfikir, ‘Fikiran ini sangat mengerikan, tiada siapa yang mempunyainya, adakah ini menggambarkan diri saya yang sebenar?’ Menukar tingkah laku anda akibat daripada pemikiran ini seperti menghindari rakan anda yang homoseksual atau rakan sekerja yang pernah anda fikirkan secara seksual, adalah tanda OCD.

8. Terlebih fikir dalam perhubungan

Mereka yang mempunyai OCD diketahui menganalisis secara obsesif hubungan mereka dengan rakan-rakan, rakan sekerja, pasangan romantik, dan ahli keluarga. Sebagai contoh, mereka mungkin akan berfikir berlebihan sama ada komen mereka melukakan hati rakan sekerja di pejabat, atau sama ada salah faham kecil merosakkan hubungan romantis. Pemikiran sebegini mungkin mencerminkan rasa tanggungjawab yang berlebihan dan kesulitan menerima ketidakpastian.

Bila patut dapatkan bantuan: Putus cinta boleh membuatkan siapa jua ‘obses’ menganalisis hubungan dengan kekasih lama. Tapi bagi mereka yang mempunyai OCD, mereka tidak dapat berhenti berfikir tentangnya dan melarat hingga membawa kepada rasa tidak yakin diri yang berlebihan atau takut menjadi orang yang teruk.

9. Sentiasa mengharapkan kepastian

Salah satu cara orang dengan OCD cuba menenangkan kebimbangan mereka adalah dengan bertanya pendapat rakan dan keluarga mereka. Jika mereka bimbang peristiwa lepas memalukan diri, misalnya, mereka mungkin berulang kali meminta rakan untuk menghidupkan semula kejadian itu. Meminta rakan-rakan untuk menentukan sama ada rumah kelihatan kotor atau tidak juga mungkin merupakan strategi mengelakkan tingkah laku kompulsif.

Bila patut dapatkan bantuan: Semua orang menggunakan rakan mereka sebagai penjamin perasaan, tetapi jika anda mendapati diri anda kerap mengulang soalan yang sama berulang-ulang atau jika rakan anda menyedari anda melakukannya- ini mungkin menunjukkan OCD.

10. Membenci Rupa Sendiri

Body dysmorphic disorder (BDD) adalah keadaan yang berkaitan dengan OCD di mana pesakit gemar menelek bahagian badan yang mereka anggap tidak normal atau tidak menarik- kebiasaannya hidung, kulit, atau rambut. Tidak seperti gangguan pemakanan, BDD tidak melibatkan tumpuan kepada perubahan berat badan atau diet. Pemikiran obsesif yang dikaitkan dengan BDD sangat serupa dengan yang dilihat di OCD. Ramai orang yang mempunyai BDD juga mempunyai OCD dan bimbang tentang kebersihan badan dan rupa badan mereka.

Bila patut dapatkan bantuan: Adalah perkara biasa untuk tidak menyukai beberapa aspek fizikal anda. Tetapi orang yang mempunyai BDD boleh menghabiskan berjam-jam sehari memerhati cermin. Anda mungkin berfikir berlebihan tentangnya dan menyangka orang lain juga berfikiran sama tentang bahagian badan anda tersebut sehingga anda mengelakkan diri daripada berada di sekeliling orang.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

http://www.health.com/health/gallery/0,,20707257,00.html

Versi Terbaru

21/02/2023

Ditulis oleh Helma Hassan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Kalau Kena Serangan Anxiety Tiba-Tiba, Boleh Buat 7 Teknik Ini Untuk Tenangkan Diri Anda

5 Mitos Biasa Dengar Tentang Ubat Anxiety, Boleh Percaya Ke?


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 21/02/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan