Jenis strok
Definisi paling asas untuk difahami bagi strok atau turut dikenali sebagai angin ahmar ialah ia terjadi akibat aliran darah ke otak terputus, atau berkurangan.
Kondisi ini menghalang nutrien masuk ke otak, dan menyebabkan sel-sel otak mati dengan sangat cepat.
Ia turut boleh menyebabkan kematian dengan cepat sekiranya bantuan perubatan tidak diberikan.
Terdapat 2 jenis strok utama, iskemik dan hemoragik. Strok iskemik berlaku apabila pembekuan darah atau penyumbatan akibat pengumpulan plak di arteri menghalang aliran darah ke otak.
Selain itu, saluran darah yang menyempit di otak juga berisiko akibatkan penyumbatan lantas menyebabkan strok iskemia.
Sebaliknya, strok hemoragik, sama seperti namanya, berlaku akibat hemorrhage, atau pendarahan di otak.
Pendarahan ini berlaku apabila saluran darah di otak pecah atau terjejas akibat tekanan darah tinggi, dinding pembuluh darah yang lemah, atau disebabkan oleh aneurisma atau arteri yang membesar atau membengkak.
Apabila strok hemoragik berlaku, pendarahan akan berlaku secara langsung di otak, menyebabkan tekanan turut meningkat.
Tekanan ini dapat mematikan sel-sel otak dan menyebabkan kematian jika tidak dirawat dengan segera.
Kedua-dua jenis strok adalah sangat berbahaya dan memerlukan rawatan perubatan segera.
Adakah penyakit strok sering berlaku?
Di seluruh dunia, dianggarkan sekitar 13.7 juta kes strok dilaporkan berlaku setiap tahun.
Tambahan itu, sekitar 1 daripada setiap 4 orang yang berusia lebih daripada 25 tahun akan mengalami strok dalam jangka hayat mereka.
Selain itu, 60% kes strok yang berlaku setiap tahun terdiri daripada individu yang berusia 69 tahun dan ke bawah.
Antara beberapa jenis, strok iskemia lebih kerap berlaku, merangkumi sekitar 87% kes strok.
Strok masih menjadi penyebab utama kematian, dan salah satu cara untuk menurunkan risiko strok adalah dengan mengetahui gejala, penyebab, dan faktor risiko strok.
Tanda dan gejala penyakit strok
Gejala yang biasa berlaku pada pesakit strok merangkumi:
- Penglihatan kabur
- Kehilangan penglihatan
- Kesukaran atau tidak mampu bercakap serta percakapan yang tidak jelas
- Kekeliruan
- Pening
- Sakit kepala, kadangkala berserta sakit leher dan muntah
- Lumpuh secara tiba-tiba
- Lemah
Strok juga boleh menyebabkan simptom yang lebih jarang berlaku. Ini termasuklah:
- Halusinasi dan berkhayal
- Perubahan rasa dan bau secara tiba-tiba
- Sindrom locked-in, atau lumpuh seluruh badan kecuali otot mata
Bila saya harus berjumpa doktor?
Sekiranya anda mengesyaki mengalami strok, lebih baik jika dapatkan rawatan perubatan dengan kadar segera.
Kehilangan darah ke otak selama beberapa minit boleh mengakibatkan kerosakan otak yang kekal dan teruk, justeru sebelum ia terjadi, rawatan perlu segera diberikan.
Perkara yang paling penting untuk diingati mengenai penyakit strok, lebih cepat rawatan diberikan, semakin tinggi peluang untuk sembuh.
Oleh itu, adalah dinasihatkan agar setiap individu tidak mengabaikan tanda-tanda dan simptom strok.
Punca dan faktor risiko
Kedua-dua jenis strok disebabkan oleh perkara yang berbeza. Strok iskemia berpunca daripada penyumbatan pada arteri otak yang disebabkan oleh pengumpulan plak atau pembekuan darah.
Atherosclerosis adalah kondisi yang menyebabkan plak terbentuk di saluran darah. Lama-kelamaan, plak ini mampu menyebabkan pembekuan darah yang berisiko mengganggu atau menyekat aliran darah sepenuhnya.
Strok iskemia boleh disebabkan oleh pengumpulan plak di salah satu arteri otak, atau akibat darah beku yang pecah daripada saluran darah lain lantas menuju ke otak.
Sebaliknya, strok hemoragik disebabkan oleh tekanan darah tinggi. Mempunyai tekanan darah tinggi akan melemahkan saluran darah di otak, juga berisiko menyebabkan aneurisma.
Seiring dengan waktu, tekanan berterusan yang diberikan oleh darah pada saluran darah yang lemah ini berisiko menyebabkannya pecah, yang mengakibatkan stroke hemoragik.
Faktor-faktor risiko
Apa yang meningkatkan risiko saya mengalami strok?
Terdapat banyak faktor risiko strok, merangkumi:
- Menghidap hipertensi atau tekanan darah tinggi
- Obes atau mempunyai berat badan berlebihan
- Aterosklerosis boleh meningkatkan risiko strok
- Mempunyai gaya hidup yang tidak aktif
- Minum alkohol terlalu banyak
- Merokok
- Mempunyai kolesterol tinggi
- Sejarah keluarga strok
- Individu berumur 55 tahun ke atas mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami strok
Diagnosis dan rawatan
Maklumat yang diberikan bukanlah pengganti kepada nasihat perubatan. SENTIASA lakukan konsultasi bersama doktor anda untuk maklumat lebih lanjut.
Bagaimana strok didiagnosis?
Sebaik sahaja seseorang yang disyaki mengalami strok dibawa ke hospital, diagnosis perlu dilakukan dengan cepat.
Doktor perlu bertindak dengan pantas untuk kenal pasti sama ada individu itu mengalami strok, atau gejala mereka disebabkan oleh kondisi lain, seperti tumor otak.
Berikut adalah beberapa cara strok didiagnosis:
- Pemeriksaan fizikal akan dilakukan untuk melihat bagaimana strok mempengaruhi sistem saraf
- Imbasan CT mungkin dilakukan untuk memeriksa otak untuk melihat sama ada strok telah berlaku
- Imbasan MRI juga dapat digunakan untuk melakukan pemeriksaan lebih mendalam terhadap otak untuk melihat bahagian mana yang terpengaruh
- Prosedur yang disebut ultrasound karotid juga mungkin dilakukan untuk memeriksa pembuluh darah di leher bagi mengenal pasti jika berlaku penyumbatan yang menyebabkan strok
- Echocardiogram adalah prosedur yang menggunakan gelombang bunyi untuk memeriksa jantung. Ia bagi mendapatkan sebarang bukti menunjukkan gumpalan darah daripada jantung mungkin pecah dan pergi ke otak, lantas menyebabkan strok
- Ujian darah juga dilakukan untuk memeriksa tahap gula dalam darah, dan seberapa cepat darah membeku
Sekiranya salah satu jenis strok mampu dikenal pasti, rawatan akan segera dimulakan oleh doktor.
Bagaimanakah strok dirawat?
Strok iskemia
Sekiranya doktor mengenal pasti strok yang menyerang adalah iskemia, maka keutamaan mereka adalah untuk mengembalikan aliran darah ke otak.
Apa yang biasanya dilakukan oleh doktor adalah memberikan ubat-ubatan yang boleh memecahkan pembekuan darah sama ada melalui IV, atau dengan menyuntiknya terus ke otak.
Dalam beberapa kes, doktor mungkin akan terus mencari saluran darah yang terjejas dan mengeluarkan darah beku menggunakan alat yang disebut stent retriever.
Prosedur ini biasanya dilakukan untuk pesakit dengan masalah darah beku besar yang tidak dapat dipecahkan oleh ubat-ubatan.
Doktor juga mungkin melakukan beberapa prosedur seperti meletakkan stent di arteri yang menyempit, atau mengeluarkan plak daripada arteri lain untuk menurunkan risiko strok yang lain.
Strok hemoragik
Rawatan untuk strok hemoragik pula adalah berbeza jika dibandingkan dengan strok iskemia.
Ini kerana strok hemoragik menyebabkan pendarahan di otak, maka keutamaan utama adalah untuk meminimumkan pendarahan dan mengurangkan tekanan di dalam otak.
Selain itu, ubatan untuk mengurangkan tekanan darah di otak mungkin diberikan oleh doktor jika pesakit menderita strok hemoragik.
Sekiranya pesakit mengambil sebarang ubat cair darah, ubatan yang dapat mengatasi kesan pencairan darah juga mungkin diberikan.
Namun, jika ubat tidak berkesan, maka pembedahan harus dilakukan untuk menghentikan darah dan meredakan tekanan pada otak.
Dalam beberapa kes, pakar bedah juga dapat menyingkirkan aneurisma untuk mencegah daripada terjadinya strok pada masa depan.
Selepas rawatan, kondisi kesihatan pesakit akan dipantau dengan teliti untuk melihat jika prosedur itu berjaya.
Pesakit yang menderita strok juga diberikan program pemulihan untuk membantu pulih daripada kerosakan yang disebabkan oleh strok.
Di samping itu, pesakit yang mengalami strok di bahagian kiri otak mereka biasanya menghadapi masalah untuk bergerak dan merasa sesuatu di sebelah kanan badan.
Begitu juga sebaliknya, jika strok berlaku di bahagian kanan otak, maka belah kiri badan mereka akan mengalami kesukaran untuk bergerak dan merasa.
Pemulihan membantu pesakit mengembalikan pergerakan dan deria rasa di dalam badan mereka.
Jenis program pemulihan diberikan juga bergantung kepada tahap keparahan strok, kesihatan keseluruhan pesakit dan usia mereka.
Perubahan gaya hidup dan rawatan di rumah
Apakah perubahan gaya hidup atau rawatan di rumah yang dapat membantu saya mengurus dan mencegah pelbagai jenis strok?
Dari segi mengurus dan mencegah strok, terdapat beberapa perubahan gaya hidup dan rawatan di rumah yang boleh anda lakukan.
Berikut adalah sebahagian daripadanya:
- Lakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari, atau senaman 150 minit setiap minggu. Ini bagi membuatkan tubuh kuat dan aktif, serta menurunkan risiko penyakit kardiovaskular
- Amalkan makanan yang kaya dengan buah-buahan dan sayur-sayuran, dan kurangkan daging merah, sodium, gula, dan makanan diproses. Ia bantu menurunkan tekanan darah anda, serta risiko mengalami strok
- Sekiranya berat badan anda berlebihan atau gemuk, maka turunkan berat badan ke tahap yang dapat dikawal. Berat badan berlebihan atau obes berupaya meningkatkan risiko terhadap penyakit jantung, aterosklerosis, darah tinggi, diabetes, malah strok
- Berhenti merokok! Merokok meningkatkan risiko anda terhadap penyakit jantung, tekanan darah tinggi, dan strok
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, berundinglah dengan doktor untuk lebih memahami penyelesaian terbaik buat anda.
[embed-health-tool-bmi]