Terdapat beberapa keadaan kesihatan yang mungkin kelihatan seperti strok tetapi sebenarnya tidak.
1. Sawan
Sawan berlaku apabila aktiviti elektrik di dalam otak terganggu. Jadi, pelbagai jenis simptom boleh berlaku. Antara simptom-simptom tersebut, sebahagiannya kelihatan seperti strok. Ini termasuk kebas, rasa semut-semut serta lemah pada lengan dan kaki.
Selepas serangan sawan, anda boleh mengalami Tood’s paralysis di mana sebahagian atau keseluruhan badan menjadi lemah.
2. Migrain
Meskipun rasa sakit kepala daripada serangan migrain itu sendiri sudah cukup membuatkan anda ke hospital, ia bukan sekadar itu sahaja. Migrain juga mungkin berlaku bersama-sama gangguan penglihatan, serta rasa semut-semut dan kebas pada lengan dan kaki. Percakapan juga mungkin terganggu.
3. Kadar gula darah rendah atau tinggi
Gangguan pada kadar gula boleh memberikan keadaan seperti strok. Kewarasan boleh terganggu. Badan juga akan berada dalam keadaan tidak stabil dan menghadapi kesukaran untuk bergerak. Mata pula menjadi kabur dan badan menjadi lemah.
4. Bell’s palsy
Keadaan ini berlaku disebabkan kecederaan pada urat saraf yang mengawal otot muka. Kesannya, sebahagian daripada muka akan menjadi lumpuh, mata tertutup, mulut senget dan percakapan terjejas. Biasanya, ia akan kembali normal selepas beberapa minggu. Kadangkala, rawatan tertentu mungkin diperlukan seperti steroid dan terapi otot muka.