backup og meta

Dah Banyak Berhabis Duit Merawat Migrain? Ini 5 Tip Nak Claim Insurans Kesihatan

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 28/04/2020

    Dah Banyak Berhabis Duit Merawat Migrain? Ini 5 Tip Nak Claim Insurans Kesihatan

    Bukan semua orang faham kesakitan yang dialami oleh penderita migrain. Nak dapatkan insurans kesihatan pun belum tentu.

    Berbeza dengan sakit kepala, simptom yang dialami oleh penderita migrain boleh memberikan impak negatif terhadap kualiti hidup mereka.

    Apabila serangan migrain datang, kadangkala nak kerja pun tak boleh.

    Apa yang lebih teruk lagi, pesakit sukar untuk membuat tuntutan pampasan daripada syarikat insurans mereka yang menjanjikan liputan bagi penyakit migrain.

    Sebagai contoh, mungkin tertera di dalam kontrak anda tentang keperluan untuk membuktikan migrain anda menjadi bertambah teruk tanpa rawatan untuk 1 jangka masa tertentu.

    Perkara ini bukanlah mudah untuk diselesaikan.

    Bagi mengelakkan anda daripada merana dek situasi sebegini, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan bagi memilih polisi insurans kesihatan terbaik untuk rawatan migrain.

    Fahami betul-betul polisi insurans peribadi yang disuakan kepada anda

    Bukan semua perkara akan diperjelaskan kepada anda oleh agen yang menjual insurans.

    Apabila diberi kontrak, kebanyakan individu cenderung untuk menurunkan tandatangan tanpa membaca walau sepatah pun polisi yang ditulis.

    Bagi memahami dengan lebih mendalam berkenaan dengan polisi kesihatan peribadi anda, minta salinan daripada syarikat tersebut.

    Anda boleh mengambil masa untuk membaca dan menganalisis sebaiknya polisi tersebut sebelum membuat tuntutan pampasan.

    Beberapa perkara yang anda perlu tahu melalui dokumen tersebut:

    1. Liputan kesihatan bagi pelan insurans anda.
    2. Tarikh luput polisi kesihatan anda.
    3. Keperluan untuk mendapatkan kebenaran daripada syarikat insurans sebelum melakukan sebarang rawatan.
    4. Persoalan berkaitan dengan surat rujukan (referral letter atau guarantee letter) apabila berhubung dengan pakar perubatan.

    Melalui polisi tersebut anda akan lebih memahami perkara melibatkan kewangan sebelum layak untuk menggunakan khidmat syarikat tersebut.

    Baca juga:

    Kebanyakan syarikat insurans memerlukan anda untuk membayar yuran premium sehingga ke satu tarikh spesifik.

    Jika anda gagal menjelaskan bayaran, satu tempoh belas kasihan (grace period) akan diberikan.

    Kalau anda masih gagal, keahlian anda boleh digantung atau dibatalkan serta-merta.

    Susulan daripada tindakan tersebut, anda perlu membiayai rawatan anda sendiri.

    Ambil tahu sekiranya ada syarat untuk tuntutan khas perubatan

    tuntutan kesihatan

    Sebelum mengaktifkan pelan insurans kesihatan untuk rawatan migrain, anda perlu tahu sekiranya ada syarat khas sebelum boleh membuat tuntutan perubatan.

    Terdapat polisi insurans yang memerlukan ahlinya untuk mendapatkan pemeriksaan daripada pakar neurologi tertentu sebelum layak menerima pampasan.

    Doktor perlu menghantar laporan rasmi yang menyatakan anda perlu menerima rawatan tersebut berikutan keadaan klinikal yang sudah semakin teruk.

    Ya, ia memang leceh, namun anda perlu memeriksa setiap dokumen sebelum dihantar kepada syarikat insurans anda.

    Borang tersebut perlu diproses dan ia akan mengambil masa. Jangan berlengah dan minta bantuan daripada doktor anda sekiranya perlu.

    Pastikan segalanya selesai sebelum tarikh luput

    Setiap syarikat insurans memperuntukkan satu tempoh masa spesifik bagi ahlinya untuk membuat tuntutan perubatan.

    Oleh itu, anda perlu mengetahui tarikh luput bagi tuntutan yang ingin dibuat supaya prosesnya lancar.

    Sekiranya anda mengalami masalah, jangan malu untuk meminta bantuan daripada agen yang mendaftarkan anda.

    Anda mungkin berminat:

    Tiada sebarang caj tambahan akan dikenakan dan kebiasaannya proses tuntutan lebih lancar dengan bantuan mereka.

    Jika insurans kesihatan yang ingin anda tuntut merupakan insurans syarikat, dapatkan bantuan daripada pihak pengurusan dan jabatan sumber manusia.

    Dapatkan senarai ubat terkini yang ditanggung oleh syarikat insurans anda

    Anda perlu mengetahui ubat apa yang ditanggung oleh syarikat insurans bagi mengelakkan sebarang komplikasi kelak.

    Polisi rawatan migrain bagi setiap syarikat berbeza dan ia boleh berubah setiap tahun mengikut kepada saranan pakar. 

    Jika anda bergantung kepada ubat spesifik dalam satu jangka masa yang lama, anda perlu mendapatkan senarai tersebut.

    Kalau buntu, tanya kepada doktor anda. Pihak pengurusan klinik boleh mendapatkan maklumat tersebut bagi pihak anda.

    Walau bagaimanapun, jika boleh, dapatkan maklumat itu sendiri. Ini berikutan pihak pengurusan mungkin akan mengambil masa yang lama.

    Jika anda hendak membuat tuntutan dalam masa terdekat, lebih baik jika anda hubungi syarikat insurans sendiri. 

    Tuntutan perubatan anda gagal? Buat rayuan semula 

    migrain

    Terdapat beberapa sebab mengapa tuntutan insurans kesihatan anda gagal. Antaranya adalah:

    1. Rawatan yang diberikan dianggap “tidak perlu” dari sudut perubatan.
    2. Penyakit migrain anda bermula sebelum keahlian.
    3. Tiada bukti rawatan yang hendak diberikan boleh menyembuhkan. Syarikat insurans tidak akan menanggung rawatan yang bersifat eksperimental.

    Jika anda berasa keputusan yang dikeluarkan oleh syarikat insurans tidak munasabah dengan keadaan kesihatan anda, buat rayuan.

    Minta bantuan daripada agen anda untuk memulakan proses tersebut.

    Anda perlu mendapatkan dokumen sokongan seperti surat permohonan dan surat doktor yang menyatakan anda memerlukan rawatan tersebut.

    Sebagai pengguna insurans, anda mempunyai hak untuk memohon semula dan syarikat tersebut perlu melantik pakar yang akan memeriksa semula keperluan anda.

    Perkara ini sering berlaku sekiranya:

    1. Terdapat perselisihan pendapat berkenaan dengan subjek perlu atau tidak rawatan tersebut untuk anda.
    2. Anda tidak bersetuju bahawa rawatan yang diambil bersifat eksperimental.

    Penyakit migrain boleh mendatangkan kemudaratan kepada anda. Jika anda mengalami masalah untuk memfailkan permohonan, minta bantuan ahli keluarga atau rakan.

    Anda berhak membuat tuntutan sekiranya tahap keseriusan penyakit migrain anda bertepatan dengan apa yang direkodkan dalam polisi syarikat. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 28/04/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan