backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

AWAS, Jangan Buat Main Jika Suara Serak. Ia Mungkin Boleh Jadi Punca Bisu!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 20/06/2023

    AWAS, Jangan Buat Main Jika Suara Serak. Ia Mungkin Boleh Jadi Punca Bisu!

    Daripada zaman kanak-kanak, remaja, dewasa dan kemudian tua, setiap orang akan mengalami perubahan suara. Kadang-kadang suara akan menjadi garau, ada juga yang suara serak.

    Apakah punca perubahan suara ini sebenarnya? Adakah ia berbahaya dan berkait dengan masalah kesihatan? Artikel ini akan menjawab semua persoalan anda!

    Bagaimanakah pita suara berfungsi?

    suara serak

    Pita suara dibentuk oleh dua jalur tisu otot elastik. Ia terletak bersebelahan satu sama lain di dalam laring dan tepat di atas saluran pernafasan anda.

    Seperti tisu lain di dalam tubuh, pita suara juga boleh menjadi tegang dan rosak. Apabila terdapat perubahan terhadap struktur pita suara, suara anda boleh berubah berbanding biasa seperti suara serak.

    Apabila anda tidak bercakap, pita suara anda akan terbuka. Ini membolehkan udara memasuki saluran pernafasan anda untuk membantu anda bernafas.

    Semasa anda bercakap, udara yang dihembuskan daripada paru-paru dihalang oleh pita suara yang tertutup. Halangan ini membentuk getaran iaitu suara anda.

    Punca suara serak

    Terdapat banyak punca suara serak, sama ada normal dari sudut fisiologi ataupun berkait dengan masalah kesihatan.

    1. Proses penuaan

    Pengarah Voice Center, Dr Claudio Milstein mendedahkan punca utama suara serak berlaku semasa tua ialah proses penuaan kotak suara dan sistem pernafasan tubuh yang bertanggungjawab untuk penghasilan suara anda.

    Oleh sebab pita suara diperbuat daripada otot elastik, proses penuaan boleh menyebabkan ia hilang sifat kelenturannya.

    Sendi laring akan menjadi lebih tipis dan rawannya akan menjadi lebih keras disebabkan oleh pengapuran.

    Disebabkan oleh semua perubahan yang dilalui, pita suara boleh mengering dan hilang keanjalan juga. Kadangkala, otot-otot di laring boleh mengecut, menjadikan ia lebih kecil dan lemah.

    Proses penuaan juga dipengaruhi oleh gaya hidup anda seperti merokok, penyalahgunaan alkohol, diet yang kekurangan folat, persekitaran tempat kerja (kilang, tapak pembinaan) dan jangkitan kuman seperti HPV dan HIV.

    Untuk sistem pernafasan pula, proses penuaan mengakibatkan tulang rusuk menjadi lebih berkapur. Tubuh anda akan mengecut dan paru-paru akan menjadi lebih kecil, kaku dan kurang lentur.

    2. Status kesihatan yang merosot

    suara serak

    Kadangkala, perubahan suara seperti suara serak boleh disebabkan oleh masalah kesihatan yang dialami oleh individu.

    Sebagai contoh, keletihan kronik dan masalah neurologi boleh menyebabkan gegaran atau getaran yang berbeza daripada suara biasa anda.

    Pita suara anda juga boleh berubah disebabkan oleh penyakit seperti polip, kanser atau kelumpuhan yang mempengaruhi pita suara anda.

    Kanser yang boleh menyebabkan suara serak termasuklah kanser laring sendiri berpunca daripada merokok ataupun kanser paru-paru.

    3. Perubahan hormon

    Jika anda perasan, suara ibu anda akan berubah selepas menopaus, sama ada suara serak, garau atau lebih dalam daripada kebiasaannya.

    Usah risau, keadaan ini biasa dijumpai dalam wanita menopaus.

    Hal ini kerana semasa menopaus, tahap hormon estrogen dalam tubuh wanita akan turun secara mendadak manakala hormon androgen pula meningkat secara relatifnya.

    Ini boleh mengakibatkan pita suara menjadi lebih tebal yang seterusnya menimbulkan nada suara yang lebih dalam.

    Selalunya, terapi penggantian hormon mengurangkan komplikasi menopaus ini.

    4. Penggunaan steroid yang berpanjangan

    Dalam zaman yang moden kini, bukan sahaja lelaki malah wanita juga sudah mula membina badan.

    Pembinaan badan sering dikaitkan dengan penggunaan steroid yang berpanjangan.

    Steroid boleh menyebabkan peningkatan hormon androgen yang mendadak dalam tubuh badan. Salah satu kesan sampingan pengambilannya ialah perubahan suara seperti suara serak.

    Selain itu, penggunaan steroid sebagai rawatan masalah kesihatan seperti penyakit autoimun juga berpotensi untuk mengalami perubahan suara.

    suara serak

    5. Trauma kepada pita suara

    Sesetengah pembedahan seperti prosedur pembuangan tiroid mampu mengganggu saraf yang bersambung dengan pita suara anda.

    Seandainya keadaan ini berlaku, ia menyebabkan kelumpuhan sebahagian daripada pita suara anda.

    Getaran yang dihasilkan akan menjadi berlainan seterusnya menyebabkan perubahan suara.

    Perubahan yang sering dilihat dalam pesakit selepas pembedahan ialah serak suara.

    Tambahan pula, trauma secara langsung terhadap pita suara anda juga boleh menyebabkan perubahan suara sama ada kemalangan ataupun semasa bersukan.

    Konklusi

    Jika suara anda berubah disebabkan oleh faktor penuaan, cubalah elakkan gaya hidup yang mempercepatkan proses penuaannya seperti merokok.

    Seperti otot lain di tubuh kita, latihan seperti kerap bercakap membantu otot pita suara anda untuk kekal kuat dan berfungsi macam biasa.

    Selain itu, jika anda tidak berkait dengan apa-apa punca di atas dan mempunyai perubahan suara lebih daripada seminggu, sila berjumpa dengan doktor anda untuk rundingan lanjut.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 20/06/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan