backup og meta

AWAS! Jangan Pilih Rumah Dekat Dengan Kilang, Ada Risiko Dapat Kanser Limfoma!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 17/01/2023

    AWAS! Jangan Pilih Rumah Dekat Dengan Kilang, Ada Risiko Dapat Kanser Limfoma!

    Limfoma bukan Hodgkin adalah sejenis kanser yang berasal daripada sistem limfatik manusia.

    Sistem tersebut penting berikutan ia terlibat dalam rangkaian sistem imun untuk mempertahankan badan jika terdapat sebarang proses jangkitan berlaku.

    Berbeza dengan limfoma Hodgkin, limfoma bukan Hodgkin lebih lazim didiagnosis dalam populasi masyarakat umum.

    Kebolehannya untuk merencatkan fungsi sistem imun badan menyebabkan seseorang itu mudah mendapat jangkitan kuman seperti bakteria, virus dan kulat.

    Walaupun kebanyakan saintis masih belum memahami punca di sebalik berlakunya masalah kesihatan ini, namun kajian pada tahun 2013 menunjukkan mereka yang duduk di kawasan tinggi benzena boleh didiagnosis dengan limfoma bukan Hodgkin.

    Untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut, baca artikel ini.

    Kawasan kilang lubuk benzena, kadar diagnosis penyakit limfoma tinggi

    penyakit limfoma

    Menurut Dr Christopher Flowers, Profesor di Jabatan Pediatrik, Hematologi dan Perubatan Onkologi, Universiti Emory, mereka yang tinggal berdekatan dengan kawasan kilang terdedah kepada risiko penyakit limfoma.

    Perkara ini dibuktikan melalui kajiannya yang melihat kepada taburan insiden penduduk di Georgia yang menghidap limfoma bukan Hodgkin.

    Mereka yang tinggal berhampiran dengan kawasan kilang penapisan petroleum dan kilang pembuatan mempunyai kadar insiden tertinggi berbanding dengan kawasan lain.

    Secara teorinya, peningkatan jarak di antara kawasan yang menjadi sumber pelepasan benzena dengan kediaman orang awam boleh menurunkan risiko limfoma bukan Hodgkin sebanyak 0.5 peratus bagi setiap kilometer.

    Ini bermakna langkah pencegahan yang boleh diambil adalah dengan mengekalkan jarak di antara kawasan kilang terbabit dengan kawasan berdensiti tinggi.

    Bandar metropolitan Atlanta, Augusta dan Savannah merekodkan kadar diagnosis penyakit limfoma bukan Hodgkin yang sangat tinggi. 

    Kebanyakan kawasan berisiko rendah terletak di bahagian selatan Georgia.

    Walaupun pemerhatian tersebut seakan-akan memberi implikasi mutlak terhadap risiko kanser limfoma bukan Hodgkin, jika dilihat pada peringkat individu, ketepatannya masih lagi boleh dipersoalkan.

    Ketika kajian tersebut dibuat, data yang dikumpulkan masih tidak mencukupi untuk menganalisis punca dan risiko kanser terhadap penduduk yang mendiami kawasan berdekatan.

    Jumlah pendedahan benzena terhadap pesakit tidak boleh dikenal pasti, justeru pengiraan risiko tidak dapat dibuat pada masa itu.

    Walau bagaimanapun, kajian tersebut memberikan impak yang signifikan terhadap tahap kesedaran penduduk yang mendiami kawasan berdekatan dengan kilang.

    Mereka mengeluarkan asap dan air buangan yang berpotensi mengandungi bahan karsinogen tersebut.

    Lambat laun, aktiviti sebegitu berpotensi menyebabkan masalah kesihatan kepada penduduk berhampiran.

    Pendedahan kepada benzena dan kaitannya dengan limfoma bukan Hodgkin

    limfoma bukan hodgkin

    Benzena telah diklasifikasikan sebagai bahan karsinogen (penyebab kanser) oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA).

    Ia merupakan cecair jernih yang boleh tersejat apabila didedahkan kepada udara.

    Benzena boleh didapati dalam produk yang menggunakan petroleum atau arang sebagai bahan asas.

    Ia juga sering digunakan dalam pembuatan plastik, sabun basuh dan baja kimia.

    Walaupun kompaun ini sering dikaitkan dengan masalah leukemia, kaitannya dengan penyakit limfoma masih tidak jelas.

    Peningkatan kes limfoma telahpun berlaku semenjak tahun 1970 dan kadar kenaikan insidennya adalah pada sekitar 4% setahun.

    70% daripada jumlah pesakit dengan masalah kesihatan ini akan hidup sekurang-kurangnya 5 tahun selepas mereka didiagnosis.

    Selain daripada pendedahan terhadap benzena, limfoma juga lazim didiagnosis dalam kalangan penghidap HIV.

    Walaupun kaedah pengesanan yang maju dalam kalangan pesakit HIV menyumbang kepada peningkatan jumlah kes, tapi faktor tersebut hanya merangkumi separuh daripada sejumlah pesakit yang didiagnosis.

    Ini bermakna, pendedahan kepada bahan kimia di persekitaran yang dihasilkan oleh kilang pembuatan boleh menjadi faktor risiko penting bagi penyakit limfoma bukan Hodgkin.

    Meskipun begitu, jumlah data yang terkumpul adalah tidak mencukupi untuk mengaitkan peranan benzena dalam menyebabkan penyakit limfoma.

    Kawal pendedahan benzena di tempat kerja

    penyakit limfoma

    Pada tahun 1997, Institut Kesihatan Negara, Amerika Syarikat (US) diketuai oleh Hayes pernah mengkaji hubungan di antara tahap pendedahan terhadap benzena dan kanser darah.

    Mereka telah menganalisis data melibatkan 75,000 pekerja di China di antara tahun 1972 hingga 1987.

    Hasilnya, pekerja yang terdedah kepada sumber benzena seperti lukisan, dakwat mesin cetak dan pembuatan kasut mempunyai risiko 4 kali ganda untuk mati akibat limfoma.

    Pentadbiran Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (OSHA) di US telah mengehadkan kepekatan benzena pada paras lebih rendah daripada 1 bahagian per juta di tempat kerja bagi waktu pekerjaan berjumlah 8 jam.

    Pun begitu, tahap kepekatan benzena yang menjadi saranan adalah 2 kali hingga 10 kali ganda lebih rendah daripada 1 bahagian per juta benzena.

    Ia bagi melindungi pekerja daripada implikasi kesihatan dan masalah kanser seperti leukemia dan limfoma.

    Masalah utama sekarang adalah pendedahan penduduk tempatan terhadap bahan buangan yang mengandungi benzena hingga ia boleh menjadi isu keselamatan awam.

    Konklusi

    Penyakit limfoma bukan Hodgkin merupakan kanser yang agak kompleks.

    Puncanya masih tidak jelas namun kaitannya dengan faktor seperti penyakit HIV dan pendedahan terhadap kompaun benzena pernah dibuktikan dalam pelbagai jenis kajian.

    Sekiranya anda mempunyai faktor risiko dan mengalami simptom seperti kebengkakan pada kelenjar limfa di leher, demam, berpeluh pada waktu malam dan hilang berat badan tanpa sebab, rujuk pusat kesihatan berhampiran dengan kadar segera.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 17/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan