backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Mengejutkan! Ini 10 Penyakit Dengan Bilangan Kematian TERTINGGI Di Dunia

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 10/09/2021

    Mengejutkan! Ini 10 Penyakit Dengan Bilangan Kematian TERTINGGI Di Dunia

    Tahukah anda, pada 7 April ini kita akan menyambut Hari Kesihatan Sedunia? Kali ini, Hello Doktor ingin berkongsi 10 penyakit paling berbahaya dan telah meragut banyak nyawa di dunia.

    Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai penduduk yang berbilang agama, bangsa dan budaya. Oleh sebab itu, masalah kesihatan yang sering dialami oleh rakyat Malaysia selalunya berpunca daripada pemakanan yang tidak sihat.

    Selain itu, gaya hidup juga memainkan peranan yang besar. Sebagai contoh, kurangnya aktiviti fizikal dan bersenam juga merupakan penyebab ramai yang menghidap penyakit seperti strok dan tekanan darah tinggi.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan, sila dapatkannya di sini.

    10 penyakit paling berbahaya di dunia

    Untuk pengetahuan anda, 7 daripada 10 penyakit yang mempunyai kadar kematian tertinggi tergolong dalam kumpulan penyakit tidak berjangkit (noncommunicable diseases – NTD).

    Malah, 7 penyakit ini merangkumi 44% daripada kesemua kematian atau 80% daripada penyakit yang berada di dalam kategori 10 teratas.

    Mari baca dengan lebih lanjut mengenai 10 penyakit yang paling berbahaya di dunia:

    1. Penyakit jantung

    penyakit paling berbahaya

    Di Amerika Syarikat, 83 orang meninggal dunia setiap jam disebabkan penyakit jantung dan strok. 

    Manakala, di Malaysia pula, hampir 50 orang meninggal dunia setiap hari disebabkan penyakit yang sama.

    Lebih daripada 1/4 daripada kematian ini boleh dielakkan jika lebih ramai menjaga pemakanan masing-masing, melakukan senaman dan mengelakkan penggunaan produk tembakau.

    2. Strok

    Strok merupakan salah satu penyakit yang mempengaruhi arteri yang menuju dan keluar daripada otak. 

    Penyakit ini merupakan antara punca utama kematian dan kecacatan di Malaysia dan seluruh dunia.

    Sama seperti sakit jantung, hampir 80% kes strok boleh dielakkan jika pesakit mengamalkan gaya hidup yang sihat. 

    Faktor risiko seperti obesiti, tidak aktif, minum arak dan penyalahgunaan dadah adalah antara punca strok yang boleh dielakkan.

    3. Penyakit paru-paru obstruktif kronik

    penyakit paling berbahaya

    Penyakit paru-paru obstruktif kronik (Chronic obstructive pulmonary disease atau COPD) merupakan sekumpulan penyakit yang menyebabkan masalah pernafasan.

    Buat masa ini, COPD merupakan punca keempat kemasukan ke hospital. Namun, ia dijangkakan akan meningkat naik dan menjadi penyebab kematian ketiga di negara kita secara keseluruhan.

    Walau bagaimanapun, masih ramai penghidap COPD yang tidak didiagnosis dan tidak mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

    Walaupun tiada ubat untuk COPD, penyakit ini boleh dirawat untuk mengawal simptom yang mereka alami.

    4. Jangkitan saluran pernafasan atas

    Jangkitan saluran pernafasan atas selalunya mempengaruhi saluran tekak dan juga hidung. 

    Rawatan untuk penyakit ini tidak sukar, kecuali jika ia disebabkan oleh masalah pernafasan yang kronik seperti asma.

    Selalunya, jangkitan ini berlaku selama 7-10 hari, dan kadangkala hingga 3 minggu. 

    Kadangkala, ia akan berkembang menjadi penyakit yang lebih serius dan boleh membawa maut seperti jangkitan sinus atau pneumonia.

    5. Keadaan neonatal (neonatal condition)

    Hampir 40% kematian kanak-kanak di bawah 5 tahun berlaku di dalam tempoh neonatal atau dalam masa 28 hari pertama kelahiran.

    Selalunya, kematian ini berpunca disebabkan kelahiran pramatang, jangkitan dan asfiksia kelahiran.

    6. Penyakit paling berbahaya – Kanser paru-paru

    Kanser paru-paru ialah sejenis kanser yang bermula pada kawasan paru-paru. Untuk pengetahuan anda, kanser ini merupakan salah satu punca kematian yang tertinggi di dunia.

    Mereka yang merokok mempunyai risiko kanser paru-paru yang paling tinggi. Walau bagaimanapun, kanser ini boleh juga berlaku kepada mereka yang tidak pernah merokok.

    7. Penyakit paling berbahaya – Penyakit Alzheimer

    Alzheimer merupakan sejenis penyakit yang mempengaruhi ingatan, pemikiran serta tingkah laku seseorang. Penyakit ini boleh menjadi serius dan mengganggu kehidupan seharian penghidapnya.

    Di Amerika Syarikat, hampir 5.8 juta orang menghidap Alzheimer. 75% daripadanya berumur 75 tahun ke atas.

    Manakala, 50 juta orang di seluruh dunia menghidap demensia dan 60-70% daripadanya mempunyai penyakit Alzheimer.

    8. Cirit-birit

    penyakit paling berbahaya

    Mengejutkan tetapi itulah kebenarannya. 

    Menurut WHO, cirit-birit merupakan salah satu punca kematian kanak-kanak di bawah umur 5 tahun. Penyakit ini bukan sahaja boleh dielakkan, namun ia juga boleh dirawat.

    Setiap tahun, cirit-birit membunuh sebanyak 525,000 kanak-kanak di seluruh dunia. 

    Mereka yang mempunyai HIV, masalah imuniti dan kekurangan nutrisi merupakan antara yang paling terkesan dengan penyakit ini.

    9. Penyakit paling berbahaya – Kencing manis

    Kencing manis bukanlah satu penyakit yang asing lagi bagi rakyat Malaysia. 

    Dengan penghidap yang hampir mencecah 3.6 juta orang, Malaysia merupakan antara negara yang mencatatkan jumlah pesakit kencing manis tertinggi di Asia.

    Malah, kebanyakan pesakit menghidap diabetes jenis 2 yang berlaku disebabkan obesiti dan juga kekurangan aktiviti fizikal.

    10. Penyakit buah pinggang

    Sama seperti kencing manis, penyakit buah pinggang juga amat sinonim dengan rakyat Malaysia. 

    Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hampir 15% rakyat Malaysia menghidap penyakit buah pinggang pelbagai peringkat.

    Malah, ramai yang tidak mendapatkan rawatan kerana tidak menyedari mempunyai penyakit tersebut.

    Kesimpulan

    10 penyakit di atas merupakan antara penyakit yang paling berbahaya dengan jumlah kematian yang tertinggi di dunia. 

    Kebanyakan penyakit di atas seperti kencing manis dan penyakit buah pinggang amat sinonim dengan rakyat Malaysia.

    Sempena Hari Kesihatan Sedunia, marilah kita berazam untuk mengelakkan penyakit ini pada masa hadapan. 

    Dengan mengamalkan diet yang sihat dan senaman yang mencukupi, tidak mustahil kita boleh hidup sihat hingga ke akhir hayat.

    Jangan lupa ya pada 7 April nanti, sama-samalah kita memeriahkan sambutan Hari Kesihatan Sedunia!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 10/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan