backup og meta

Ini 5 Kaedah Rawatan Alternatif Bagi Gangguan Skizofrenia, Terbukti Boleh Kurangkan Simptom

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 21/01/2021

    Ini 5 Kaedah Rawatan Alternatif Bagi Gangguan Skizofrenia, Terbukti Boleh Kurangkan Simptom

    Skizofrenia adalah salah satu daripada jenis gangguan mental. Ada beberapa kaedah rawatan skizofrenia yang tersedia, termasuk cara rawatan alternatif. Berikut adalah antara cara merawat skizofrenia yang terbukti keberkesanannya. 

    Apa itu skizofrenia?

    Sebelum mengetahui berkenaan kaedah rawatan skizofrenia, adalah lebih baik kita mengingati semula apa yang dimaksudkan dengan skizofrenia.

    Skizofrenia adalah satu gangguan mental yang serius, yang mana seseorang individu itu melihat sesuatu realiti secara tidak normal.

    Skizofrenia boleh melibatkan beberapa keadaan seperti halusinasi, khayalan dan fikiran yang melampau.

    Adakalanya, kata -kata mereka tidak tersusun dan sukar untuk difahami.

    Bukan itu sahaja, mereka juga boleh bertindak dengan menunjukkan kelakuan yang berbahaya kepada diri mereka sendiri dan juga orang lain. 

    Kaedah alternatif bagi rawatan skizofrenia

    Tahukah anda, selain daripada terapi, terdapat juga beberapa kaedah alternatif lain bagi tujuan rawatan skizofrenia.

    Rawatan skizofrenia ini terdiri daripada makanan dan juga beberapa aktiviti fizikal.

    Berikut adalah kaedah rawatan skizofrenia yang terbukti keberkesanannya buat masa ini. 

    #1. Penggunaan vitamin

    merawat skizofrenia

    Menurut kajian, mereka yang mempunyai skizofrenia mempunyai paras asid folik atau vitamin B9 yang rendah dalam darah mereka.

    Asid folik atau juga dikenali dengan nama folat sangat penting bagi tubuh badan dalam menjalankan fungsi-fungsi penting tubuh setiap hari.

    Folat ini adalah sebatian yang tidak mampu dihasilkan secara semula jadi oleh tubuh badan.

    Kajian yang dijalankan pada tahun 2014 menunjukkan, penggunaan vitamin B dan jenis vitamin B yang lain (vitamin B12 dan B6) boleh mengurangkan simptom skizofrenia. Begitu juga dengan suplemen asid folik.

    Selain itu, ada juga kajian yang menunjukkan keberkesanan jika mengambil vitamin C dan juga E.

    Namun, lebih banyak kajian diperlukan untuk melihat keberkesanan vitamin ini dalam mengurangkan simptom skizofrenia.

    #2. Omega-3 @ suplemen minyak ikan

    Omega-3 juga adalah antara kaedah yang boleh digunakan bagi merawat skizofrenia. Omega-3 merupakan sejenis asid lemak yang sangat bermanfaat untuk fungsi otak.

    Ia banyak dijumpai daripada jenis ikan berlemak seperti ikan salmon dan ikan tenggiri. Kajian menunjukkan bahawa, omega-3 bermanfaat terhadap gangguan yang berlaku pada otak.

    Omega-3 boleh diambil dalam bentuk suplemen minyak ikan yang banyak dijual di pasaran.

    Kajian juga ada menyatakan, mereka yang berisiko untuk mengalami skizofrenia, kurang cenderung untuk mengalaminya apabila mereka mengambil suplemen minyak ikan.

    Namun, keberkesanan minyak ikan ini masih kurang jelas bagi individu yang telah pun menghidap skizofrenia.

    #3. Penggunaan glisin

    Glisin adalah sejenis asid amino yang membentuk protein dan boleh didapati daripada sumber makanan berprotein.

    Glisin akan bekerja bersama glutamin yang berperanan meningkatkan fungsi otak.

    Glisin dilihat mampu mengurangkan simptom-simptom negatif skizofrenia seperti kemurungan.

    Beberapa kajian mendapati, dos glisin yang tinggi dapat meningkatkan keberkesanan ubat antipsikotik yang digunakan untuk mengubati skizofrenia.

    Namun, dalam masa yang sama, glisin juga mungkin mengurangkan keberkesanan ubat clozapine. 

    #4. Pengurusan diet yang tepat

    Gluten adalah salah satu komponen yang terdapat dalam sesetengah jenis bijirin seperti gandum.

    Kajian menunjukkan, diet tanpa gluten boleh membantu mengurangkan simptom-simptom skizofrenia.

    Kajian mengenai kesan diet keto juga menjanjikan hasil yang agak memberangsangkan terhadap penghidap skizofrenia.

    Namun, lebih banyak kajian diperlukan bagi mendapatkan hasil yang lebih kuat dan jelas mengenai keberkesanan diet ini.

    #5. Terapi berkuda

    rawatan skizofrenia

    Berkuda boleh merawat skizofrenia? Ya, terapi berkuda adalah sejenis terapi yang dibantu oleh haiwan iaitu kuda.

    Terapi ini mengajar individu yang terkesan dengan gangguan mental untuk menjaga dan menunggang kuda.

    Tujuannya adalah untuk menggunakan pengalaman bersama kuda bagi memperbaiki emosi dan juga kelakuan individu tersebut.

    Kajian berskala kecil ada menunjukkan, terapi berkuda ini mampu mengurangkan simptom keresahan dan kemurungan.

    Namun, lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk melihat keberkesanannya dengan lebih jelas. 

    Kesimpulan

    Lima kaedah yang dinyatakan ini adalah cara alternatif bagi merawat skizofrenia. Kaedah-kaedah yang dinyatakan ini bukanlah satu-satunya cara yang boleh dilakukan untuk merawat skizofrenia.

    Berbincanglah dengan doktor bagi mengkaji kesesuaian melakukan kaedah-kaedah ini.

    Ini termasuklah perubahan diet, pengambilan suplemen dan penglibatan dalam aktiviti fizikal seperti terapi berkuda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 21/01/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan