Malaysia mempunyai sistem kesihatan yang baik dan bertaraf dunia. Malah, majalah International Living telah menyenaraikan Malaysia sebagai 5 negara yang menyediakan khidmat penjagaan kesihatan terbaik di dunia!
Bercakap tentang penjagaan kesihatan, ia lebih luas dari sekadar hospital dan klinik. Ia meliputi:
- Rawatan (kuratif).
- Pencegahan.
- Promosi kesihatan (promotif).
- Rehabilitatif.
Semua ini bertujuan melahirkan masyarakat yang sihat dan sejahtera.
Staf kesihatan juga tidak terhad kepada doktor tetapi termasuk jururawat, pembantu perubatan dan kerani. Malah, pencuci lantai juga mempunyai peranan penting bagi memastikan hospital sentiasa bersih dan bebas kuman.
Dalam artikel ini, mari kita lihat unit utama atau jabatan di hospital untuk memahami fungsinya.
1. Perubatan dalaman (internal medicine)
Jabatan Perubatan mungkin merupakan unit paling sibuk di hospital. Ia berurusan dengan semua penyakit yang berpunca dari dalam melibatkan pelbagai sistem tubuh. Semua keadaan kesihatan yang memerlukan rawatan dalaman melalui ubat-ubatan kebiasaannya dirujuk ke jabatan ini.
Ia terbahagi lagi kepada banyak subunit, antaranya:
- Kardiologi (jantung).
- Paru-paru.
- Neurologi (urat saraf dan otak).
- Gastroenterologi (usus dan perut).
- Reumatologi (sendi dan autoimun).
- Hematologi (darah).
- Endokrinologi (hormon).
- Dermatologi (kulit).
2. Pembedahan (surgery)
Jabatan Pembedahan pula menerima pesakit yang memerlukan rawatan pembedahan, sama ada pembedahan minor seperti menjahit luka pada kulit atau pembedahan major seperti pemindahan organ dan pembedahan jantung.
Seperti perubatan, unit ini juga mempunyai subunit, antaranya:
- Kardiotorasik (jantung).
- Neurosurgeri (urat saraf dan otak).
- Ortopedik (tulang).
- Vaskular (saluran darah).
- Urologi (saluran air kencing dan kelamin).
3. Pediatrik atau kanak-kanak (paediatrics)
Semua kes melibatkan individu berumur bawah 18 tahun akan dirujuk ke unit ini. Namun, doktor pakar kanak-kanak juga turut mengendalikan kes tertentu melibatkan individu berumur lebih 18 tahun.
Jabatan ini juga mempunyai subunit tertentu seperti neonatal untuk bayi berumur sebulan pertama.
4. Perbidanan dan sakit puan (obstetrics and gynaecology)
Jabatan ini juga antara jabatan yang menerima banyak kes. Terbahagi kepada dua iaitu:
- Perbidanan – semua berkaitan kehamilan bermula hari pertama sehingga selepas proses bersalin termasuk pencegahan kehamilan.
- Sakit puan – keadaan kesihatan khusus melibatkan wanita seperti gangguan kitaran haid dan semua berkaitan sistem reproduktif wanita.
Ini ialah jabatan utama anda boleh temui di hospital. Namun, masih terdapat banyak lagi jabatan di hospital seperti kecemasan dan trauma, onkologi (kanser), psikiatri, anestesiologi (bius), oftalmologi (mata) dan sebagainya. Pembahagian mengikut unit seperti ini tidak lain hanya bertujuan membantu proses penjagaan kesihatan pesakit berjalan dengan lancar dan baik.
Hargailah staf kesihatan yang bekerja siang dan malam demi menyelamatkan nyawa anda!
[embed-health-tool-bmi]