Siapakah orang Fore di Papua New Guiena?
Di bahagian timur kawasan tanah tinggi Papua New Guinea, wujudnya satu suku kaum yang diberi nama Fore. Terma Fore adalah satu terma etno-lingustik kerana ianya merujuk kepada nama suku kaum tersebut dan juga bahasa yang digunakan oleh mereka. Orang Fore mula ditemui oleh prospektor emas pada tahun 1930-an dan antara orang terawal yang menceritakan tetang penemuan ini adalah Ted Ubank, seorang prospektor emas dari Eropah. Namun yang demikian, apa yang menyebabkan orang Fore ini menarik kepada pengkaji-pengkaji antropologi ketika itu adalah ritual mereka dalam memberi penghormatan terakhir kepada keluarga dan ahli kaum mereka yang telah meninggal dunia – Dengan memasak dan memakan mayat mereka.
Penelitian amalan ini hanyalah permulaan kepada satu penemuan yang lebih menarik kepada para pengkaji yang datang. Pada tahun 1952 hingga tahun 1953, dua pengkaji antropologi bernama Ronald Berndt and Catherine Berndt mendapati sebilangan orang Fore menzahirkan simptom yang disebut sebagai ‘Kuru’ dalam bahasa Fore. Perkataan Kuru bermaksud bergoyang dan ianya merujuk kepada ahli suku kaum mereka yang dilihat mengalami masalah keseimbangan untuk berjalan akibat badan mereka bergoyang. Sebilangan daripada mereka turut menzahirkan simptom nyanyuk dan perubahan kelakuan yang luar biasa seperti ketawa kuat secara tiba-tiba dan meracau. Satu pemerhatian penting lain yang turut dibuat adalah kebanyakan daripada mereka yang terjejas dengan masalah ini adalah wanita dan juga kanak-kanak. Pemerhatian terakhir dibuat adalah sebaik sahaja mereka menzahirkan simptom-simptom ini, kesemuanya akan meninggal dunia dalam beberapa bulan sahaja selepas itu.
Kuru sebagai sihir oleh Tukabu
Untuk orang Fore, mereka mempercayai bahawa Kuru ini adalah satu jenis buatan oleh ahli sihir yang digelar Tukabu dalam bahasa mereka dan mereka yang terkena Kuru dipercayai pernah melakukan silap sama ada kepada masyarakat atau kepada Tukabu. Malahan, mereka mempercayai bahawa mangsa-mangsa Kuru boleh juga disebabkan perbuatan jahat Tukabu yang tidak suka kepada orang tertentu. Akibat kepercayaan ini, waris mereka yang mati akibat Kuru akan membunuh Tukabu sekiranya Tukabu gagal untuk menarik semula sihir mereka. Kepercayaan ini begitu mendapat tempat sehinggakan John McArthur, pegawai peronda yang kerap berkunjung ke situ turut memberi sokongan kepada pendapat ini pada tahun 1953, dengan mengatakan masalah psikologi dan kelakuan yang dihidapi oleh mangsa adalah akibat sihir yang diamalkan oleh Tukabu.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen