Pernahkah anda terlihat mana-mana individu yang mempunyai kening tebal? Tidak semua orang mempunyai jenis kening ini. Namun, ada yang menganggapnya sebagai ciri yang unik kerana sering dikaitkan dengan personaliti tertentu. Jadi apa maksud kening tebal dan adakah ia benar?
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan, anda boleh klik di sini.
Fungsi kening pada mata anda
Sebelum kita pergi dengan lebih mendalam, apa kata kita fahami dahulu apakah fungsi kening yang sebenar.
Walaupun ia sekadar barisan bulu di atas mata, namun ia dicipta dengan tujuannya yang tersendiri.
Pertama, kening boleh membantu melindungi biji mata anda daripada kelembapan dan juga cahaya. Sebagai contoh, apabila peluh menitis daripada rambut atau dahi, ia tidak akan terus masuk ke dalam mata disebabkan kewujudan kening ini.
Kening juga seolah-olah ‘bumbung’ tambahan yang bertindak sebagai penapis jumlah cahaya yang masuk ke dalam mata anda.
Selain itu, kening juga membantu manusia dalam menunjukkan ekspresi emosi mereka.
Contohnya, sebelah kening yang ditinggikan boleh membawa maksud anda sedang berminat dengan sesuatu atau bersifat skeptikal.
Bentuk kening dan personaliti
Jika anda buka laman web dan mencari maklumat mengenai jenis kening tebal, maka anda akan dapat melihat banyak hasil carian yang menerangkan mengenai jenis kening dan maksudnya.
Antaranya seperti di bawah ini:
#1. Kening nipis
Dikatakan bahawa mereka yang mempunyai kening nipis adalah mereka yang sangat sukar untuk membuat satu-satu keputusan.
Bahkan mereka akan mendapatkan pandangan dan idea orang lain untuk menentukan keputusan yang ingin dibuat.
Mereka yang mempunyai kening nipis juga dikatakan tidak suka membuang masa dalam memikirkan sesuatu perkara.
#2. Kening pendek
Mereka yang mempunyai kening pendek pula disebut sebagai seorang yang boleh mengawal dan mengendalikan stres atau tekanan dengan baik.
Mereka juga dikatakan sebagai seorang yang sangat fokus dalam melakukan sesuatu.
#3. Kening melengkung
Ada yang kata, individu dengan kening berbentuk melengkung ini sangat peramah dan mudah untuk bergaul.
Malah mereka juga dikatakan pandai berhubung dengan orang lain dan menjadikan diri mereka digemari ramai orang.
#4. Kening bersambung
Ada pendapat menyatakan bahawa mereka yang mempunyai jenis kening yang bersambung adalah seorang yang kreatif atau unik.
Disebabkan agak kreatif, mereka juga disebut sebagai seorang yang suka berkhayal dan gemar menilai orang lain.
#5. Kening memanjang
Antara personaliti utama mereka dengan kening jenis ini ialah mereka yang tahan ketika diuji dengan cabaran.
Orang dengan kening yang memanjang disebut pandai menyelesaikan sesuatu masalah yang berlaku sama ada ia melibatkan isu peribadi mahupun pekerjaan.
Apa pula maksud kening tebal?
Anda mempunyai kening penuh? Ada yang mengatakan bahawa jenis kening ini mendedahkan bahawa anda seorang yang berjiwa bebas.
Anda juga dikatakan menghargai sesuatu dengan cara semula jadi dan tidak terlalu risau tentang cara orang melihat dan menilai diri anda.
Anda juga mahu menjalani hidup anda mengikut cita-cita dan pemikiran sendiri. Bukan itu sahaja, anda juga seorang yang teliti dalam pendekatan yang diambil terhadap sesuatu.
Selain itu, anda juga seorang yang tegas dan berkeyakinan tinggi serta tidak mengambil keputusan berdasarkan emosi.
Individu dengan kening tebal juga dinilai sebagai seorang yang berfikiran ke hadapan.
Walau bagaimanapun, anda akan mudah menjadi marah jika sesuatu yang dirancang tidak berjalan lancar atau melibatkan terlalu banyak drama emosi.
Benarkah personaliti yang dikaitkan dengan kening tebal ini?
Secara umumnya, tiada sebarang personaliti atau karakter khusus yang dikaitkan dengan jenis kening anda.
Tidak kira sama ada kening anda jenis tebal, nipis, melengkung, panjang atau bersambung, ia terbentuk disebabkan oleh pengaruh genetik dalam diri dan keluarga anda.
Faktor genetik juga mempengaruhi tekstur, warna dan bentuk kening anda.
Jika personaliti anda serupa dengan apa yang disebut sebelum ini, ia hanyalah kebetulan semata-mata dan ramai lagi individu tidak mempunyai ciri yang sama dengan bentuk kening mereka.
Setiap jenis kening adalah unik dan ia mempunyai peranan atau fungsi khusus sebagai perlindungan kepada mata anda.
[embed-health-tool-bmi]