Pasti ramai yang sedia maklum mengenai bencana banjir yang sedang melanda negara kita ketika ini. Ketika mangsa diuji dengan bencana alam, mereka juga terpaksa berhadapan dengan masalah penyebaran COVID-19 ketika berada di pusat pemindahan banjir.
Malah, masalah ini mungkin akan menjadi mimpi ngeri baharu rakyat Malaysia pasca banjir.
Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi amaran mengenai kemungkinan kenaikan kes COVID-19 disebabkan banjir.
Setakat 21 Disember lalu, sebanyak 86 kes COVID-19 telah dikenal pasti dalam kalangan mangsa banjir menjadikan kes keseluruhan setakat ini sebanyak 267 kes.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Selangor mencatatkan kes yang tertinggi iaitu sebanyak 117, diikuti dengan Pahang sebanyak 52 kes, Kelantan 6 kes, Kuala Lumpur 4 kes dan 1 kes di Melaka dan Negeri Sembilan.
Walau bagaimanapun, kebanyakan kes merupakan kes kategori 1 dan kategori 2. Kebanyakan pesakit juga mempunyai simptom yang sederhana atau tidak menunjukkan sebarang simptom.
Dalam masa yang sama, banjir juga boleh meningkatkan risiko penyakit lain seperti keracunan makanan, tifoid dan kolera, penyakit tangan, kaki dan mulut, leptospirosis, jangkitan saluran pernafasan akut, penyakit kulit dan demam denggi.
Disebabkan peningkatan kes COVID-19 dan penyakit berjangkit ketika banjir, kita perlulah mengambil langkah berjaga-jaga dan lebih berhati-hati ketika di pusat pemindahan banjir.
Sebagai panduan, ikuti tip kami di bawah.
Sediakan barang secukupnya sebelum bergerak
Disebabkan kita masih lagi berada di dalam pandemik, persiapan untuk bencana terutamanya banjir perlulah disertai dengan langkah-langkah pencegahan wabak COVID-19.
Di samping menyediakan barang wajib seperti lampu suluh, baju tambahan, makanan, dan sebagainya, item lain seperti sabun, hand sanitizer, dan pelitup muka yang bersih juga amat penting.
Jika anda perlu ke tempat pemindahan banjir, pastikan anda:
- Telah mengambil vaksin COVID-19. Vaksin dapat membantu anda mengurangkan risiko jatuh sakit. Pada masa yang sama, ia dapat melindungi orang di sekeliling anda.
- Kenal pasti di manakah pusat pemindahan banjir terdekat. Sentiasa periksa media sosial atau dengar berita untuk mendapatkan informasi ini. Sediakan juga powerbank untuk tujuan kecemasan supaya anda boleh menggunakan telefon bimbit di saat getir.
- Ikut arahan pihak berkuasa. Jangan sesekali bergerak sendiri terutamanya ketika banjir sedang naik.
- Buat pelan keselamatan untuk haiwan peliharaan anda. Terlalu banyak haiwan peliharaan yang perlu ditinggalkan sewaktu banjir. Oleh sebab itu, buat pelan supaya anda lebih bersedia ketika bencana menimpa.
- Ikut SOP ketika bergerak ke tempat pemindahan banjir supaya anda dapat melindungi diri dan orang lain daripada COVID-19.
Sentiasa berjaga-jaga ketika di pusat pemindahan banjir
Walaupun kita sedang berhadapan dengan bencana alam, individu yang sedang berlindung di pusat pemindahan banjir masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan jangkitan COVID-19.
Tidak dinafikan, berada di dalam kawasan yang sempit bersama puluhan atau ratusan lagi mangsa banjir boleh meningkatkan risiko anda untuk dijangkiti virus.
Untuk melindungi diri anda dan keluarga, ada beberapa langkah yang boleh dipraktikkan bagi mengurangkan risiko jangkitan dan dalam masa yang sama, kekal selamat ketika berada di pusat pemindahan banjir.
Antaranya ialah:
- Amalkan penjarakan sosial. Pastikan anda berada sekurang-kurangnya 6 kaki jauhnya daripada orang lain.
- Praktikkan langkah-langkah pencegahan COVID-19 seperti amalan membasuh tangan, tutup mulut ketika batuk atau bersin, dan pakai pelitup muka. Jika boleh, elakkan berkongsi makanan dengan orang lain.
- Ikut arahan di tempat pemindahan banjir. Semua arahan ini digariskan untuk keselamatan semua pihak yang berlindung di tempat tersebut.
- Jika anda jatuh sakit, laporkan kepada staf atau pihak yang bertanggungjawab secepat mungkin.
- Elakkan menyentuh permukaan yang kerap disentuh seperti meja, kerusi dan sebagainya. Basuh tangan dengan sabun dan air selama 20 saat atau gunakan hand sanitizer selepas anda menyentuh permukaan ini.
- Jaga kebersihan diri dan persekitaran. Jangan mandi air banjir dan jangan sesekali makan makanan yang tercemar.
Kesimpulan
Banjir merupakan bencana alam yang boleh mengakibatkan kerosakan harta dan kehilangan jiwa.
Selain kehilangan tempat berteduh, mangsa banjir berhadapan risiko COVID-19 yang amat besar ketika berada di pusat pemindahan banjir.
Manakan tidak, kesukaran untuk mencari barangan asas seperti sabun, pelitup muka dan baju yang bersih, serta terpaksa tinggal dalam kawasan yang sempit tanpa sebarang penjarakan sosial merupakan antara faktor yang menyebabkan kenaikan angka kes COVID-19 pasca banjir.
Pada waktu ini, ramai yang bertindak turun padang untuk menjadi sukarelawan banjir. Jangan lupa, jaga SOP ketika sedang melakukan aktiviti sukarelawan.
Sentiasa basuh tangan, jaga jarak dan jaga kebersihan diri ketika anda sedang membantu mereka yang terkesan dengan banjir.
Untuk mangsa banjir pula, dapatkan rawatan secepat mungkin jika anda mengalami simptom-simptom seperti demam, selesema, batuk dan sebagainya.
Pastikan anda beritahu individu yang bertugas dan lakukan pemeriksaan COVID-19 kendiri jika boleh untuk mengelakkan sebarang penyebaran berlaku pada masa akan datang.
[embed-health-tool-bmi]