Sempena Hari Peringatan AIDS Antarabangsa 2023 (IAMD), penyedia kesihatan digital dan e-preskripsi terkemuka Malaysia, DOC2US, serta Majlis AIDS Malaysia (MAC) telah melancarkan Klinik HIV Maya DOC2US secara rasmi untuk pesakit HIV dan orang awam.
Human Immunodeficiency Virus (HIV) merupakan satu penyakit unik yang berbeza dengan penyakit lain. Individu yang menerima diagnosis HIV selalunya akan terkesan dari segi fizikal, emosi dan sosial.
Benar, kini sudah ada banyak rawatan yang dapat mengubah nasib penghidap HIV. Namun, stigma dan juga diskriminasi masih lagi menyelubungi golongan ini sehingga mereka tidak dapat diterima oleh masyarakat.
Kadangkala, mereka juga tidak dapat menerima rawatan yang sewajarnya disebabkan diskriminasi oleh pakar kesihatan sendiri.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Seksual , anda boleh klik di sini.
Stigma dan diskriminasi yang dihadapi pesakit HIV
Tidak dinafikan, HIV datang dengan stigmanya yang tersendiri. Ada banyak tanggapan negatif yang menyelubungi penghidap HIV, salah satunya adalah mengaitkan mereka dengan golongan atau tabiat tertentu yang tidak diterima oleh masyarakat atau agama.
Bukan itu sahaja, individu yang menderita dengan HIV juga berhadapan dengan pelbagai bentuk diskriminasi.
Antara diskriminasi yang dihadapi penghidap HIV ialah:
- Pakar kesihatan tidak mahu bekerjasama dengan penghidap HIV
- Tidak boleh mendapatkan rawatan sewajarnya disebabkan diskriminasi dan stigma
- Ditolak secara sosial kerana positif HIV
- Dipulau keluarga dan masyarakat
Stigma dan diskriminasi ini boleh mempengaruhi emosi dan kesihatan fizikal pesakit.
Lama-kelamaan, penghidap HIV akan terpengaruh dengan segala stigma yang dialami dalam kehidupan harian. Mereka juga akan mula membentuk satu tanggapan negatif terhadap diri sendiri.
Semua perasaan yang terbuku ini akan menyebabkan pesakit rasa malu, sedih dan ingin mengasingkan diri.
Bukan itu sahaja, stigma terhadap HIV ini juga boleh menyebabkan mereka enggan mendapatkan rawatan yang sepatutnya untuk penyakit yang dialami.
DOC2US melancarkan klinik HIV maya dengan konsultasi percuma
Menurut Presiden MAC, Profesor Madya Dr Raja Iskandar Shah Raja Azwa, Klinik HIV ini merupakan satu inisiatif yang sangat bagus.
Pasca COVID-19, beliau dapat lihat satu peningkatan yang ketara dalam teleperubatan dan platform maya untuk perundingan perubatan bagi orang yang mempunyai atau berisiko menghidap HIV.
Oleh sebab itu, DOC2US dan banyak lagi entiti swasta lain berusaha untuk menyediakan opsyen lain untuk individu yang tidak boleh mendapatkan rawatan atas sebab tertentu.
Dengan adanya opsyen ini, mereka berharap lebih ramai pesakit HIV boleh tampil ke hadapan dan mulakan rawatan yang sewajarnya dalam satu ruang selamat tanpa diskriminasi.
Klinik HIV Maya ini adalah satu usaha sama yang bertujuan untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang boleh diakses, saksama dan inklusif kepada Orang yang Hidup dengan HIV (ODHA) selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan PBB 3 (SDG 3).
Dengan memanfaatkan teknologi DOC2US, klinik HIV maya ini bertujuan menjadi jalan alternatif bagi ODHA dan populasi utama untuk mendapatkan perundingan perubatan percuma mengenai HIV atau perkara berkaitan STD melalui telekonsultasi dengan doktor berlesen dan diluluskan oleh DOC2US.
Platform ini juga membolehkan pesakit HIV dan populasi utama mendapatkan kit ujian kendiri, rujukan ujian makmal dan e-preskripsi untuk ubat.
Baca juga:
- AWAS! Ini 3 Tanda-tanda HIV Pada Lelaki Yang Ramai Orang Terlepas Pandang!
- Main Guna Lidah & Mulut? Hati-Hati Ada Bahaya Seks Oral Yang Anda Tidak Tahu!
Tidak ‘pilih bulu’
Tambah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas DOC2US, Dr Raymond Choy, ruang digital ini diwujudkan untuk semua orang tanpa ‘pilih bulu’.
Tidak dinafikan, ODHA berhadapan dengan pelbagai stigma, diskriminasi dan pelbagai cabaran lain dalam hidup. Dengan wujudnya platform ini, penghidap HIV boleh meneruskan rawatan dan penjagaan dengan rasa yakin tanpa sebarang diskriminasi.
“Kami mahu menyediakan akses kepada penjagaan kesihatan yang sama untuk semua orang tanpa mengira latar belakang.
“Klinik HIV ini adalah langkah pertama kami untuk mencapai visi nasional sasaran HIV global kami, 95-95-95, iaitu 95% daripada mereka dengan HIV mengetahui status mereka, 95% daripada mereka yang mengetahui status mereka untuk menjalani rawatan dan 95% daripada mereka yang menjalani rawatan.
“Kami beharap untuk lebih banyak peluang kerjasama dengan organisasi yang berfikiran sama seperti MAC,” kata Dr Choy lagi.
IAMD 2023 dikenali sebagai salah satu kempen mobilisasi akar umbi tertua dan terbesar di dunia untuk kesedaran HIV di dunia.
Di bawah tema globalnya ‘Sebarkan Kasih Sayang dan Perpaduan untuk Membina Komuniti Lebih Teguh’, MAC dan DOC2US menyasarkan untuk menarik perhatian kepada cabaran yang dihadapi oleh individu HIV akibat diskriminasi berterusan, yang boleh menyebabkan rasa malu, keraguan diri dan pengasingan.
Klinik HIV Maya DOC2US boleh diakses melalui aplikasi DOC2US yang tersedia di Google Play Store, Apple App Store, Huawei App Gallery serta laman web mereka untuk pengguna desktop. Klinik beroperasi setiap hari Rabu, dari jam pukul 1.00 tengah hari hingga 5.00 petang.
[embed-health-tool-bmi]