Rasa rendah diri sebab payudara kendur? Jangan risau, semua wanita cantik, walaupun payudara tidak seanjal orang lain. Lagipun, bukankah setiap wanita mempunyai bentuk payudara yang berbeza?
Sebenarnya, ada banyak punca payudara menjadi kendur. Tetapi, pasti anda tertanya-tanya sama ada ia berlaku secara semula jadi atau sebab penyakit.
Secara saintifik, payudara yang melendut juga dikenali sebagai ptosis. Buah dada wanita terdiri daripada gabungan lemak dan tisu.
Selain itu, terdapat sejenis ligamen yang juga dikenali sebagai ligamen Cooper. Ia bertanggungjawab ‘memegang’ dan mengekalkan bentuk payudara.
Jika ligamen ini menjadi lemah atau meregang, payudara akan mula hilang keanjalannya. Lama-kelamaan, buah dada akan jadi kendur!
Dalam artikel kali ini, kami akan terangkan mengenai punca payudara kendur. Nak tahu lebih lanjut? Jom, teruskan pembacaan anda!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
5 punca payudara kendur
Mengapa ya payudara mengendur? Adakah ia berlaku kerana kurang bersenam, atau disebabkan keturunan? Sebenarnya, semua faktor ini mempunyai kesannya yang tersendiri!
Walau bagaimanapun, payudara yang mengendur bukanlah satu masalah fizikal. Ia merupakan masalah kosmetik semata-mata. Namun, rupa dan bentuk payudara boleh mempengaruhi keyakinan diri setiap wanita.
Antara punca payudara kendur ialah:
1. Postur badan yang tidak betul
Tahukah anda, postur badan yang tidak betul boleh buatkan payudara ‘nampak’ kendur?
Malah, jika anda sering membongkok, tarikan graviti juga berupaya membuatkan buah dada menjadi kendur dalam masa yang singkat!
Walau bagaimanapun, perkara ini tidak akan berlaku secara serta-merta. Ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun sebelum anda sedar akan kesannya terhadap payudara masing-masing.
Sama jugalah jika anda sering memakai bra dengan saiz yang salah. Jadi, jangan terkejut jika payudara anda melendut sebelum masanya hanya disebabkan pemakaian baju dalam yang tidak sesuai!
Pemakaian baju dalam yang dapat memberikan sokongan pada payudara adalah langkah terbaik untuk mengelakkan ia daripada menjadi kendur.
Jika anda tidak pasti apakah saiz baju dalam yang sesuai, jangan malu untuk minta jurujual ukur dahulu sebelum beli.
2. Payudara kendur kerana anda suka merokok
Kolagen merupakan protein yang sangat penting untuk kesihatan kulit. Ia merupakan protein yang paling banyak, merangkumi hampir 30% daripada keseluruhan protein dalam badan kita.
Selain itu, kolagen juga merupakan bahan utama yang membina kulit, tulang, tendon dan ligamen. Malah, ia juga boleh ditemui di dalam organ, saluran darah dan lapisan usus.
Apabila usia kita semakin lanjut, simpanan kolagen dalam badan akan berkurangan. Sebab itulah, kulit menjadi semakin berkedut apabila usia kita bertambah!
Proses penuaan juga akan menjadi semakin teruk jika anda merokok.
Malah, wanita yang sering merokok berisiko untuk mempunyai payudara yang lebih cepat kendur berbanding orang lain.
Baca juga:
- Buah Dada Isteri Makin Berisi Lepas Kahwin? Ini 6 Sebab Payudara Wanita Membesar
- Psstttt… Ini Rahsia Jaga Payudara! Urut 15 Minit Setiap Hari, Suami Pun Boleh Tolong!
3. Penurunan berat badan yang pantas
Anda baru sahaja kehilangan berat badan secara drastik? Mungkin inilah punca payudara anda mengendur!
Buah dada wanita terdiri daripada lemak. Oleh sebab itu, apabila berlakunya penurunan berat badan yang drastik, bentuk payudara akan berubah.
Malah, kulit juga akan hilang keanjalannya selepas anda mengalami penurunan berat badan.
Cara terbaik untuk elakkan semua ini daripada berlaku adalah dengan menurunkan berat badan secara sihat.
Menurut laman sesawang Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), penurunan berat badan sebanyak 0.5 hingga 1 kilogram seminggu adalah paling sihat.
Individu yang mengalami penurunan sebegini lebih berkemungkinan untuk mengekalkan berat badan dalam tempoh yang lebih panjang.
4. Penuaan punca payudara kendur
Lama-kelamaan, buah dada kita akan menjadi kendur juga disebabkan penuaan.
Salah satu puncanya adalah kehilangan kolagen pada badan. Proses ini akan menjadi semakin pantas apabila anda mencapai usia menopaus.
Kehilangan kolagen juga berlaku disebabkan perubahan hormon. Malah, ia merupakan satu proses yang normal. Jadi, jangan panik ya!
5. Genetik
Jangan terkejut, genetik sebenarnya memainkan peranan penting dalam menentukan keanjalan payudara anda! Malah, kekuatan ligamen Cooper juga bergantung pada genetik.
Jadi, jika ibu atau nenek anda mempunyai ligamen Cooper yang lemah, besar kemungkinan anda akan mempunyai payudara yang kendur!
Kini anda sudah ketahui punca buah dada menjadi kendur. Jadi, yang mana satu penyebab berkait dengan diri anda?
[embed-health-tool-ovulation]