backup og meta

Gangguan Seksual Di Tempat Kerja, Bukan Memberi Impak Terhadap Mental Sahaja!

Gangguan Seksual Di Tempat Kerja, Bukan Memberi Impak Terhadap Mental Sahaja!

Gangguan seksual di tempat kerja bukanlah sesuatu yang baharu. Masalah ini bukan perkara yang mudah untuk ditangani. Kesan gangguan seksual tidak terhad pada mental mangsa sahaja, ia juga boleh memberi impak terhadap kesihatan fizikal, moral mangsa serta orang sekeliling.

Pada tahun 2012, dalam Akta Kerja 1955 gangguan seksual telah dipinda. Sebarang bentuk gangguan seksual yang tidak diingini, sama ada dalam bentuk seksual, lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

Jangan lupa, gangguan seksual boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, termasuklah kaum Adam.

Dalam artikel kali ini, kami akan terangkan lebih lanjut mengenai kesan gangguan seksual kepada mangsa.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

Kesan gangguan seksual kepada mangsa dan orang sekeliling

Gangguan seksual boleh memberikan impak terhadap emosi, psikologi dan fizikal mangsa.

Bukan mudah untuk mengatasi kesan gangguan seksual. Ia merupakan satu pengalaman yang boleh meninggalkan trauma yang mendalam.

Namun dengan bantuan daripada orang terdekat, fasa pemulihan mungkin akan jadi lebih mudah.

Gangguan seksual bukan hanya mempengaruhi mangsa, bahkan ia juga boleh memberikan kesan kepada mental orang sekeliling!

Contoh-contoh gangguan seksual:

  1. Meminta mangsa melakukan aksi seksual tertentu.
  2. Memegang dan menyentuh mangsa tanpa keizinan.
  3. Menghantar mesej, gambar atau bercakap mengenai perkara lucah yang membuatkan mangsa rasa tidak selesa.
  4. Selalu membuat lawak-lawak lucah.
  5. Memaksa mangsa ‘bercinta’ atau keluar janji temu.
  6. Menjilat bibir, memerhatikan atau mengikut mangsa sehingga ke rumah.

1. Lebih berisiko untuk mengalami depresi

Menurut sebuah kajian yang dilakukan oleh University of Pittsburgh, trauma disebabkan gangguan seksual boleh memberi kesan berpanjangan kepada emosi wanita.

Wanita yang berhadapan dengan gangguan seksual mempunyai risiko 3 kali ganda untuk mengalami depresi.

Bukan itu sahaja, mereka juga akan rasa stres, sukar tidur malam, mengalami tekanan darah tinggi, keyakinan diri merudum dan kerap rasa loya.

Semua ini merupakan antara contoh kesan gangguan seksual terhadap kesihatan fizikal mangsa.

Menurut Ahli Psikologi Klinikal, Dr. Colleen Cullen, mangsa sering didiagnosis dengan depresi, kegelisahan dan juga gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) selepas menjadi mangsa gangguan seksual.

2. Mula bersendiri dan menyalahkan diri

kesan gangguan seksual

Mangsa gangguan seksual juga sering menyalahkan diri sendiri atas trauma yang mereka alami.

Selain itu, ada juga yang akan rasa marah, malu serta kecewa kerana diperlakukan sebegitu rupa.

Pada masa yang sama, mangsa juga mungkin lebih gemar bersendiri. Mereka sukar untuk meneruskan kehidupan seharian dan mula mengabaikan diri masing-masing. Ini adalah tanda-tanda awal depresi.

Walau bagaimanapun, reaksi terhadap trauma berbeza mengikut individu. Mungkin ada wanita yang rasa okay dan boleh meneruskan kerja seperti biasa.

Namun, bagi wanita yang sangat terkesan dengan trauma ini, mereka kerap mengalami flashback yang mengingatkan mereka pada gangguan seksual yang dialami.

Lama-kelamaan, mangsa juga akan alami serangan panik kesan daripada PTSD yang dialami.

3. Kesihatan mula terjejas kesan gangguan seksual

Menurut American Academy of Family Physicians, trauma boleh mencetuskan pelbagai simptom fizikal.

Antaranya ialah sakit badan yang kronik, sindrom rengsa usus, disfungsi seksual, tekanan darah yang tinggi dan pedih ulu hati.

Benar, semua simptom ini datangnya daripada isu psikologikal. Namun, itu tidak bermaksud ia tidak benar.

Kesakitan yang berlaku secara psikologikal boleh mendatangkan simptom secara fizikal.

4. Produktiviti di tempat kerja menurun

kesan gangguan seksual

Persekitaran yang toksik di tempat kerja boleh menyebabkan penurunan produktiviti.

Sekiranya seorang kakitangan di tempat kerja mengalami gangguan seksual, besar kemungkinan satu jabatan akan terasa kesannya.

Menurut sebuah kajian yang dijalankan ke atas 262 orang wanita, hampir 75% mengakui insiden gangguan seksual di tempat kerja dapat mempengaruhi produktiviti kerja mereka.

Bukan itu sahaja, mereka juga rasa takut dan tidak selamat di tempat kerja masing-masing.

Selain itu, kes gangguan seksual di tempat kerja juga mungkin akan menyebabkan isu lain menjadi semakin teruk.

Antaranya, pekerja mungkin jadi tidak bersemangat, mula datang lewat, sering ponteng kerja dan tidak boleh fokus.

5. Trauma sekunder sebagai kesan gangguan seksual

Pernahkah anda dengar mengenai trauma sekunder?

Ia merupakan sejenis trauma yang berlaku kepada pendengar atau pihak ke-3 yang terkesan dengan trauma yang dilalui oleh orang lain.

Selain itu, trauma ini juga boleh berlaku kepada individu yang menyaksikan satu-satu kejadian yang traumatik.

Sama seperti trauma biasa, ia juga boleh menyebabkan mangsa menjadi tertekan, menghidap depresi dan mula mengalami pelbagai simptom fizikal.

Baca juga:

Apa yang perlu anda lakukan sekiranya berhadapan dengan gangguan seksual?

Gangguan seksual di tempat kerja bukanlah satu perkara yang patut dianggap remeh. Ia merupakan satu salah laku yang serius.

Sekiranya anda berhadapan dengan gangguan seksual:

  1. Jangan takut untuk bersuara. Beritahu dengan jelas bahawa tindakan mereka membuatkan anda rasa takut. Cakap ‘tidak’ atau ‘no’ setiap kali mereka melakukan apa-apa tindakan yang membuatkan anda rasa tidak selesa.
  2. Catat butir kejadian seperti masa, tempat dan bagaimana ia berlaku.
  3. Cakap dengan seseorang. Anda boleh beritahu HR di tempat kerja atau rakan yang rapat. Minta mereka simpan rekod tentang kejadian tersebut.
  4. Dapatkan pemeriksaan kesihatan. Kesan gangguan seksual bukan sahaja dari segi mental, ia juga boleh membuatkan anda mengalami pelbagai simptom fizikal.
  5. Buat laporan polis. Sekiranya anda mempunyai butir yang lengkap mengenai kes gangguan seksual yang dialami, buat laporan polis serta-merta.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Consequences Of Sexual Harassment. https://www.ramapo.edu/titleix/sexual-harassment-resources/consequences-sexual-harassment/. Accessed on December 4, 2022.
  2. Effects of Sexual Harassment. http://hrlibrary.umn.edu/svaw/harassment/explore/4effects.htm. Accessed on December 4, 2022.
  3. Effects of Sexual Violence. https://www.rainn.org/effects-sexual-violence. Accessed on December 4, 2022.
  4. Sexual Harassment. https://www.rainn.org/articles/sexual-harassment. Accessed on December 4, 2022
  5. Undang-undang yang berkaitan dengan Gangguan Seksual. https://www.wccpenang.org/sexual-harassment-laws-in-malaysia-m/. Accessed on December 4, 2022.
  6. What is Sexual Harassment. https://www.un.org/womenwatch/osagi/pdf/whatissh.pdf. Accessed on December 4, 2022.

Versi Terbaru

14/12/2022

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Jangan Ambil Mudah Isu Gangguan Seksual, Ia Mungkin Akan Sebabkan Perkara Ini...

Elak Kanak-kanak Jadi Mangsa Amang Seksual, Ajar Si Kecil 7 Perkara Ini!


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 14/12/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan