Doktor menyatakan bahawa anda mengalami kekurangan zat besi dan perlu mengambil ubat penyakit anemia? Anda tahu mengenai anemia tetapi apakah kaitan keadaan kesihatan tersebut dengan zat besi?
Anda boleh semak artikel ini untuk mengetahui apa itu zat besi dan fungsinya pada tubuh serta cara mengatasi masalah anemia ini.
Memahami apa itu zat besi
Zat besi adalah mineral yang diperlukan tubuh untuk pertumbuhan dan perkembangan. Ia adalah elemen penting dalam penghasilan darah.
Dianggarkan 70% daripada zat besi tubuh terdapat dalam sel darah merah yang dikenali sebagai hemoglobin dan sel otot, myoglobin 1.
Tubuh akan menggunakan zat besi untuk menghasilkan hemoglobin iaitu protein dalam sel darah merah yang membawa oksigen daripada paru-paru ke seluruh badan. Manakala myoglobin pula merupakan protein yang membawa oksigen kepada otot.
Di samping itu, zat besi juga diperlukan oleh tubuh untuk menghasilkan beberapa jenis hormon 2.
Apabila pengambilan zat besi amat rendah, pusat penyimpanan mineral ini akan berkurangan sekali gus menurunkan kadar hemoglobin.
Apabila simpanan zat besi habis, keadaan ini dikenali sebagai penipisan zat besi (iron-depletion), jika berterusan ia akan mengembangkan anemia kekurangan zat besi 1, seterusnya menjadi punca mengapa anda perlu ubat penyakit anemia.
Fungsi zat besi dalam mencegah anemia
Cara paling mudah untuk mengatasi masalah anemia adalah melalui pemakanan harian yang boleh diperolehi dalam dua bentuk iaitu heme dan juga bukan heme 4.
Zat besi heme
Zat besi heme merupakan sumber paling baik terdapat dalam makanan bersumberkan daging haiwan yang mengandungi hemoglobin seperti daging, ikan dan haiwan ternakan lain.
Zat besi bukan heme
Zat besi bukan heme pula kebanyakannya terdiri daripada sumber tumbuhan dan terdapat dalam bijian, sayuran dan makanan yang diperkaya 4.
Walau bagaimanapun, kadar penyerapan zat besi bukan heme oleh tubuh adalah kurang berkesan berbanding dengan zat besi heme 5.
Namun, keadaan tersebut boleh diatasi dengan pengambilan makanan kaya vitamin C seperti buah sitrus, sayuran berdaun hijau gelap, tomato, tembikai dan juga strawberi 6.
Selain daripada itu, pengambilan suplemen turut dianggap sebagai langkah pencegahan dan ubat penyakit anemia. Antara makanan tambahan terbaik boleh diambil adalah yang mengandungi ferrous fumarate.
Kesan kehilangan darah punca kekurangan zat besi
Situasi kehilangan darah merupakan penyebab paling biasa masalah kekurangan zat besi. Bagi individu lelaki dan wanita dalam lingkungan usia 45 hingga 55 tahun, kekurangan zat besi ini selalu terjadi akibat kehilangan darah gastrousus.
Lebih membimbangkan adalah individu wanita lebih terdedah untuk berdepan keadaan kekurangan zat besi disebabkan kehilangan darah. Antara situasi yang menjadi punca adalah:
-
Pendarahan haid
Dalam istilah perubatan, pendarahan haid yang berat ini disebut sebagai menorrhagia 8. Anda boleh mengenal pasti keadaan ini apabila anda perlu menukar tampon atau pad kurang daripada 2 jam.
Menorrhagia yang tidak dirawat boleh menyukarkan anda menjalani kehidupan seharian dengan sepenuhnya dan turut boleh mengembangkan anemia.
-
Sindrom Ovari Polisistik (PCOS)
Merupakan keadaan yang mempengaruhi tahap hormon wanita dengan menghasilkan jumlah hormon lelaki lebih tinggi daripada biasa 9. Kesan daripada ketidakseimbangan ini menyebabkan individu dengan PCOS mengalami pendarahan haid berat bersama gumpalan darah.
-
Tumpah darah selepas bersalin
Keadaan ini boleh terjadi apabila seseorang wanita mengalami pendarahan berat selepas melahirkan anak 10. Ia situasi serius tetapi jarang berlaku.
Kehilangan sedikit darah semasa bersalin adalah normal. Tetapi wanita dengan keadaan ini akan kehilangan lebih banyak darah sehingga menyebabkan situasi berbahaya seperti penurunan tekanan darah yang teruk dan jika tidak dirawat boleh menyebabkan kejutan kepada tubuh serta kematian.
-
Darah nifas berlebihan
Lochia rubra, adalah peringkat darah nifas yang pertama . Untuk tempoh beberapa hari pertama anda mungkin akan mengalami pendarahan nifas berat sehingga memerlukan proses penukaran pad bagi setiap beberapa jam 11, 12.
Dalam peringkat ini juga anda mungkin akan melihat gumpalan darah kecil dan ia adalah normal. Pun begitu, sekiranya terlalu banyak gumpalan darah yang keluar, ia mungkin petanda bahaya.
-
Fibroid rahim
Fibroid adalah tumor otot yang berkembang pada dinding rahim dan ia bukan barah 13. Kebanyakan kes fibroid tidak menyebabkan sebarang gejala.
Pun begitu, beberapa wanita dengan fibroid mungkin mengalami beberapa simptom dan salah satu daripadanya adalah pendarahan berat sehingga boleh menyebabkan anemia atau tempoh haid yang menyakitkan.
Tanpa zat besi yang mencukupi, badan tidak dapat menghasilkan cukup protein dalam sel darah merah untuk membolehkannya membawa oksigen. Kesannya, keadaan ini boleh mengakibatkan anda berasa cepat letih dan mudah sesak nafas.
Antara simptom lain yang mungkin terjadi seperti 3:
- Merasa cepat letih lebih dari biasa
- Merasa mudah marah
- Pening kepala
- Sukar menumpukan perhatian atau berfikir
Apabila masalah anemia kekurangan zat besi semakin teruk, lebih banyak gejala akan mula timbul, termasuklah 3:
- Mata putih kelihatan kebiruan
- Kuku menjadi rapuh dan senang patah
- Keinginan untuk makan ais atau yang “bukan makanan” (pika) seperti plastik
- Berasa pening kepala apabila berdiri dari posisi duduk
- Kulit menjadi pucat
- Sesak nafas
- Lidah terasa pedih
- Degupan jantung menjadi cepat
Secara amnya mineral zat besi tidak dihasilkan oleh tubuh dan akan diserap daripada apa yang anda makan dan pengambilan suplemen, sekali gus dianggap sebagai ubat penyakit anemia.
Ferrous fumarate sebagai ubat penyakit anemia
Ferrous fumarate adalah ubat yang berfungsi sebagai suplemen bagi merawat dan mencegah kadar zat besi dalam darah yang rendah atau lebih dikenali sebagai anemia kekurangan zat besi.
Suplemen ini boleh didapati dalam bentuk tablet, kapsul atau cecair untuk pengambilan secara oral 7.
Kebanyakan individu dewasa boleh mengambil suplemen ferrous fumarate di bawah nasihat doktor atau ahli farmasi. Pemberian suplemen ini kepada kanak-kanak juga hanya boleh diberikan sekiranya disyorkan oleh doktor.
Cara pengambilan suplemen
Kita sudah mengetahui apa itu zat besi dan fungsinya. Jika anda mengalami masalah kekurangan zat besi, pastinya doktor akan menasihati untuk mengambil suplemen. Tetapi awas ada cara pengambilannya.
Suplemen ferrous fumarate paling berkesan jika diambil ketika perut masih kosong. Anda boleh mengambilnya 30 minit sebelum waktu makan atau 2 jam selepas makan.
Walau bagaimanapun, jika suplemen ini mengakibatkan ketidakselesaan perut, anda boleh mengamalkannya bersama makanan atau sejurus selepas mengalas perut 7.
Doktor mungkin menyarankan anda untuk mengambil suplemen ferrous fumarate bersama jus oren atau suplemen vitamin C untuk membantu penyerapan. Jangan mengambil suplemen ini bersama susu kerana minuman ini akan menghalang zat besi daripada diserap ke dalam sistem tubuh.
Pastikan dos yang diambil adalah betul. Ini kerana jika tidak mendapat cukup mineral ini menyebabkan anda mengalami anemia kekurangan zat besi.
Sementara itu, kandungan zat besi yang berlebihan pula adalah berbahaya untuk tubuh. Ia boleh menyebabkan sembelit, mual dan muntah, kesakitan abdomen serta pitam.
Bagi pengambilan dalam dos yang tinggi boleh mengakibatkan kegagalan fungsi organ, koma dan kematian 2.
Suplemen zat besi atau ubat penyakit anemia ini juga boleh menjejaskan keberkesanan ubatan lain. Sebaiknya anda menjarakkan tempoh pengambilan ubat lain dengan suplemen ferrous fumarate.
Dinasihatkan untuk anda melakukan rundingan bersama doktor terlebih dahulu sebelum memulakan pengambilan makanan tambahan ini.
[embed-health-tool-ovulation]