backup og meta

Awas! Kerap Terkucil Ketika Batuk Atau Bersin Mungkin Tanda Rahim Wanita Jatuh!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Annes Nadia · Disemak pada 22/01/2024

    Awas! Kerap Terkucil Ketika Batuk Atau Bersin Mungkin Tanda Rahim Wanita Jatuh!

    Kerap ‘terkucil’ apabila anda batuk atau bersin? Hati-hati! Ia mungkin tanda peranakan jatuh!

    Masalah ini bukan sahaja boleh terjadi kepada wanita yang sudah berkahwin, malah wanita yang masih bujang juga boleh mengalaminya tanpa mereka sedar.

    Namun begitu, adakah terdapat cara merawat peranakan jatuh ini dan apakah simptomnya yang lain?

    Teruskan membaca artikel ini sehingga tamat untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

    Memahami punca peranakan jatuh

    Masalah peranakan jatuh atau juga dikenali sebagai prolaps rahim adalah kondisi di mana organ rahim atau vagina telah terkeluar atau melorot ke bawah daripada kedudukan asalnya.

    Ia juga boleh berlaku disebabkan otot dan ligamen lantai pelvis menjadi lemah dan tidak mampu lagi untuk menyokong rahim anda.

    Prolaps rahim boleh menjadi ringan atau teruk bergantung pada kelemahan otot yang menyokong rahim anda.

    Berikut merupakan beberapa punca yang boleh menyumbang kepada kondisi prolaps ini:

    • Kehamilan
    • Obesiti
    • Bersalin secara normal, melalui faraj
    • Faktor usia, terutamanya setelah menopaus
    • Sering mengangkat berat atau melakukan kerja yang berat
    • Meneran dengan kuat sewaktu membuang air
    • Masalah batuk dan sembelit yang kronik
    • Faktor keturunan
    • Pernah melakukan pembedahan pelvis
    masalah rahim jatuh
    4 jenis peranakan jatuh.

    Mengenali tanda peranakan jatuh

    Bagi wanita yang mengalami masalah rahim jatuh yang ringan, mereka mungkin tidak mengalami sebarang tanda peranakan jatuh.

    Manakala bagi mereka yang sudah mengalami masalah ini pada tahap yang sederhana atau teruk, ia mungkin menyebabkan mereka mengalami beberapa simptom rahim telah jatuh.

    Antara tanda peranakan jatuh pada peringkat awal yang boleh dikenal pasti ialah:

    • Kerap berlaku keputihan
    • Terasa berat atau tekanan pada bahagian pelvis
    • Sukar untuk membuang najis
    • Mempunyai masalah dyspareunia ketika melakukan seks
    • Kencing tidak lawas
    • Jangkitan kencing yang berulang atau kesukaran untuk membuang air kecil
    • Sakit pada bahagian bawah belakang badan

    Dalam kes-kes yang lebih teruk, pembedahan mungkin diperlukan untuk memastikan vagina dan organ-organ pelvis anda berada dalam kedudukan yang betul.

    Jadi, langkah terbaik yang anda perlu lakukan adalah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya mengikut kondisi semasa anda.

    Kesan buruk peranakan jatuh yang tidak dirawat dengan segera boleh menjejaskan usus, pundi kencing dan fungsi seksual anda.

    Apakah cara merawat peranakan jatuh?

    tanda peranakan jatuh
    Rawatan untuk rahim jatuh.

    Setiap masalah yang dialami pasti ada jalan penyelesaiannya. Terdapat beberapa tip yang anda boleh lakukan untuk mengelak kemunculan tanda peranakan jatuh.

    Antara cara merawat peranakan jatuh yang berkesan adalah:

  • Kekalkan berat badan yang sihat dan kerap bersenam
  • Lakukan senaman Kegel untuk menguatkan otot lantai pelvis anda
  • Gunakan teknik mengangkat yang betul semasa membawa barang yang berat
  • Jika mengalami sembelit, elakkan meneran ketika membuang air besar
  • Bagaimana pula rawatan rahim jatuh di hospital?

    Rawatan pembedahan mungkin diperlukan untuk membaiki prolaps rahim. Berikut merupakan dua cara merawat peranakan jatuh secara pembedahan:

    • Histerektomi dan pembaikan prolaps – Doktor akan membuang uterus daripada tubuh anda. Pembedahan ini tidak disarankan untuk mereka yang merancang untuk memiliki anak
    • Pembaikan prolaps tanpa histerektomi – Meletakkan uterus kembali pada tempat asalnya dengan cara mencantumkan ligamen pelvis atau dengan menggunakan alat pembedahan

    Tip mengangkat berat yang betul untuk mengelakkan rahim jatuh

    punca rahim jatuh
    Cara mengangkat barang berat yang betul.

    Mengangkat barang-barang yang berat bukanlah penyebab utama kepada berlakunya rahim jatuh atau peranakan jatuh peringkat awal.

    Namun, ia boleh meningkatkan tekanan pada intraabdomen sekali gus menyebabkan kebocoran pada organ pelvis anda.

    Jadi, teknik mengangkat barang berat yang betul adalah sangat penting bagi mengelakkan risiko rahim anda jatuh daripada kedudukan asalnya.

    Otot dan ligamen lantai pelvis yang kuat adalah sangat penting bagi mengelakkan rahim jatuh daripada berlaku.

    Terdapat beberapa tip untuk mengangkat objek berat yang boleh anda cuba seperti yang berikut:

    • Jangan mengangkat barang yang terlalu berat seorang diri. Dapatkan bantuan daripada orang lain
    • Elakkan daripada mengangkat objek berat melebihi paras pinggang
    • Pastikan anda mempunyai tapak yang kukuh dan stabil sebelum mula mengangkat barang
    • Semasa mengangkat barang, pastikan tangan anda lurus dan siku berkedudukan ke dalam
    • Kekalkan cengkaman semasa mengangkat beban tersebut
    • Jangan berpusing semasa mengangkat beban, sebaliknya gunakan kaki anda sahaja untuk berpusing bagi mengelakkan kecederaan pada tulang belakang anda

    Kesimpulannya, anda dinasihati untuk sentiasa mengekalkan gaya hidup yang sihat dan kurangkan daripada melakukan aktiviti yang berat bagi mengelakkan kemunculan tanda peranakan jatuh.

    Dapatkan bantuan suami atau orang lain apabila anda perlu untuk mengangkat beban yang berat.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Annes Nadia · Disemak pada 22/01/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan