Tidak dinafikan, memang sukar mengumpul dan menyimpan duit untuk berkahwin. Segala usaha anda bertahun lamanya, mungkin akan lebur dalam masa beberapa hari sahaja.
Selepas berkahwin pula, tidak bermakna suami isteri sudah selamat. Kalian masih perlu menabung duit untuk kegunaan kehidupan sekeluarga.
Persoalannya, bagaimana untuk memastikan anda dan pasangan tidak kering bila tiba tengah bulan? Tenang, ini tip menabung yang suami isteri wajib amalkan!
Pancaroba alam perkahwinan
Dalam era ekonomi tidak menentu di negara kita ini, sudah pasti kehidupan akan menjadi agak mencabar lebih-lebih lagi buat individu yang sudah berkahwin.
Manakan tidak, semua harga barang dapur, minyak petrol dan macam-macam lagi kos kehidupan sudah mencanak naik kini.
Bukan itu sahaja, cuba bayangkan apabila kalian sudah mempunyai anak kelak.
Seperti yang kita ketahui, kos penjagaan seorang anak di Malaysia sahaja sudah mahal. Disebabkan itu, simpanan kewangan adalah sangat penting untuk memastikan kalian lebih bersedia apabila tiba waktu sebegini.
Tip menabung duit untuk suami isteri
Jadi, tolong jangan membazir dan sila menabung duit kalian untuk kegunaan masa hadapan kelak.
Berikut adalah tip menabung duit yang anda dan pasangan boleh ikuti:
#1. Bersikap terbuka antara satu sama lain
Pertama sekali, setiap suami isteri perlu bersikap terbuka antara satu sama lain yakni tidak menyimpan sebarang rahsia. Bukan sahaja ia tertakhluk kepada urusan rumah tangga, sebaliknya isu kewangan juga.
Sebagai contoh, adalah tidak adil jika anda sebagai suami menyorokkan masalah berkaitan kewangan yang anda hadapi daripada isteri semata-mata kerana berasa malu dan tidak mahu menyusahkan pasangan.
Ini adalah perkara yang tidak seharusnya terjadi. Sebaiknya, bersikap terbuka adalah lebih baik kerana ia mampu membuat kalian bersama-sama memikirkan penyelesaian kepada masalah anda berdua.
Kerjasama ini amatlah diperlukan lebih-lebih lagi jika kalian sama-sama bekerja dan mempunyai pendapatan tetap masing-masing.
Sekiranya suami mempunyai masalah, isteri boleh membantu dan begitulah sebaliknya.
Begitulah juga halnya dalam menabung duit bulanan. Sekiranya salah seorang daripada anda tidak mampu memberikan komitmen pada bulan ini, maka pasangan seorang lagi boleh menghulurkan pertolongan atau pertimbangan.
Jadi, usah berahsia bersama pasangan anda ya?
#2. Rangka perbelanjaan dan cuba menabung walaupun sedikit
Perbelanjaan sebelum dan selepas berkahwin pasti sangat berbeza bukan? Manakan tidak, kini sudah ada 2 perut yang harus anda fikir untuk diisi.
Ini belum lagi termasuk dalam hal penyelenggaraan rumah tangga seperti bil elektrik, air, sewa rumah, internet dan lain-lain yang perlu dibayar setiap bulan.
Oleh itu, sila susun dan rancang perbelanjaan isi rumah kalian secara lebih teratur dan sistematik. Anda boleh merangka perbelanjaan ini dengan memisahkan ia secara harian, mingguan atau bulanan.
Paling penting, tolong utamakan keperluan daripada kemahuan kalian. Selain itu juga, anda dan pasangan seharusnya tidak lupa untuk menabung walaupun dalam jumlah yang sedikit.
#3. Tentukan peranan anda dan pasangan
Seperti sudah menjadi lumrah alam perkahwinan, isteri selalu sahaja menjadi ‘akauntan’ dalam rumah tangga. Namun, ini tidak sewajarnya diamalkan oleh kalian.
Apa kata anda berdua memainkan peranan untuk mengendalikan kewangan masing-masing?
Sebagai contoh, suami boleh memegang portfolio sebagai akauntan untuk segala bil-bil rumah anda manakala isteri pula boleh bertindak sebagai akauntan untuk urusan dapur dan lain-lain.
Dengan ini, sudah pasti kerjasama anda dan pasangan dapat diperkuatkan!
Dalam pada itu, peranan sebegini mampu membuat kalian menstruktur kewangan dengan lebih baik lagi. Lebihan yang terkumpul pula, boleh dijadikan tabungan pada masa hadapan.
#4. Catat, catat dan catat perbelanjaan kalian!
Seterusnya, tip menabung ini adalah agak penting. Pasangan suami isteri, sila catat setiap perbelanjaan kalian untuk melihat aliran duit masuk, duit keluar dan tabungan yang terkumpul.
Sebaiknya, setiap perbelanjaan perlu dicatatkan meskipun jumlahnya hanya 10 ringgit ke bawah, untuk memastikan tiada perkara yang anda terlepas pandang.
Cara ini sangat penting untuk dilakukan kerana ia dapat melatih anda agar lebih disiplin dalam hal pengelolaan duit.
Dengan cara ini, kemungkinan untuk anda menabung lebih cepat dan banyak akan berjaya direalisasikan!
#5. Pelihara pancaindera anda
Siapa sahaja yang tidak mudah tergoda dengan perkataan ‘sale’ bukan? Pantang ada jualan murah, tentu sahaja bajet bulanan kita akan terganggu lantas menjejaskan usaha untuk menabung.
Disebabkan itu, sila pelihara pancaindera anda dengan memelihara mata dan telinga anda dari perkataan sebegini.
Ketahuilah bahawa itu semua hanyalah kemahuan dan bukannya keperluan,
Cuba anda fikirkan sejenak. Bukankah lebih baik jika anda menyimpan dan mengumpul duit lebihan anda dari gaji setiap bulan sebagai tabungan untuk masa hadapan kelak?
Duit bukan segalanya tapi segalanya perlu duit
Kesimpulannya, ketahuilah bahawa duit bukan segalanya tapi segalanya perlu duit.
Oleh itu, anda dan pasangan perlu menabung duit dari sekarang lagi untuk mengelakkan sebarang masalah pada masa hadapan.
Jadi, suami isteri sila gunakan tip menabung berikut ya? Semoga bermanfaat!
Baca juga:
- Pemasangan Car Seat, Anda Masih Ada Masa untuk Menabung
- 5 Tanda Anda & Pasangan SUDAH Bersedia Untuk Kahwin, No #4 Paling Penting!
- 4 Tanda Anda Dah Sedia Untuk Kahwin Pada Usia Awal 20-an!
- Pasangan Bercinta, Nilai 5 Aspek Kahwin Muda Ini Terlebih Dahulu!
[embed-health-tool-ovulation]