Setelah memutuskan untuk mencari bantuan untuk masalah kesihatan mental yang anda hadapi, menentukan pakar kesihatan yang perlu anda pilih sama ada pakar psikiatri dan psikologi untuk rawatan boleh menjadi keputusan yang sukar.
Ahli Psikiatri vs Ahli Psikologi
Keputusan untuk menjalankan rawatan berasaskan ubat sahaja atau digabungkan dengan rawatan lain memerlukan pakar perubatan seperti ahli psikiatri. Ahli psikiatri adalah doktor perubatan yang membuat pengkhususan dalam bidang psikiatri. Mereka terlibat dalam rawatan dan preskripsi ubat bagi pesakit. Latar belakang perubatan ahli psikiatri dan psikologi membolehkan mereka mengenal pasti risiko dan manfaat ubat-ubatan yang ditetapkan kepada anda.
Sebaliknya, seorang ahli psikologi boleh menjadi antara pilihan pertama anda ketika mencari terapi atau kaunseling, kerana hanya sebilangan ahli psikiatri menawarkan terapi. Ahli psikologi mempunyai kelulusan pascasiswazah dan latihan dalam psikologi. Mereka menumpukan perhatian secara meluas pada psikoterapi dan layak menjalankan ujian psikologi, yang penting dalam menilai keadaan mental seseorang dan menentukan cara rawatan yang paling berkesan.
Pun begitu, ahli psikiatri dan psikologi sering bekerjasama untuk kebaikan anda. Selepas meminta surat rujukan daripada doktor biasa, anda mungkin akan menjalani sesi dengan ahli psikologi. Ahli psikologi tersebut boleh merujuk anda kepada pakar psikiatri yang boleh menetapkan dan memantau ubat.
Bagaimana Memilih Antara Psikiatri dan Psikologi?
Selain menentukan jenis rawatan yang ingin anda lalui, terdapat beberapa faktor penting yang perlu anda berikan perhatian:
1) Apakah masalah yang perlu dirawat?
Untuk mengenalpasti pendekatan rawatan yang terbaik, anda perlu menjalani penilaian menyeluruh sebelum memulakan rawaatan. Penilaian diagnostik ini membantu ahli psikiatri dan psikologi mengenalpasti masalah anda.
2) Apakah rawatan terbaik?
Ini adalah soalan yang rumit. Untuk beberapa masalah, ubat mungkin rawatan terbaik, sementara untuk yang lain, gabungan ubat dan terapi mungkin lebih baik. Namun, dalam keadaan tertentu, terapi atau kaunseling mungkin pilihan yang baik, bahkan lebih baik daripada ubat.
Contohnya, sebahagian besar bukti saintifik menunjukkan penggunaan ubat-ubatan untuk keadaan seperti Kecelaruan Bipolar, Skizofrenia dan Attention Deficit / Hyperactivity Disorder (ADHD) berkesan merawat simptom-simptom utama daripada keadaan ini.
Bagi kanak-kanak, remaja, dan orang dewasa yang mempunyai ADHD dan mengalami keresahan atau kesulitan mengawal kemarahan, kombinasi ubat dan terapi tingkah laku mungkin terbaik.
Untuk kemurungan, beberapa ubat telah menunjukkan keberkesanan dalam mengurangkan simptom. Psikoterapi dan kaunseling juga menunjukkan keberkesanan yang baik sepertimana ubat.
Namun tiada jawapan yang tepat untuk keadaan mental semua orang, semuanya bergantung kepada individu.
3) Bilakah saya dapat merasai kesan rawatan?
Ini adalah soalan penting untuk anda tanyakan kepada pakar kesihatan anda. Sesetengah ubat mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk mencapai keberkesanan. Sementara terapi dan kaunseling mungkin memakan masa lebih lama, dan seseorang biasanya perlu meluangkan masa untuk berjumpa ahli psikologi sekurang-kurangnya seminggu sekali.
4) Apa yang perlu saya lakukan jika rawatan seperti tidak berkesan?
Pertama, bercakap dengan pakar kesihatan anda- anda mungkin perlu melakukan beberapa ubah suai berkaitan rawatan anda. Jangan mudah memutuskan tidak suka kepada pendekatan pakar tertentu atau kaedah tertentu, dan berhenti mencari rawatan.
Sebaliknya, mulakan rawatan dengan ahli terapi yang lain, atau menukar kaedah rawatan. Rawatan untuk masalah kesihatan mental bukanlah sama untuk semua orang.
Tanpa mengira mereka adalah pakar psikiatri dan psikologi, yang penting, dalam mendapatkan sokongan dari mana-mana jenis profesional, pastikan mereka merupakan pakar yang berlesen dan terlatih.