Sudah menjadi kebiasaan ibu bapa membandingkan anak dengan kanak-kanak lain, bukan? Tapi tanpa sedar, perbuatan itu sebenarnya boleh mengganggu emosi anak.
Apakah peranan ibu bapa dalam mengatasi situasi sebegitu?
Kesan perbandingan kepada emosi anak
Setiap ibu bapa pasti mengimpikan untuk melihat anaknya berjaya mencapai kejayaan dalam semua aspek kehidupan.
Sesetengah ibu bapa mungkin berasakan perbandingan yang dilakukan itu mungkin akan meningkatkan lagi keinginan anak untuk berjaya.
Hakikatnya, membandingkan anak dengan individu lain bukanlah cara terbaik membantu mereka memperoleh kejayaan.
Sebaliknya, ia lebih banyak mendatangkan kesan negatif terutamanya melibatkan keyakinan diri dan emosi anak.
Jadi bagaimanakah peranan ibu bapa yang sebenarnya dalam memotivasikan anak untuk lebih berjaya?
Fahami peranan ibu bapa yang utama
Sebagai ibu bapa, pastinya anda berasakan tidak salah untuk membuat perbandingan, kerana ia adakalanya mendatangkan sifat persaingan yang positif untuk lebih berdaya saing.
Ia dianggap sebagai cara yang tepat bagi menunjukkan potensi dan kemampuan terpendam dalam diri anak.
Pun begitu, sebelum membandingkan anak dengan adik-beradiknya sendiri mahupun dengan kanak-kanak lain, ada beberapa perkara perlu dititikberatkan dalam memainkan peranan ibu bapa.
Ini kerana perbandingan bukanlah satu-satunya cara untuk mendorong anak menampilkan prestasi terbaiknya. Bahkan, jika salah caranya ia boleh menjejaskan emosi anak.
Berikut adalah 3 perkara yang perlu ibu bapa fahami:
#1 Anak miliki keunikan tersendiri
Setiap individu dilahirkan berbeza, kan? Waima, anak kembar sekalipun mempunyai keperibadian yang tersendiri.
Begitu jugalah anak anda. Mereka mempunyai keunikan dan cara pemikiran yang tersendiri.
Benarkan mereka untuk berfikir secara kritis dan membuat keputusan sendiri, tetapi dalam masa yang sama bimbing mereka untuk berada pada landasan yang betul.
#2 Anak bukan objek
Anak tidak sepatutnya dianggap sebagai objek mahupun aksesori untuk mempamerkan rasa bangga dalam lingkaran sosial ibu bapa.
Dengan membuat perbandingan, anda telah menetapkan sasaran yang tidak realistik tanpa melihat tahap kemampuan si kecil.
Ini juga dianggap cara ibu bapa mengeksploitasi anak untuk kepuasan anda sendiri sekali gus menyebabkan kekecewaan pada emosi anak dan merosakkan kehidupan mereka.
#3 Pendidikan adalah hak anak
Sekiranya anda mampu menempatkan anak di sekolah yang baik dan mahal, ia bukan sebagai bantuan yang perlu dibalas oleh anak.
Sebaliknya, pendidikan merupakan hak anak dan ia adalah tanggungjawab ibu bapa untuk menyekolahkan anak.
Tujuan utama pendidikan diberikan adalah untuk anak menjadi individu bertanggungjawab dan berdikari.
Kesan negatif perbandingan kepada emosi anak
Adakalanya, tanpa sedar anda telah membandingkan anak dengan kanak-kanak lain dan menganggap ia bukanlah 1 isu besar.
Walaupun anak mungkin tampak seperti tidak kisah dengan perbandingan yang dibuat tetapi kesannya mungkin tidak dapat dilihat daripada pandangan mata kasar manusia.
Sebaliknya ia mengakibatkan kesan negatif melibatkan mental dan emosi anak, seperti:
- Wujudkan persaingan adik-beradik
Jika anda sebagai ibu bapa membandingkan anak dengan adik-beradiknya, ia mungkin menyebabkan persaingan tidak sihat.
Lebih membimbangkan sekiranya wujud rasa dendam dan sikap agresif antara mereka.
- Mula menjauhkan diri
Apabila anak sering dibandingkan dengan kanak-kanak lain, kaum keluarga mahupun adik-beradiknya sendiri pastinya mereka akan berasa tergugat.
Lama-kelamaan anak akan mula menjauhkan diri daripada anda dan ahli keluarganya. Ia menyebabkan wujudnya masalah tingkah laku atau menjejaskan perkembangan mereka apabila dewasa nanti.
- Menyekat bakat
Sekiranya anak mula merasakan diri tidak dihargai apabila sering dibandingkan dengan individu lain, ia boleh mengakibatkan bakat anak tidak dapat berkembang dengan sebaiknya.
Akhirnya, ia hilang begitu saja.
- Cenderung wujudkan rasa tidak peduli
Apabila mereka mula menyedari bahawa ada individu lain lebih dihargai orang tuanya, sudah tentu boleh menjejaskan emosi anak.
Pada akhirnya, anak mungkin berasa tidak diendahkan dan tidak akan berusaha untuk membanggakan anda.
- Elak interaksi sosial
Anda mungkin menganggap perbandingan yang dilakukan sebagai kata-kata pembakar semangat. Sebaliknya bagi si anak, ia seperti ejekan dan sindiran yang sering diulang-ulang.
Apabila sering berdepan situasi itu, anak akan mengelakkan interaksi sosial dengan individu di sekeliling.
- Mengurangkan keyakinan diri
Jika sebelum ini, mereka adalah anak yang periang dan berani mencuba apa sahaja, tetapi sikap tersebut mungkin akan hilang kerana telah wujud kepercayaan bahawa mereka tidak dapat melakukan apa pun dengan baik.
- Memusnahkan harga diri
Tumbesaran anak dari sudut mental dan emosi mungkin terjejas apabila si anak mula mempercayai tidak mampu memberikan prestasi yang baik.
Lebih malang lagi apabila terpahat dalam minda mereka bahawa walau apa pun yang dilakukan, ia tetap tidak akan mampu mencapai jangkaan ibu bapanya.
Elakkan beri tekanan pada anak
Semua ibu bapa mahu melihat anaknya berjaya. Tetapi kritikan yang berunsur negatif, ejekan dan sindiran hanya faktor yang akan menyekat tumbesaran dan perkembangan anak.
Peranan ibu bapa adalah untuk memberikan motivasi kepada anak dan bukannya membuat mereka berasa terbeban.
[embed-health-tool-ovulation]