backup og meta

Ini Mungkin Sebab Kita Suka Membazir Makanan! Elak Pembaziran Dengan 5 Tip Ini

Ini Mungkin Sebab Kita Suka Membazir Makanan! Elak Pembaziran Dengan 5 Tip Ini

Tahukah anda, masalah pembaziran makanan adalah lebih besar daripada yang disangka oleh orang ramai.

Hampir satu pertiga daripada semua makanan yang dihasilkan di dunia dibuang atau dibazirkan dengan pelbagai alasan.

Membuang makanan yang masih boleh dimakan bukan hanya membazir wang.

Malahan juga, makanan yang dibuang akan dihantar ke tempat pembuangan sampah, di mana ia akan membusuk dan menghasilkan gas metana, paling kuat daripada kelompok gas rumah hijau.

Dengan kata lain, pembaziran makanan anda akan menyumbang kepada perubahan iklim.

Justeru, apa yang boleh anda lakukan sebagai pengguna untuk mengurangkan kesan pembaziran makanan ini?

Sempena Hari Makanan Sedunia pada 16 Oktober ini, kami bawakan mengenai topik bagaimana untuk mengelakkan pembaziran makanan agar dunia tidak terkesan dengan akibatnya.

Ikuti artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut ya!

Usaha-usaha untuk mengurangkan pembaziran makanan

1. Beli dengan bijak

Kebanyakan orang cenderung membeli lebih banyak makanan daripada yang mereka perlukan.

Walaupun membeli barangan runcit dalam jumlah besar mungkin lebih mudah, namun penyelidikan menunjukkan kaedah membeli-belah sebegini menyumbang kepada peningkatan pembaziran makanan.

Untuk mengelakkan membeli lebih banyak makanan daripada yang diperlukan, keraplah berkunjung ke kedai runcit setiap beberapa hari. Elakkan juga daripada melakukan pembelian pukal seminggu atau sebulan sekali.

Selain itu, pastikan anda menghabiskan kesemua barangan terutamanya bahan mentah terlebih dahulu sebelum melakukan pembelian yang seterusnya.

Di samping itu juga, buat senarai barangan yang perlu dibeli dan ikuti senarai tersebut. Ini akan membantu anda mengurangkan nafsu membeli dan juga mengurangkan pembaziran makanan.

2. Simpan makanan dengan betul

Penyimpanan barangan basah yang tidak betul akan menyebabkan masalah pembaziran makanan.

Ramai orang tidak pasti cara menyimpan buah-buahan dan sayur-sayuran yang betul, menyebabkannya mudah rosak dan busuk.

Contohnya, kentang, tomato, bawang putih, timun dan bawang tidak boleh disejukkan. Bahan-bahan ini harus disimpan pada suhu bilik.

Mengasingkan makanan yang menghasilkan lebih banyak gas etilena daripada yang bukan merupakan cara terbaik untuk mengurangkan kerosakan makanan.

Gas ini akan mendorong makanan lebih cepat matang dan boleh menyebabkan kerosakan.

Makanan yang menghasilkan gas etilena termasuk:

  • Pisang
  • Avocado
  • Tomato
  • Buah pir
  • Bawang hijau

Tip untuk menyimpannya, jauhkan makanan ini daripada produk sensitif terhadap gas etilena seperti kentang, epal, sayur-sayuran berdaun, beri dan lada untuk mengelakkan kerosakan awal.

3. Belajar kaedah simpan makanan tahan lama

cara menguatkan rahim

Walaupun anda mungkin anggap proses penapaian dan pengawetan adalah kaedah baharu, namun teknik pengawetan makanan ini telahpun digunakan selama ribuan tahun.

Pickling, sejenis kaedah pengawetan menggunakan air garam atau cuka, telah digunakan sejak tahun 2400 SM.

Pengawetan, pengeringan, penapaian, pembekuan dan banyak lagi adalah kaedah yang boleh anda gunakan untuk menjadikan makanan tahan lebih lama.

4. Kisar makanan anda

Menggabungkan makanan tertentu untuk menghasilkan smoothie yang mengandungi nutrien boleh menjadi kaedah yang baik untuk mengurangkan masalah pembaziran makanan.

Sebagai contoh, jika anda seseorang yang tidak menggemari kulit buah epal, menambahkannya ke dalam smoothie adalah cara terbaik untuk memperoleh faedahnya.

Di samping itu, anda juga boleh memasukkan mana-mana lebihan sayuran ke dalamnya  dan menambahkan kandungan zat serta nutrisi minuman tersebut.

Dengan cara ini, anda akan dapat guna pakai kesemua bahan-bahan lebihan di dapur anda dan menjadikannya sesuatu yang bermanfaat buat kesihatan selain mengurangkan potensi masalah pembaziran.

5. Fahami tarikh luput

roti

‘Baik sebelum’ atau ‘dijual sebelum’ adalah 2 istilah yang mengelirukan pada label makanan. Ia dibuat untuk memaklumkan pengguna tempoh masa sesuatu makanan untuk menjadi buruk.

Sebenarnya, makanan yang tidak memerlukan penyejukan untuk tahan lama seperti bijirin, makanan kering dan makanan dalam tin masih boleh dimakan walaupun tarikhnya telah tamat.

Tetapi bagi makanan berasaskan daging, tenusu dan telur, ia sudah tidak selamat.

Cara terbaik untuk mengenal pasti sekiranya sesuatu produk makanan itu masih selamat atau tidak adalah dengan menggunakan deria bau dan rasa anda.

Pada kebiasaannya, makanan yang telah tamat tempoh akan mengandungi kulat, bakteria dan yis, yang menyebabkannya memberikan isyarat amaran kepada deria bau dan rasa anda.

Makanan yang telah rosak akan mempunyai tekstur, warna, bau dan rasa yang berbeza.

Berikut merupakan antara anggaran cadangan tempoh untuk sesuatu makanan selamat dimakan walaupun tarikh yang dinyatakan telah tamat:

  • Makanan dalam tin: Kebanyakan makanan dalam tin boleh bertahan antara 1 hingga 4 tahun. Sekiranya anda menyimpannya di dalam tempat yang sejuk dan gelap, tempoh luputnya boleh bertambah antara 3 hingga 6 tahun lagi.
  • Makanan sejuk beku: Tempohnya lebih kurang sama sebagaimana makanan dalam tin kecuali daging.
  • Telur: Letakkan telur di dalam air. Sekiranya ia terapung, ini bermakna jumlah bakteria adalah tinggi dan tidak selamat dimakan. Bakteria telah menghasilkan gas di dalam telur yang menyebabkan telur tersebut terapung.
  • Pasta atau mi kering: Makanan kering seperti ini amat sukar untuk rosak kerana tidak terdapat kandungan air. Anda boleh menggunakannya selagi mana ia tidak mempunyai bau yang pelik.
  • Roti: Anda boleh menyimpannya lebih lama daripada tarikh yang tertera sekiranya disimpan dalam peti sejuk. Selagi mana kulat tidak kelihatan tumbuh, ia masih selamat dimakan.

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. https://www.betterhealth.vic.gov.au/health/healthyliving/food-safety-and-storage
  2. http://citeseerx.ist.psu.edu/viewdoc/download?doi=10.1.1.360.951&rep=rep1&type=pdf
  3. https://www.epa.gov/recycle/reducing-wasted-food-home
  4. https://www.fda.gov/food/consumers/tips-reduce-food-waste

Versi Terbaru

19/08/2022

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Daging, Adakah Baik untuk Kesihatan?

Resipi Smoothie yang Mengenyangkan


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 19/08/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan