Mengalami tekanan selepas daripada peristiwa berat seperti kemalangan, kematian atau peperangan adalah tindak balas emosi yang normal. Namun, jika ia berpanjangan sehingga mengganggu kehidupan seseorang, ia mungkin disebabkan oleh keadaan kesihatan tertentu.
PTSD iaitu post-traumatic stress disorder atau gangguan tekanan selepas trauma adalah satu keadaan mental yang dirangsang oleh peristiwa yang berat atau mengerikan, sama ada berlaku dalam bentuk penyaksian atau berita.
Mengenali tanda dan simptom PTSD
Tanda dan simptom mungkin boleh dilihat dalam tempoh sebulan selepas peristiwa terbabit. Kadangkala, ia boleh berlaku selepas bertahun-tahun. Ia mengganggu aktiviti kerja dan sosial serta hubungan.
Simptom adalah berbeza-beza mengikut individu. Secara amnya boleh dibahagiakan kepada 4: memori yang mengganggu, penghindaran, perubahan negatif pada mod dan fikiran serta perubahan pada tindak balas fizikal dan emosi.
1. Memori yang mengganggu
Memori tentang peristiwa terbabit terus menghantui fikiran. Ia seolah-olah hidup semula dan mungkin hadir di dalam mimpi.
2. Penghindaran
Pesakit cuba mengelakkan diri daripada berfikir atau bercakap tentang peristiwa tersebut. Tempat, aktiviti dan orang yang boleh mengingatkan peristiwa tersebut turut dihindari.
3. Perubahan negatif pada mod dan fikiran
Berfikiran negatif terhadap diri sendiri, orang lain dan dunia serta hilang harapan untuk meneruskan hidup. Masalah memori juga mungkin berlaku. Selain itu, pesakit juga menghadapi masalah dalam hubungan dan hilang minat melakukan aktiviti yang dilakukan sebelumnya.
4. Perubahan pada tindak balas fizikal dan emosi
Mudah marah, takut dan lebih agresif. Selain itu, masalah tidur dan susah memberikan fokus juga mungkin dihadapi.
Bantu kenalan anda jika disyaki PTSD
Jika ada ahli keluarga atau kenalan anda, atau anda sendiri menghadapi mana-mana simptom seperti yang disebutkan di atas, bantu mereka dan diri anda untuk dapatkan bantuan perubatan. Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi lebih buruk.
Banyak rawatan yang tersedia di hospital. Jika simptom yang dialami adalah ringan, mungkin tiada rawatan diperlukan. Bagi kes yang lebih serius, terapi psikologi atau terapi kognitif tingkah laku (CBT) boleh membantu.
Dalam sesetengah kes, ubat antidepresi dipreskrip. Gabungan antara CBT dan antidepresi mungkin boleh memberikan hasil yang memberansangkan.
Baca juga:
- “Dia Itu Gila!” – Stigma yang Perlu Dibuang
- Rasa Takut dan Berdebar Secara Tiba-Tiba – Anda Mungkin Mengalami Serangan Panik