Kenapa anda benci hari isnin?
Menurut kaji selidik yang dijalankan oleh laman web Gallup pada tahun 2015, hanya 32% pekerja di Amerika Syarikat yang betul-betul memberikan komitmen terhadap kerja masing-masing. Penerangannya cukup mudah, jika anda tidak suka kerja yang anda buat sekarang, anda akan mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk mengalami fenomena psikologi Monday Blues. Jika setiap hari anda merasakan perasaan yang sama, lebih baik anda membuat pertimbangan sama ada hendak mencari kerja yang anda suka atau terus bekerja dalam bidang anda sekarang.
Namun adakah Monday Blues hanya mempengaruhi mereka yang tidak suka pada kerja mereka sahaja? Kajian oleh pengeluar makanan Marmite di United Kingdom telah mendapati bahawa mereka yang berusia di antara 45 hingga 54 tahun sering menjadi mangsa kepada fenomena ini. Fenomena Monday Blues ini mempunyai presentasi yang pelbagai bergantung kepada individu yang terlibat. Ada yang lambat tiba di pejabat, ada yang menjadi kurang produktif sepanjang hari dan ada juga yang hanya mula tersenyum seawal 11.16 pagi. Ia menunjukkan kesan psikologi tempoh peralihan hari cuti kepada hari bekerja terhadap tahap produktiviti pekerja.
Sekejap. Bagaimana pula dengan mereka yang cuti pada hari Jumaat dan Sabtu seperti mereka yang bekerja di Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu? Tiada bezanya. Menurut satu kajian yang diterbitkan di Journal of Positive Psychology pada tahun 2012, dapatan perubahan mood individu pada hari Isnin sehingga Khamis tidak menunjukkan kesan yang ketara. Perubahan mood yang signifikan hanya dapat disaksikan sehari sebelum tiba cuti hari minggu. Ada juga kajian yang dijalankan oleh universiti berbeza yang menunjukkan fenomena Monday Blues lebih ketara pada hari selain daripada hari Isnin. Senang cerita, jika esok kerja, atau esok kerja bertimbun, maka ber ‘Monday Blues’ lah kita.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen