Pernahkah anda merasakan bahawa tiada yang dapat anda lakukan untuk mengatasi tekanan? Walau bagaimanapun, anda sebenarnya mempunyai banyak pilihan untuk mengawal dan atasi tekanan yang anda hadapi lebih dari apa yang anda sangkakan.
Seni pengurusan tekanan adalah mengenai bagaimana untuk mengawal pemikiran, gaya hidup, emosi dan cara anda menyelesaikan masalah. Ini membuktikan terdapat pelbagai langkah dan cara yang boleh anda ambil untuk melegakan tekanan serta dapat kembali mengawal hidup anda walau sesukar mana kehidupan anda.
Tekanan berlaku apabila anda merasakan bebanan yang anda hadapi melebihi keupayaan anda untuk menyelesaikannya. Ada tekanan yang baik, di mana ia merangsang anda untuk melakukan yang terbaik seperti peperiksaan atau tarikh akhir kerja.
Namun, terdapat tekanan kritikal yang boleh menyebabkan impak negatif terhadap kesihatan anda. Ia boleh menjejaskan neuroendokrin, sistem imun, kardiovaskular, dan sistem saraf pusat.
Berikut adalah 5 cara untuk menguruskan tekanan dengan cara yang sihat berdasarkan kajian psikologi, yang dapat membantu mengurangkan tekanan sama ada untuk jangka masa pendek atau panjang.
Ambil masa berehat
Apabila anda membenarkan diri anda untuk keluar dari perkara yang mendatangkan tekanan kepada anda, anda akan mempunyai masa untuk melakukan perkara lain. Ini akan membantu anda memperolehi kemahiran yang baru atau mengurangkan rasa dibelenggu tekanan. Hanya sekurang-kurangnya 20 minit sahaja diperlukan untuk diri anda.
Bersenam
Manfaat daripada rutin bersenam sememangnya tidak boleh disangkal. Hanya 20 minit untuk berjalan, berlari, yoga ketika situasi tegang boleh memberikan kesan segera yang bertahan selama beberapa jam.
Senyum dan ketawa
Sistem saraf saling berkaitan dengan emosi dan ekspresi wajah. Jadi, apabila seseorang individu menghadapi tekanan, ia akan kelihatan pada raut wajah. Senyum dan ketawa akan dapat membantu mengurangkan tekanan dan menyelesaikan masalah.
Sokongan sosial
Hubungi rakan, atau dapatkan bantuan pakar psikologi. Berkongsi tentang perkara yang membuatkan anda tertekan dengan individu lain dapat membantu mengurangkan tekanan. Walau bagaimanapun, anda harus mencari dan berkongsi dengan individu yang anda percayai.
Meditasi
Kesedaran minda dapat membantu fikiran dan tubuh untuk berehat dan kekal fokus. Ia juga dapat membantu mewujudkan ruang antara pemikiran dan tingkah laku supaya anda dapat mengelakkan dari melakukan sesuatu perkara yang tidak mendatangkan faedah dan tidak produktif.
Apabila berada dalam kesedaran, individu boleh menenangkan fikiran yang mungkin telah menyebabkan tekanan secara fizikal kepada tubuh. Sama seperti bersenam, kajian menunjukkan meditasi walaupun untuk tempoh yang singkat boleh memberikan manfaat segera.
Apa yang menyebabkan tekanan kepada seseorang individu mungkin tidak akan menyebabkan tekanan kepada individu lain. Dengan mencari dan mencuba sesuatu yang positif dan sihat untuk menguruskan tekanan yang dihadapi, banyak impak negatif terhadap kesihatan akan dapat dikurangkan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.