Anda pasti pernah menghadapi situasi di mana anda ditegur oleh seseorang yang mengenali anda sedangkan anda langsung tidak dapat mengingati namanya. Barangkali anda cuma menghadapi situasi kekok tersebut beberapa kali disebabkan ingatan anda yang kurang memberangsangkan tetapi tidak bagi penghidap prospagnosia. Kegagalan mengenal pasti individu berdasarkan wajah merupakan perkara biasa yang dihadapi mereka.
Prosopagnosia adalah ketidakmampuan untuk mengenali wajah seseorang. Orang dengan prosopagnosia dapat mengetahui bentuk wajah dan boleh mengenal pasti setiap bahagian dari wajah (hidung, mulut, dll). Namun, mereka tidak dapat memberi tahu anda milik siapa wajah tersebut. Sebagaimana penghidap disleksia mempunyai kesukaran membaca huruf, penghidap prospagnosia mengalami kesukaran ‘membaca’ wajah.
Menurut laporan pengkaji di Pusat Kajian Prosopagnosia di Universiti Harvard dan Universiti College London, kemungkinan 2 peratus masyarakat umum mungkin memiliki prosopagnosia. Pelakon terkenal Hollywood, Brad Pitt juga dikatakan menghidap prospagnosia. Dalam temu bual bersama majalah Esquire, beliau menceritakan bagaimana orang lain selalu menganggapnya sombong dan angkuh kerana tidak mengenali individu yang pernah ditemuinya. Mempunyai teman rapat yang sedikit, beliau juga dikatakan lebih gemar duduk di rumah berbanding menghadiri acara sosial.
Buta wajah sejak lahir vs setelah dewasa
Prosopagnosia mungkin berlaku sejak kecil lagi (disebut developmental prosopagnosia). Individu dengan keadaan ini sering kali tidak menyedari keadaannya hingga mereka sudah berusia. Buta wajah yang berlaku sejak lahir dipercayai boleh diwarisi kerana didapati boleh menjejaskan lebih daripada seorang dalam satu keluarga.
Prosopagnosia sejak lahir juga didapati berlaku pada anak autisme. Anak-anak dengan gangguan ini mengalami gangguan perkembangan sosial, dan prosopagnosia mungkin menyebabkan atau menyumbang kepada kesulitan mereka untuk berhubungan dengan orang lain.
Prosopagnosia setelah dewasa pula boleh berlaku setelah gangguan otak akibat kecederaan pada kepala, strok, atau penyakit neurodegenerative. Individu dengan keadaan ini memiliki kemampuan mengenal wajah pada masa lalu, tapi kemampuan ini berkurang atau hilang akibat kecederaan otak.
Punca dan kesan prosopagnosia
Keadaan neurologi yang menyebabkan prosopagnosia belum difahami dengan baik. Satu teori menyebut bahwa keadaan ini merupakan suatu kelainan, kerosakan, atau gangguan pada bahagian tertentu otak. Ini melibatkan bahagian otak yang menyelaraskan sistem saraf yang mengawal persepsi wajah dan memori. Kajian mendapati bahawa otak memproses gambar wajah dengan cara yang berbeza berbanding ketika ia memproses gambar objek lainnya.
Prosopagnosia boleh menyebabkan kesan berikut kepada peghidapnya bergantung kepada tahap keadaan mereka daripada sederhana hingga teruk:
- Seseorang yang mempunyai prosopagnosia mungkin mengelakkan interaksi sosial dan menghidap gangguan keresahan sosial (social anxiety disorder). Mereka juga mungkin mengalami kesukaran membentuk hubungan atau mengalami masalah dengan kerjaya mereka. Episod kemurungan biasa berlaku dalam penghidap prosopagnosia.
- Sesetengah orang yang mempunyai prosopagnosia tidak dapat mengenali ekspresi wajah tertentu, menilai umur seseorang atau jantina, atau membalas tatapan seseorang. Bahkan ada yang tidak mengenali muka mereka sendiri dalam cermin atau dalam foto.
- Prosopagnosia boleh menjejaskan keupayaan seseorang untuk mengenal pasti objek, seperti tempat atau kereta. Ramai orang juga menghadapi kesukaran memandu arah. Ini boleh melibatkan ketidakupayaan untuk memproses sudut atau jarak, atau masalah mengingati tempat dan mercu tanda.
- Mengikuti plot filem atau rancangan televisyen boleh menjadi hampir mustahil bagi seseorang yang mempunyai prosopagnosia kerana sukar mengenal pasti watak.
Menangani prosopagnosia
Prosopagnosia tidak mempunyai rawatan yang khusus. Individu dengan prosopagnosia selalunya menggunakan cara lain untuk mengenal pasti orang lain. Mereka mungkin mengenali orang lain melalui suara, gaya rambut, pemakaian atau cara jalan. Mereka juga mungkin menunggu orang lain untuk memulakan perbualan supaya mereka dapat mengenalinya dengan suara.
Persekitaran di mana orang memakai pakaian serupa, seperti sekolah atau pakaian seragam, boleh menyukarkan mereka. Selain itu, pesakit mungkin gagal mengenali seseorang jika mereka telah menukar gaya rambut mereka atau memakai topi. Di sekolah, kanak-kanak dengan keadaan ini mungkin menghadapi masalah mengenali rakan dan guru. Sebagai orang dewasa, sesetengah penghidap sengaja memilih kerjaya yang tidak memerlukan interaksi sosial dan ramai yang mengelakkan situasi sosial yang mencabar.
Selalunya penghidap prosopagnosia membesar dengan menyalahkan diri mereka sendiri, kerana menyangka mereka kurang memberi tumpuan atau ingatan yang lemah. Malangnya, tafsiran seperti ini diperkukuh oleh ibu bapa dan guru, tanpa menyedari keadaan sebenar mereka. Sedangkan buta wajah sebenarnya tidak berkaitan dengan masalah ingatan, perhatian atau kebijaksanaan seseorang.