Pernahkah anda mengenali seseorang yang sukakan perhatian sepanjang masa? Individu sebegini biasanya mempunyai NPD atau narcissistic personality disorder. Apakah maksud narsistik dan bagaimana untuk mengenali individu narsisistik ini? Kami terangkan kepada anda di sini maksud narsisistik.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Mental, anda boleh klik di sini.
Apakah maksud narsistik?
Ada yang menyebut narsistik, dan ada juga yang memanggilnya sebagai narsisistik.
Sebenarnya, istilah yang tepat ialah narsisistik, bukannya narsistik.
Ketika seseorang mendengar perkataan narsisistik, ramai yang terus teringatkan kepada individu yang terlalu memikirkan diri sendiri.
Namun, adakah kita benar-benar memahami apa itu gangguan personaliti narsisistik (NPD) dan apakah ciri-cirinya?
Maksud narsistik adalah gangguan mental yang menyebabkan seseorang mempunyai imej diri yang berlebihan, obses dengan kehebatan diri dan kurang empati terhadap orang lain.
Walaupun mungkin kelihatan seolah-olah mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi, individu dengan NPD sebenarnya mungkin mempunyai harga diri yang agak rendah dan ia adalah antara kelemahan narsistik.
Mereka juga memerlukan penghargaan daripada orang lain untuk berasa lebih baik tentang diri mereka.
Tanda-tanda individu narsisistik
Setelah anda faham apakah maksud narsistik, anda juga perlu mengetahui tanda-tanda jika seseorang itu dianggap narsisistik.
Antara ciri orang narsistik ialah:
- Sentiasa ingin menjadi pusat perhatian
- Merasakan diri lebih baik berbanding orang lain
- Sukar untuk menerima kritikan
- Memiliki harapan yang tidak realistik terhadap orang lain
- Memanipulasi orang lain untuk mendapatkan apa yang diingini
- Kesukaran memahami dan menghormati perasaan orang lain
- Mengalami cemburu dengan mudah
Apakah punca yang menyebabkan narsisistik
Penyebab bagi gangguan NPD ini tidak diketahui dengan jelas.
Akan tetapi, gabungan faktor genetik, persekitaran dan pendidikan awal seseorang dipercayai menjadi faktor penyebabnya.
Pengalaman kehidupan seperti ditinggalkan semasa kanak-kanak atau kegagalan mendapatkan sokongan emosi mungkin juga mempengaruhi perkembangan NPD.
Maksud narsistik: Faktor risiko yang menyebabkannya
Walaupun tidak ada faktor risiko secara khusus yang menyebabkan narsisistik, namun beberapa situasi boleh meningkatkan kemungkinan seseorang mendapat gangguan NPD.
Antaranya termasuklah mempunyai ibu bapa yang gemar memanjakan anak sejak kecil atau diberi pujian atau kritikan berlebihan.
Selain itu, trauma ketika zaman kanak-kanak, dan masalah hubungan dengan ahli keluarga semasa remaja juga adalah antara faktor risiko narsisisme.
Diagnosis yang boleh dilakukan
NPD biasanya didiagnosis oleh pakar psikiatri atau psikologi dengan melakukan temu bual dan penilaian klinikal.
Diagnostik ini biasanya berdasarkan pada tingkah laku dan ciri-ciri yang telah dinyatakan.
Maksud narsistik: Rawatan yang tersedia
Walaupun NPD adalah salah satu gangguan personaliti yang sukar dirawat, namun terapi individual, terapi kelompok dan ubat-ubatan boleh membantu dalam mengurangkan gejala.
Rawatan bertujuan untuk membantu seseorang memahami dirinya, membangun hubungan yang sihat, dan meningkatkan harga diri sebenar.
Tip jika bertemu dengan seorang narsisistik
Ikut sahaja 5 tip di bawah ini ketika berhadapan dengan mereka yang narsisistik.
Bertemu dengan seseorang yang memiliki sifat dan maksud narsistik boleh menjadi cabaran. Interaksi mereka boleh membuat kita merasa tidak dihargai, dikritik, atau bahkan dimanipulasi.
Namun, ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk memastikan kita menjaga diri sendiri dan berinteraksi dengan cara yang positif:
- Bina batasan: Anda perlu menentukan apa yang dapat dan tidak dapat anda terima dalam perhubungan, sama ada perhubungan persahabatan, keluarga atau romantik
- Elakkan konfrontasi: Individu dengan NPD sering kali merasa terancam atau diserang jika dikritik. Elakkan memberikan kritikan langsung dan gunakan pendekatan yang lebih lembut
- Dengar tanpa mengesahkan: Anda boleh mendengar tanpa perlu bersetuju dengan pandangan atau perasaan mereka
- Jaga diri anda sendiri: Penting untuk menjaga kesejahteraan mental anda sendiri. Jika anda berasa terlalu tertekan, carilah sokongan daripada ahli keluarga, kawan atau pakar
- Pertimbangkan terapi: Jika anda mempunyai hubungan rapat dengan seseorang yang narsisistik, pertimbangkan untuk mendapatkan terapi atau kaunseling bagi mendapatkan strategi dan cara untuk menghadapinya
Menghadapi seseorang dengan NPD boleh dikatakan satu cabaran namun bukan halangan!
Kesimpulan
Kini anda telah mengetahui apakah maksud narsistik.
Gangguan personaliti narsisistik bukanlah sekadar sifat yang egois atau bermegah.
Ia adalah gangguan mental yang serius yang memerlukan perhatian dan pemahaman daripada masyarakat.
Sebagai anggota masyarakat, tugas kita adalah untuk memahami dan tidak menghakimi seseorang walaupun pasangan narsistik kita sendiri!