Kesedihan, kesunyian, pengasingan, kehilangan mata pencarian dan ketakutan merupakan antara pemicu gangguan mental, lebih-lebih lagi dalam kalangan individu yang sememangnya sudah lama bergelut dengan masalah ini.
Menurut Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, Ketua Pengarah Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak COVID-19 telah mengganggu servis kesihatan mental di seluruh dunia sewaktu perkhidmatan ini paling diperlukan.
Keadaan ini menyebabkan pesakit yang menghidap masalah mental tidak dapat dirawat seperti biasa.
Penyakit mental, sama seperti penyakit yang lain, perlukan rawatan yang berterusan jika pesakitnya ingin sembuh.
Walau bagaimanapun, disebabkan terputusnya perkhidmatan ini ketika wabak COVID-19, pesakit yang mempunyai masalah gangguan mental mungkin akan berdepan dengan risiko yang lebih tinggi untuk jatuh sakit ataupun lebih teruk lagi, meninggal dunia.
Perkhidmatan kesihatan untuk pesakit mental terjejas teruk

Pada bulan Jun hingga bulan Ogos 2020, WHO telah menjalankan tinjauan ke atas 130 buah negara untuk mengenal pasti sama ada perkhidmatan untuk pesakit mental telah berubah semasa dunia dilanda wabak COVID-19.
Menurut tinjauan, mereka mendapati:
- Hampir 60% negara yang terlibat mempunyai gangguan untuk menyediakan khidmat kesihatan mental untuk individu yang berisiko seperti kanak-kanak dan remaja, orang dewasa, dan wanita yang memerlukan khidmat nasihat sebelum dan selepas bersalin.
- Sebanyak 67% negara tidak dapat memberikan khidmat kaunseling dan psikoterapi seperti biasa. 64% daripada khidmat tersebut merangkumi bahagian kaunseling untuk pesakit yang mempunyai masalah self-harm manakala 45% lagi merupakan rawatan untuk ketagihan opiod.
- Lebih 1/3 pesakit yang mengalami sawan, mempunyai masalah ketagihan dan delirum dilaporkan tidak dapat dirawat dengan serta-merta kerana intervensi kecemasan tidak dapat dilakukan.
- 30% lagi melaporkan kesukaran untuk mendapatkan ubat-ubatan untuk merawat gangguan mental dan neurologikal yang mereka alami.
Walaupun banyak negara telah menerapkan perkhidmatan perubatan atas talian atau telemedicine, namun masih ada jurang yang besar antara negara maju jika dibandingkan dengan negara yang kurang maju.
Negara yang kurang maju tidak mempunyai peruntukan yang cukup untuk menyelesaikan masalah kepincangan dalam perkhidmatan untuk pesakit mental.
Malah, daripada 89% negara yang melaporkan mempunyai khidmat kesihatan mental dan psikologikal sebagai satu bahagian daripada pelan mereka untuk wabak COVID-19, hanya 17% sahaja yang benar-benar mempunyai dana yang mencukupi.

Seiring dengan usaha WHO untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kesihatan mental, terbaharu, pertubuhan antarabangsa ini mengadakan acara dalam talian, The Big Event for Mental Health menerusi akaun YouTube, Facebook, Twitter, TikTok dan LinkedIn WHO.
Acara ini berlangsung pada 10 Oktober lalu sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, menerangkan kepentingan kesihatan mental dan bagaimana negara boleh memastikan khidmat untuk penyakit mental boleh diakses oleh individu yang memerlukan.
PKPB sepanjang Oktober
Isnin lalu (12 Oktober 2020), kerajaan Malaysia mengisytiharkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang bermula 14 Oktober sehingga 27 Oktober 2020 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Pengumuman ini tentunya dilakukan sebagai salah satu usaha mencegah penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat naik bilangan kes positif di negara ini.
Justeru, bagi mengelakkan penambahan bilangan peratusan pesakit mental khususnya di negara ini, anda digalakkan untuk meneruskan rawatan seperti biasa. Jangan biarkan penyakit senyap ini mengganggu hidup anda dan orang tersayang.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen