Seni dengan kehalusan makna dan penyampaiannya sebenarnya berupaya menjadi satu cara rawatan dalam psikologi. Antaranya melalui dramatherapy atau terapi drama iaitu penggunaan drama dan/atau teater untuk mencapai matlamat pemulihan. Terapi drama merupakan terapi psikologi yang bersifat aktif dan membolehkan peserta menyampaikan kisah mereka, menetapkan matlamat dan menyelesaikan masalah. Melalui drama, kedalaman dan keluasan pengalaman jiwa dapat diterokai dan kemahiran sosial dapat ditingkatkan.
Sejarah terapi drama
Pada tahun 1920-an, ahli psikologi Romania, Jacob Moreno, memerhatikan bagaimana bermain watak dan teater dapat membebaskan individu untuk mengekspresikan pemikiran dan perasaan mereka. Sejak itu, beliau mula memasukkan drama ke dalam psikoterapi.
Pada tahun 1960-an, pengarah teater radikal Brazil, Augusto Boal, sedang mengusahakan konsep teater komuniti, daripadanya muncul idea “teater orang yang tertindas’ (Theatre of the Opressed). Boal membayangkan teater di mana penonton boleh meluahkan diri melalui menjadi pelakon, menyampaikan dan menyelesaikan masalah kehidupan mereka sendiri. Sumbangan beliau memberikan arah baru kepada terapi drama.
Hari ini, terapi drama membantu ramai orang dalam mencapai perubahan, sama ada untuk membuang tabiat lama, mempelajari kemahiran baru atau menangani masa lalu yang pahit.
Mengapa terapi drama
Terapi drama diwujudkan disebabkan kesedaran bahawa sesetengah pengalaman hidup dan trauma masa lalu terlalu menyakitkan untuk ditangani melalui dialog lisan. Kerana drama menggunakan metafora untuk mengekspresikan emosi, ia adalah sangat bersesuaian untuk tujuan rawatan.
Peserta yang dirujuk kepada ahli terapi drama tidak memerlukan pengalaman atau kemahiran berlakon. Ahli terapi drama telah dilatih untuk membolehkan peserta mempunyai medium yang paling sesuai untuk mengenalpasti dan merungkaikan masalah atau membolehkan mereka lebih berkemampuan menangani isu dalaman mereka.
Oleh itu, peserta yang melibatkan diri dalam terapi drama terdiri daripada pelbagai latarbelakang yang berbeza. Daripada kanak-kanak dengan spektrum autistik kepada orang tua dengan masalah demensia; remaja yang mencederakan diri sendiri, orang yang mempunyai sejarah penderaan seksual dan / atau fizikal, mereka yang menderita penyakit mental dan wanita dengan kemurungan pasca kelahiran (meroyan). Orang biasa yang bergelut dengan masalah keyakinan diri juga boleh menyertai terapi drama.
Perbezaan terapi drama daripada lakonan
Disebabkan sifat katarsis (kelegaan emosi dengan cara ekspresi diri) dalam lakonan dramatik, drama secara amnya boleh menggalakkan kesihatan mental. Walau bagaimanapun, terapi drama bukan sekadar melibatkan lakonan. Seperti seni lukisan, muzik, dan terapi tarian, terapi drama menggunakan seni sebagai batu loncatan untuk terapi yang lebih mendalam dan lebih bermakna kepada peserta.
Ahli terapi drama memberi panduan kepada peserta untuk melakukan siri aktiviti yang membolehkan mereka melakonkan adegan yang mewakili bagaimana mereka mahu menjalani kehidupan mereka. Peserta mungkin akan melihat terapi drama mempengaruhi perubahan dalam tingkah laku mereka, keadaan emosi, perkembangan peribadi, dan penyesuaian kemahiran. Peserta yang menggunakan terapi drama selalunya dapat meningkatkan kemahiran hubungan interpersonal melalui penyertaan aktif dalam terapi drama seperti bercerita, bermain watak, bermain boneka, pembacaan skrip dan sebagainya.
Terapi drama di Malaysia
Terapi drama di Malaysia bukanlah suatu kaedah rawatan terapi psikologi yang popular. Pun begitu, kaedah ini semakin diperkenalkan kepada khalayak antaranya oleh Vanita Chandrasegaram, perintis ahli terapi drama di maaysia. Creative Art Therapies Malaysia pula menghimpunkan komuniti profesional yang berkelayakan dalam bidang terapi melalui keseniaan.
Selain itu, penggunaan teater sebagai medium penambahbaikan masyarakat juga semakin giat dilangsungkan. Ini dapat dilihat dalam pembudayaan teater masyarakat seperti yang dilakukan Teach for The Needs (TFTN) dalam aktiviti teater anak yatim yang membantu membina keyakinan diri dalam kanak-kanak tersebut. Melalui teater, anak-anak ini belajar keupayaan diri dan potensi dalaman mereka.