backup og meta

Apa Itu Gangguan Afektif Bermusim?

Apa Itu Gangguan Afektif Bermusim?

Gangguan afektif bermusim atau Seasonal Affective Disorder atau singkatannya, SAD, adalah sejenis kemurungan yang berkaitan dengan perubahan bermusim – berlaku dan berakhir pada tempoh yang sama setiap tahun.

Kebiasaannya simptom ini bermula pada musim luruh dan berteruskan hingga musim sejuk; cahaya matahari semakin kurang, waktu siang semakin pendek, seperti ‘menarik’ sejumlah tenaga anda dan membuatkan emosi anda terganggu. Ia jarang berlaku, namun, terdapat juga kes, SAD terjadi pada musim bunga atau awal musim panas.

Apakah simptom SAD?

Secara umum terdapat dua jenis SAD: musim sejuk dan musim panas. SAD yang mula berlaku antara bulan Oktober atau November dan berakhir antara bulan Mac atau April ini memberikan kesan yang berbeza pada setiap individu.

Individu yang berdepan dengan masalah kemurungan ini, berkemungkinan akan berasa letih, lembap, dan tidak bersemangat sepanjang hari. Ada masanya ia boleh berlangsung selama berminggu-minggu. Kesukaran untuk tidur, menumpukan perhatian, atau melakukan sebarang aktiviti kegemaran, mungkin antara simptom umum yang dihadapi.

Antara simptom lain yang mungkin terjadi adalah:

  • Kemurungan, pesimisme tentang masa depan
  • Mudah putus asa, pergolakan dalam diri
  • kegelisahan
  • Sukar untuk menikmati kehidupan seharian
  • Kehilangan tenaga, kelesuan
  • Keinginan untuk tidur yang berlebihan dan sukar untuk bangun pagi
  • Kesukaran melakukan tugasan harian
  • Peningkatan selera makan, kenaikan berat badan
  • Keinginan makanan berkarbohidrat
  • Lebih gemar bersendirian, hindari aktiviti sosial
  • Mudah marah, emosi mudah terganggu dan menangis
  • Tiada keinginan seksual atau
  • Terfikir, bekeinginan, atau cuba untuk membunuh diri

Bagi kanak-kanak dan remaja, simptom yang dihadapi mungkin termasuk:

  • Rasa letih dan mudah marah
  • Cepat tantrum
  • Alami kesukaran menumpukan perhatian
  • Keletihan secara fizikal
  • Berkeinginan untuk makan makanan ringan

Punca yang menyebabkan SAD

Doktor berpendapat masalah kemurungan ini berlaku kerana kekurangan cahaya matahari pada tempoh-tempoh tertentu dalam setahun yang mencetuskan tubuh anda untuk mengubah cara ia menghasilkan dan menggunakan bahan kimia utama dalam otak.

  • Jam biologi. Tahap penurunan cahaya matahari boleh mengganggu sistem biologi dalaman tubuh anda yang menyebabkan masalah kemurungan.
  • Tahap serotonin. Penurunan serotonin, kimia otak (neurotransmiter) yang menjejaskan emosi dan mencetuskan kemurungan.
  • Tahap melatonin. Perubahan musim boleh mengganggu keseimbangan tahap melatonin tubuh, yang memainkan peranan penting dalam pola tidur dan emosi.

Siapakah yang berisiko mendapat SAD?

Gangguan kemurungan ini 4 kali lebih berisiko untuk dihidapi oleh individu wanita berbanding lelaki, dan kerap berlaku kepada individu dewasa berbanding individu dewasa yang lebih berusia.

Faktor yang meningkatkan lagi risiko SAD adalah:

  • Sejarah keluarga. Mereka yang mempunyai sejarah keluarga atau peribadi yang pernah alami masalah kemurungan adalah lebih cenderung untuk mendapat SAD.
  • Gangguan bipolar. Mempunyai masalah kemurungan utama boleh menyebabkan gangguan SAD semakin teruk.
  • Kedudukan jauh dari khatulistiwa. Individu yang berisiko untuk berdepan masalah SAD ini adalah mereka yang jauh dari khatulistiwa, iaitu mereka yang tinggal jauh di utara atau selatan khatulistiwa. Ini mungkin disebabkan oleh penurunan cahaya matahari semasa musim sejuk dan hari yang lebih lama semasa musim panas.

Diagnosis SAD

SAD sukar untuk didiagnos oleh doktor atau profesional kesihatan mental kerana jenis kemurungan atau keadaan kesihatan mental yang lain boleh menyebabkan simptom yang sama.

Beberapa penilaian menyeluruh yang biasa dijalankan adalah seperti:

Ujian fizikal. Doktor akan melakukan ujian fizikal dan bertanya soalan mendalam mengenai kesihatan anda. Dalam sesetengah kes, kemurungan boleh berlaku berkaitan dengan masalah kesihatan fizikal yang dihadapi.

Ujian makmal. Antara ujian yang boleh dilakukan adalah seperti ujian darah yang dikenali sebagai jumlah darah lengkap (complete blood count, CBC) atau menguji tiroid untuk memastikan ia berfungsi dengan baik.

Penilaian psikologi. Doktor atau profesional kesihatan mental boleh bertanyakan mengenai simptom, perasaan, fikiran, dan corak tingkah laku individu untuk memeriksa tanda-tanda kemurungan.

Bagaimana SAD dirawat?

Rawatan untuk gangguan afektif bermusim merangkumi terapi ringan, ubatan dan psikoterapi. Jika anda mempunyai gangguan bipolar, maklumkan kepada doktor – ini penting untuk mengetahui apabila menetapkan terapi cahaya atau antidepresan. Kedua-dua rawatan itu boleh mencetuskan episod manik (gangguan mental).

Terapi cahaya

Menggunakan lampu khas yang berfungsi membantu menggantikan matahari yang ‘hilang’ ketika musim sejuk. Ia memberikan hampir 20 kali ganda cahaya berbanding cahaya lampu biasa dan cahaya dari skrin yang boleh merosakkan kulit.

Ubatan

Sesetengah masalah kemurungan dapat dirawat dengan ubatan antidepresen, terutama jika simptom yang dihadapi adalah teruk. Doktor akan mengesyorkan rawatan dengan antidepresen sebelum simptom bermula pada setiap tahun.

Psikoterapi

Turut dirujuk sebagai terapi bicara, berbual. Ia adalah untuk membantu mengenal pasti corak pemikiran negatif yang membuatkan timbulnya rasa rendah diri atau hilang semangat. Salah satu pendekatan adalah dengan terapi tingkah laku kognitif, yang akan membantu menukar pemikiran dan tingkah laku negatif yang membuatkan seseorang individu merasa teruk. Ia membantu mengalihkan perhatian dan fokus serta membantu mengatasi tekanan.

Kekalkan gaya hidup sihat

Walaupun perubahan musim mungkin menyebabkan aktiviti dan tugasan harian terganggu, sebaiknya cuma untuk kekalkan gaya hidup yang sihat dan ceria. Elakkan diri untuk berada dalam suasana suram, bersiar-siar apabila mempunyai masa terluang, dan lakukan senaman secara teratur.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Seasonal affective disorder (SAD)

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/seasonal-affective-disorder/symptoms-causes/syc-20364651 / accessed on Feb 11, 2019.

 

Visual Guide to Seasonal Affective Disorder (SAD)

https://www.webmd.com/depression/ss/slideshow-seasonal-affective-disorder / accessed on Feb 11, 2019.

 

Understanding Seasonal Affective Disorder (SAD) — Symptoms
https://www.webmd.com/depression/understanding-seasonal-affective-disorder-symptoms / accessed on Feb 11, 2019.


Seasonal Affective Disorder (Major Depressive Disorder with Seasonal Pattern)

https://www.healthline.com/health/seasonal-affective-disorder / accessed on Feb 11, 2019.

Versi Terbaru

13/07/2020

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Amy Kor

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Kenapa Saya Selalu Ketawa & Menangis Tanpa Sebab? Kenali Penyakit 'Joker'!

Gangguan Seksual Di Tempat Kerja, Ini 4 Langkah Penting Untuk Mengelakkannya!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Amy Kor

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 13/07/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan