Jantina bayi telah ditetapkan sejak dalam kandungan ibu lagi. Sejurus selepas kelahiran, anda akan dapat memastikan jantina anak anda dan membesarkannya mengikut fitrah jantina mereka. Jika anak anda mula mempersoalkan jantina mereka kepada anda apabila mereka mula meningkat usia, jangan terus menghukum mereka sebaliknya anda perlu memastikan anda sentiasa berada di sisi mereka. Ini bertujuan memastikan mereka yang mengalami kecelaruan jantina ini tidak berasa keseorangan dalam kekeliruan mereka. Berikut merupakan beberapa tip yang boleh ibu bapa lakukan untuk menghadapi situasi begini.
Jangan terlalu cepat membuat kesimpulan
Jika anak anda seorang lelaki dan cenderung kepada fitrah sebagai seorang perempuan, jangan terlalu cepat membuat kesimpulan kerana ini tidak membuktikan anak anda akan menjadi seorang transgender dewasa kelak. Sebagai contoh, jika anak lelaki anda gemar untuk memakai baju berwarna merah jambu atau gemar bermain watak seorang ibu ketika bermain dengan rakan-rakannya, ini mungkin hanya menunjukkan dia ingin mencontohi sikap ibunya yang penyayang dan mengambil berat terhadap orang lain.
Sentiasa ambil tahu perkembangan anak anda
Pastikan anda mendapatkan informasi yang secukupnya mengenai kekeliruan jantina. Selain itu, sentiasa berhubung dengan guru yang mengajar anak anda untuk mencari kemungkinan berlakunya situasi ini. Lebih banyak informasi yang anda dapat, lebih banyak ruang dan peluang anda untuk membantu anak anda yang mengalami kecelaruan jantina ini.
Lindungi anak anda daripada gejala buli dan pandangan negatif masyarakat
Perlakuan anak anda yang mungkin sedikit berbeza dengan rakan sejantinanya mungkin akan menyebabkan mereka dibuli. Sebagai ibu bapa, anda perlu lebih prihatin terhadap kelakuan dan badan anak anda untuk memastikan sama ada mereka dibuli, dipukul atau dipulaukan ketika berada di sekolah. Jangan mengambil mudah sekiranya anak anda mengalami situasi ini kerana ini akan membuatkan mereka hilang keyakinan diri. Sentiasa berhubung dan meminta bantuan daripada guru sekolah anak anda untuk mengatasi situasi ini.
Jelaskan kepada anak anda tentang kesan perlakuan mereka
Jika anak anda mahu memakai pakaian yang tidak melambangkan jantina mereka ke sekolah, anda perlu menjelaskan kepada mereka tentang kesan terhadap perlakuan ini dan persepsi rakan-rakannya. Gunakan bahasa yang mudah dan pastikan mereka faham bahawa tidak kira betapa mereka menyukai pakaian itu, rakan-rakan lain akan memandang serong dan menghamburkan cacian kepada mereka kerana berpakaian tidak melambangkan jantina. Namun sekiranya mereka masih mahu memakai pakaian itu, jangan halang mereka. Sekurang-kurangnya, mereka telah tahu apa yang bakal dihadapi oleh mereka dan lambat laun akan menyedarinya.
Jangan sesekali meminggirkan anak anda sekiranya mereka mengalami kecelaruan jantina ini. Paling penting, anak anda perlu tahu bahawa anda selalu berada di sisi dan menyayangi mereka sepenuh hati anda.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.