Pada zaman serba moden ini dengan adanya internet, segalanya di hujung jari. Tetapi adakah penggunaan teknologi ini menyebabkan kemahiran belajar bagi pelajar universiti merudum?
Kajian melibatkan pelajar
Dalam satu penyelidikan yang dijalankan di Swansea University dan University of Milan menunjukkan bahawa, pelajar yang menggunakan teknologi digital secara berlebihan akan menjadi kurang bermotivasi untuk terlibat secara langsung dalam proses pembelajaran mereka.
Selain itu, penyelidik juga mendakwa pelajar-pelajar tersebut akan menjadi lebih gelisah dan cemas berkaitan dengan ujian. Keadaan ini menjadi lebih kritikal dengan peningkatan rasa kesepian dan sunyi yang terhasil daripada penggunaan teknologi digital.
Kajian yang dilakukan ini melibatkan 285 individu yang mendaftar sebagai pelajar dalam pelbagai kursus berkaitan kesihatan. Penyelidikan ini menganalisis maklumat mengenai penggunaan teknologi digital, kemahiran belajar dan motivasi, tahap kegelisahan dan kesepian yang dialami.
Daripada maklumat yang diperolehi, lebih kurang 25 peratus pelajar melaporkan bahawa mereka akan menghabiskan lebih daripada empat jam sehari atas talian. Manakala bagi pelajar lain menunjukkan mereka meluangkan masa antara satu hingga tiga jam sehari dalam penggunaan teknologi digital ini.
Data penggunaan internet bagi responden yang terlibat adalah sebanyak 40 peratus dalam rangkaian sosial dan 30 peratus penggunaannya pula adalah untuk mencari maklumat.
Analisis kajian
Hasil daripada penyelidikan yang dilaksanakan ini mendapati, terdapat hubungan negatif antara ketagihan internet dan motivasi untuk seseorang individu bergelar pelajar untuk belajar. Malahan, pelajar yang mempunyai ketagihan terhadap penggunaan teknologi tanpa sempadan secara berlebihan juga didapati berdepan kesukaran untuk menyeimbangkan pembelajaran mereka secara produktif. Selain itu, mereka juga dilaporkan menjadi lebih cemas mengenai ujian mahupun peperiksaan yang akan datang.
Kajian ini juga membuktikan bahawa ketagihan penggunaan teknologi ini mempunyai kaitan dengan perasaan kesepian dan kesunyian. Keadaan ini sekali gus menjadikan pembelajaran lebih sukar untuk dilakukan.
Menurut Profesor Phil Reed dari Swansea University, “Berdasarkan kajian ini, menunjukkan pelajar yang mempunyai ketagihan internet yang tinggi dan berlebihan mungkin berisiko tinggi mempunyai motivasi rendah untuk belajar. Situasi ini sekali gus akan menyebabkan keputusan akademik mereka akan merosot.”
Bagi Profesor Truzoli dari University of Milan, “Ketagihan penggunaan teknologi digital ini menunjukkan bahawa ia boleh menjejaskan pelbagai keupayaan dan kebolehan diri seperti kawalan impuls, perancangan dan sensitiviti kepada ganjaran. Kekurangan keupayaan ini boleh mengakibatkan proses pembelajaran bagi pelajar menjadi lebih sukar.”
Di samping itu, kajian ini juga menunjukkan bahawa perasaan kesunyian memainkan peranan penting berkaitan emosi positif mengenai kehidupan akademik dalam tahap pendidikan yang lebih tinggi.
Manakala tahap interaksi sosial yang rendah mempunyai kaitan langsung dengan ketagihan penggunaan teknologi tanpa sempadan ini, sekali gus menjadikan perasaan kesunyian lebih teruk. Keadaan yang dilalui pasti akan memberikan kesan kepada tahap motivasi diri untuk terlibat secara langsung dengan persekitaran pendidikan sosial seperti di universiti.
Penggunaan teknologi digital
Sesungguhnya ketagihan terhadap teknologi digital ini adalah sesuatu yang serius dan amat membimbangkan pada ketika ini. Ia bukan sahaja melibatkan pelajar universiti, tetapi turut berlaku dalam kalangan remaja. Lebih menakutkan ia turut melibatkan kanak-kanak seawal usia dua hingga tiga tahun.
Melalui Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2017, dikatakan dua daripada tujuh remaja sekolah menengah di Malaysia mengalami ketagihan penggunaan teknologi digital ini. Manakala enam daripada tujuh remaja adalah merupakan pengguna aktif internet.
Berdasarkan laporan yang sama, penggunaan telefon pintar adalah akses utama kepada teknologi tanpa sempadan ini dan diikuti dengan gajet lain seperti komputer atau laptop dan tablet.
Malahan, jika kita lihat pada persekitaran hari ini, ramai ibu bapa yang memilih untuk membiasakan anak-anak mereka dengan penggunaan alat elektronik dengan sambungan teknologi tanpa sempadan sejak kecil.
Ini kerana kebanyakan individu bergelar ibu bapa ini berasakan ia adalah pilihan terbaik untuk membuatkan anak mereka duduk diam dan berhenti daripada menangis. Jadi secara tidak langsung, mereka tidak akan diganggu oleh si kecil. Namun, cuba fikirkan kembali, adakah itu pilihan yang terbaik?
Kesan ketagihan internet
Anda mungkin menganggap penggunaan teknologi ini adalah baik untuk tumbesaran si kecil atau anak-anak anda. Tetapi tahukah anda, pendedahan berlebihan kepada ketagihan teknologi tanpa sempadan ini boleh mendatangkan banyak keburukan?
Penggunaan teknologi ini secara berlebihan berpotensi membawa kepada:
Hidup dalam dunia sendiri
Perkara yang biasa dilakukan ketika menggunakan teknologi hanya lebih kepada bersifat hiburan semata-mata seperti bermain permainan video, membeli-belah atas talian serta bersembang (chatting).
Keadaan ini boleh menyebabkan mereka lebih mengutamakan dunia maya berbanding kehidupan realiti. Tidak mustahil, lama-kelamaan mereka akan menjadi malas, tidak aktif dan mengasingkan diri dalam kehidupan mereka tersendiri.
Pornografi
Adakah anda yakin anda boleh mengawal apa yang ditonton oleh anak anda sepanjang mereka menggunakan teknologi tanpa sempadan ini? Mungkin pada permulaannya anda boleh tetapi sampai bila?
Tidak mustahil anak anda akan terdedah kepada perkara tidak sihat ini. Apatah lagi apabila laman sesawang pornografi boleh diakses dengan mudah dan keadaan ini secara tidak langsung mendedahkan remaja kepada masalah seks bebas. Bukankah ini adalah perkara yang menakutkan bagi anda yang bergelar ibu bapa?
Buli siber
Jika dahulu, buli hanya berlaku secara fizikal, tetapi seiring dengan perubahan teknologi, wujud masalah buli siber. Lihatlah pelbagai kematian pada masa kini yang melibatkan masalah buli ini dan ia turut boleh berlaku kepada anak-anak anda.
Buli siber ini melibatkan perkongsian gambar yang memalukan, penyebaran berita palsu serta penggunaan bahasa yang menjurus kepada penghinaan dan ejekan dalam komen-komen di ruangan media sosial.
Kebocoran maklumat peribadi
Kini terlalu banyak scammer di dalam internet. Jika anak anda tidak berwaspada, mereka akan terdedah kepada penipuan dan penyalahgunaan maklumat peribadi.
Akhir kata
Tidak ada salahnya untuk menggunakan teknologi tanpa sempadan dalam kehidupan seharian anda. Walau bagaimanapun, anda perlu mengehadkan penggunaannya agar ia tidak menyebabkan anda terlalu bergantung kepadanya sepanjang masa.
Manakala sebagai ibu bapa pula, anda harus peka dan bijak dalam menggunakan alat telekomunikasi ini, khususnya telefon pintar. Jangan terlalu membiasakan diri si kecil dengan memberikan telefon bimbit setiap kali mereka menangis. Jika anda ingin memberikan anak anda peluang untuk menggunakan teknologi tanpa sempadan ini, pastikan anda meletakkan had masa bagi penggunaannya.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.