Gajet elektronik sudah menjadi satu keperluan bagi semua orang pada hari ini. Dunia yang sedang bergerak pantas memerlukan penyaluran maklumat yang seiring dengan perkembangan yang ada. Namun, adakah manfaat gadget melebihi bahaya atau mudaratnya?
Mari kita imbas kembali detik-detik sewaktu dunia tanpa gajet.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mental, sila dapatkannya di sini.
Dunia tanpa gajet lebih sepi?
Ramai yang mungkin mengatakan tanpa gajet kita tidak boleh hidup. Mana tidaknya, penggunaan gajet elektronik membuatkan seolah-olah dunia berada di hujung jari sahaja.
Jika dahulu, mungkin kita memerlukan masa berhari-hari atau berbulan untuk menghantar surat kepada seseorang.
Kini, ia dapat dilakukan dengan hanya menggunakan hujung jari dan maklumat boleh sampai kepada penerima dalam sekelip mata.
Walau bagaimanapun, perkembangan bidang komunikasi, khususnya pendedahan gajet kadangkala dilihat sebagai sesuatu yang merosakkan masyarakat terutamanya dalam kalangan anak-anak muda.
Gajet adalah diibaratkan seperti pisau yang boleh digunakan untuk memotong sayur mahupun mencederakan orang.
Pendek kata, jika betul penggunaannya, maka anda akan dapat manfaat gadget, manakala jika salah mungkin ada mudarat yang menanti.
Manfaat gadget kepada generasi muda
Keluarga, khususnya ibu bapa adalah kunci utama dalam mendidik anak kecil cara menggunakan gajet dengan betul.
Ia asalnya dicipta untuk membantu manusia berkomunikasi serta mendapatkan maklumat dengan segera dan mudah.
Dalam keadaan dunia media yang penuh dengan pelbagai jenis maklumat, anak muda khususnya sangat mudah terperangkap dengan maklumat-maklumat palsu atau bahan-bahan yang berbahaya.
Oleh itu, didikan tentang nilai-nilai yang baik serta ajaran agama harus diterapkan terlebih dahulu sebelum melepaskan mereka ke dalam lautan maklumat di media sosial.
Nilai seperti jujur, amanah, bercakap benar, hormat dan bertutur dengan bahasa yang baik adalah antara unsur penting yang perlu ada dalam diri setiap orang.
Jangan terkejut jika melihat bagaimana pengguna media sosial menggunakan bahasa kesat dan lucah serta berkongsi maklumat yang salah.
Ini semua berlaku apabila mereka terjun ke dalam media sosial sebelum benar-benar matang dalam membuat penilaian.
Didikan bermula di rumah
Pendidikan paling penting adalah sejak lahir dan ia bermula di rumah. Selain penerapan nilai-nilai murni melalui nasihat dan ajaran agama, ibu bapa boleh meletakkan beberapa peraturan dalam menggunakan gajet elektronik kepada anak.
Tip agar anak mendapat manfaat gadget
Antara yang boleh dilakukan adalah:
- Mengehadkan masa penggunaan telefon pintar – 10 minit sahaja setiap kali menggunakannya.
- Memuat turun aplikasi yang boleh menapis laman web yang tidak sepatutnya seperti pornografi
- Memantau dan mengawal apa yang dilihat oleh anak anda
- Berinteraksi dengan mereka semasa menggunakan gajet – bertanya tentang watak atau benda yang ada dalam video yang dilihat oleh anak anda
- Tidak membiasakan diri memberikan gajet sebagai ‘ubat pelali’ untuk membuatkan mereka senyap
Selain itu, ibu bapa harus menunjukkan contoh yang baik dengan tidak memandang kepada telefon semasa anak sedang bercakap atau semasa makan. Bak kata pepatah Melayu, “bapak borek, anak rintik.”
[embed-health-tool-ovulation]