backup og meta

Balu Berisiko TINGGI Untuk Mati Jika Terlampau Menderita Selepas Kematian Pasangan, Ini Sebabnya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 17/07/2020

    Balu Berisiko TINGGI Untuk Mati Jika Terlampau Menderita Selepas Kematian Pasangan, Ini Sebabnya

    Mereka yang kematian pasangan hidup (balu) mempunyai risiko yang tinggi untuk mati dalam masa terdekat. Huh? Betul ke? Ikuti artikel ini untuk maklumat selanjutnya.

    Kesan kematian pasangan hidup terhadap taraf kesihatan individu

    The widowhood effect. Ini adalah merupakan terma saintifik yang sering digunakan bagi menerangkan fenomena di mana seorang isteri atau suami yang kehilangan pasangan hidupnya mempunyai risiko setinggi 90% untuk mati tidak lama selepas itu.

    Ia menunjukkan betapa pentingnya bagi seorang individu untuk mempunyai hubungan sosial yang baik dalam mengekalkan kesihatan diri pada tahap yang optimum.

    Dari sudut pandangan psikologi, mereka yang kehilangan pasangan hidup mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk mendapat simptom yang sering dikaitkan dengan depresi dan keresahan.

    Keadaan ini akan menyebabkan tubuh badan lebih sensitif kepada tekanan emosi dan persekitaran seterusnya menyebabkan peningkatan risiko untuk mendapat penyakit.

    Terdapat pelbagai jenis faktor yang boleh dikaitkan dengan risiko kematian bagi seorang balu, seperti jantina individu, agama, gaya pemakanan dan tahap kesihatan mental.

    Walaupun dahulunya fenomena ini dianggap sebagai pencetus kepada berlakunya kanser, namun kajian telah menunjukkan sebab kematian bagi seorang balu mempunyai variasi.

    Tempoh masa kritikal

    Bayangkan, anda sedang menyaksikan saat-saat terakhir pasangan anda.

    Walaupun doktor menerangkan jumlah sel di dalam badan akan mati satu persatu sebelum ajal bagi seorang individu itu sampai, benda yang hanya boleh dikira oleh anda hanyalah pernafasan naik turun pasangan tercinta.

    Sampai satu ketika, pernafasannya berhenti, mesin ECG menunjukkan corak sekata dan wajah pasangan anda diselimuti dengan kain putih. Tidak dapat diungkapkan betapa sedihnya seseorang itu pada waktu tersebut.

    Menurut kajian, tempoh masa kritikal untuk seorang balu mati selepas kematian pasangannya adalah pada 3 bulan pertama tempoh bersedih (grieve).

    Risiko kematian pada ketika ini berlainan bagi setiap individu namun kajian telah menunjukkan risiko di antara 30 ke 90%.

    Punca kematian adalah daripada jangkitan kuman, penyakit jantung, strok, penyakit Parkinson, Alzheimer dan pelbagai jenis kanser.

    Pada bulan seterusnya (bulan ke empat), risiko kematian kebiasaannya turun mendadak kepada peratusan 15.

    Individu tersebut akan perlahan-lahan membiasakan diri untuk hidup tanpa pasangannya dan proses ini kebiasaannya boleh dipermudahkan dengan terapi sosial.

    Widowhood effect ini terjadi disebabkan oleh tiga perkara:

    • Kesedihan menjadi balu itu sendiri
    • Kesan secara terus akibat daripada kejutan
    • Penyesuaian diri dalam persekitaran yang baru

    Walaupun risiko kematian yang tinggi cuma dikaitkan pada 6 bulan pertama selepas saat kematian pasangan bagi seorang balu, mereka mempunyai 2 kali ganda lebih tinggi risiko untuk membunuh diri berbanding dengan populasi umum pada tahun pertama.

    Menurut pakar, hubungan sosial di antara rakan-rakan dapat membantu meringankan bebanan emosi balu tersebut.

    Perkara ini sebaiknya dilakukan bersemuka dengan mereka kerana telefon atau sosial media bukanlah alat yang berkesan bagi memahami bebanan emosi mereka yang memikulnya.

    Kesimpulan

    Bukan senang untuk kita menyesuaikan diri dengan tekanan emosi dan persekitaran akibat daripada kehilangan pasangan yang tercinta. Masa adalah merupakan kunci penting dalam memastikan kestabilan jiwa.

    Widowhood effect adalah merupakan salah satu fenomena berkaitan dengan kesan hubungan sosial terhadap kesihatan individu secara menyeluruh.

    Kita tidak dapat menghindarkan kematian pasangan, namun kita boleh berusaha ke arah kesihatan diri yang lebih baik. Jika anda kehilangan seseorang dalam masa terdekat ini, dapatkan bantuan daripada golongan profesional atau tingkatkan aktiviti sosial bersama rakan-rakan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 17/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan