Rabun silau menjadi faktor utama anda sukar untuk melihat objek yang bercahaya terang di sekeliling anda terutananya pada waktu malam.
Orang yang mempunyai rabun silau sering mengalami masalah ini terutamanya ketika mereka keluar pada waktu malam, tapi adakah ia hanya terjadi di malam hari?
Teruskan membaca kerana artikel ini akan mengupas lebih lanjut punca kejadian rabun silau, langkah-langkah pencegahan, serta persoalan sama ada ia turut berlaku ketika siang.
Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Mata di sini.
Apakah itu rabun silau?
Rabun silau adalah masalah gangguan penglihatan yang disebabkan oleh kelengkungan kornea atau kelengkungan kanta mata yang tidak sekata.
Keadaan ini akan mengakibatkan penglihatan kabur pada sesetengah jarak. Rabun silau boleh dialami pada sebarang peringkat umur.
Perkara ini selalu terjadi semasa lahir dan kadang-kadang terjadi selepas kecederaan atau pembedahan pada bahagian mata.
Hampir semua orang mengalami rabun silau tetapi pada tahap yang berbeza dan ia selalunya datang bersama-sama rabun jauh dan rabun dekat.
Silau adalah bulatan terang yang kelihatan seperti mengelilingi sumber cahaya yang dilihat, seperti lampu bahagian hadapan kereta yang bergerak dari arah bertentangan.
Melihat lingkaran atau cincin yang terang di sekitar sumber cahaya, seperti lampu depan, boleh mengganggu perhatian ketika waktu malam.
Lingkaran cahaya yang terang di sekitar sumber cahaya sering disebut sebagai “halo.”
Halo adalah lingkaran terang yang mengelilingi sumber cahaya, seperti lampu. Silau mata berlaku apabila jumlah cahaya yang memasuki mata lebih besar daripada kemampuan mata untuk memprosesnya.
Halo di sekitar lampu paling sering terjadi terutama pada waktu malam atau ketika anda berada di ruangan yang gelap.
Ia juga boleh disebabkan oleh pemakaian cermin mata atau kanta lekap, dan boleh terjadi akibat kesan sampingan pembedahan katarak atau lasik.
Punca terjadi rabun silau
Punca sebenar rabun silau masih tidak diketahui. Mata normal adalah berbentuk sferikal di mana kelengkungan kornea adalah sama pada semua kedudukan.
Apabila cahaya memasuki mata, ia akan terfokus sebagai satu titik di atas retina dan objek akan kelihatan jelas.
Manakala bentuk mata bagi penghidap rabun silau adalah bujur seperti bola ragbi atau belakang sudu.
Keadaan ini menyebabkan cahaya yang memasuki mata akan terfokus pada banyak tempat atau dengan kata lain mata tidak berupaya untuk memfokus sebagai titik di atas retina.
Terdapat banyak masalah mata yang boleh menyebabkan ia berlaku. Ini termasuklah:
1. Katarak
Katarak adalah tompokan seakan awan yang terbentuk di lensa mata. Katarak berkembang dengan perlahan dan biasanya terjadi pada orang tua.
Pengaburan lensa boleh menyebabkan difraksi cahaya memasuki mata.
Gejala katarak lain termasuk:
- Penglihatan yang kabur
- Masalah untuk melihat pada waktu malam
- Peningkatan sensitiviti terhadap silau
2. Distrofi Fuchs
Distrofi Fuchs adalah gangguan mata yang menyebabkan lapisan jernih di bahagian depan mata anda iaitu di kornea membengkak.
Kelainan pada kornea boleh menyebabkan seseorang yang mengalami distrofi fuchs melihat lingkaran cahaya di sekitar lampu.
Gejala lain termasuk:
- Sensitif terhadap cahaya
- Bengkak
- Kesukaran memandu pada waktu malam
- Ketidakselesaan pada mata
Distrofi Fuchs biasanya diwarisi, dan gejala biasanya tidak akan muncul sehingga individu tersebut berusia 50-an atau 60-an.
3. Glaukoma
Glaukoma adalah keadaan yang disebabkan oleh kerosakan saraf optik yang berkaitan dengan tekanan tinggi dalam cecair yang bergerak di bahagian depan mata.
Gejala lain termasuk:
- Penglihatan kabur
- Sakit mata dan kemerahan
- Loya
- Muntah
- Sakit kepala
- Berasa lemah
4. Mata yang kering
Apabila mata menjadi terlalu kering, penglihatan menjadi tidak teratur, dan cahaya yang masuk akan mengganggu.
Ini boleh menyebabkan anda melihat lingkaran cahaya di sekitar objek cerah seperti lampu, terutamanya pada waktu malam.
Gejala mata kering termasuk:
- Rasa menyengat di bahagian mata
- Berlaku burning sensation
- Mata sakit
- Kemerahan mata
Apa yang perlu anda lakukan bagi mencegah masalah silau
- Lindungi mata anda dari sinaran ultraviolet (UV). Jauhkan diri dari sinar matahari, memakai topi, atau pakai cermin mata hitam berserta perlindungan UV
- Sekiranya anda menghidap diabetes, pastikan anda selalu mengawal kadar gula darah anda
- Makan makanan kaya dengan vitamin C, vitamin A, dan karotenoid. Ini boleh didapati dalam sayur-sayuran hijau berdaun, seperti bayam dan kangkung
- Mengekalkan berat badan yang sihat
- Elakkan pengambilan alkohol berlebihan
- Berhenti merokok
Rumusan
Rabun silau ternyata tidak hanya berlaku pada waktu malam sahaja, masalah ini juga dapat berlaku pada waktu siang dengan kewujudan mana-mana objek yang bercahaya terang.
Menjalani pemeriksaan mata secara berkala adalah kaedah terbaik untuk mencegah atau mengurus masalah ini, terutama ketika anda semakin meningkat usia.